Yokoso Hokkaido (Welcome to Hokkaido)

Selepas kembara Istanbul pada kali kedua awal Ogos 2018, tiada rancangan untuk kembara dalam masa terdekat. Kalau ada pun, hanya destinasi domestik. Si dia (suami) sudah mulakan pengajian MBA. Hampir setiap Jumaat dan Sabtu ada kelas. Tabung kembara pun belum cukup. Nyawa-nyawa ikan. Azam 2019 nak habiskan hutang-hutang jangka pendek supaya hati lebih tenang bila kembara insya-Allah.

Bila Nor, rakan sekelas dari tingkatan 1 hingga 5 di Sekolah Tun Fatimah (STF) beritahu nak buat rombongan ke Hokkaido akhir Jun, hati melonjak untuk pergi. Nor adalah pemilik Aliza Japan Travel (profail FB : Aliza Alias (Kak Belle) yang sering bawa rombongan ke Jepun. Walaupun saya lebih suka kembara DIY, saya tidak mahu lepaskan peluang kembara bersama Nor. Insya-Allah duit saya takkan hangus seperti banyak kes berlaku duit lesap bila agen pelancongan hilangkan diri.

Mengimbau kenangan 34 tahun dahulu, ketika kami berusia 17 tahun di STF, Nor duduk belakang saya. Tempat duduk kami tepi tingkap. Di luar ada kolam ikan. Nor suka mengelamun. Saya pun dua kali lima. Nor mengelamun tapi keputusan SPM tetap score sampai boleh melanjutkan pelajaran selama 4 tahun ke Jepun. Kami pernah jadi rakan kongsi satu perniagaan.

#Nak kenal penulis blog ini dan cerita kami pelajar STF boleh baca autobiografi saya Budak Kelas Belakang. Boleh diperolehi di kedai buku MPH dan Popular. 

Ini bukan kali pertama saya kembara ke bumi Sakura. Kali pertama adalah pada tahun 1999. Tokyo merupakan bandar dunia pertama saya pergi. Adik bongsu saya, Aja menamatkan pengajian 4 tahun di Jepun pada tahun 1999. Ibu dan babah tidak dapat hadir hari konvokesyen Aja. Mereka sedang mengerjakan umrah ketika itu. Saya diwakilkan oleh mereka untuk menyaksikan hari bahagia Aja. Masih teringat pengalaman pertama ke Tokyo. Bila Aja kata Tokyo ketika itu sejuk, saya hanya bawa baju sejuk nipis. Ingatkan hanya sejuk-sejuk manja seperti di Genting Highlands. Keluar dari Narita, rasa badan tak boleh bergerak seinci pun. Bbbbrrrrrrr!

Pada hari konvokesyen Aja, saya berselimut dari hujung rambut hingga hujung kaki. Tak tahan sejuk. Aja marah sebab saya taknak pergi teman dia konvo. Konvo di sana bukan macam kita di sini; jubah, mortar board, perarakan bagai. Aja pakai yukata, mekap, set rambut, pose sebelah bunga sakura, pegang scroll macam perutusan istana zaman dulu. Kalau boleh pakai yukata buat apa pakai jubah tebal.  😎 Sempoi je diaorang.

Kali kedua ke Tokyo pada Januari 2017, saya pergi bersama si dia, dua orang adik, Aja dan Ayan bersama anak-anak mereka. 12 orang ahli rombongan. Satu gerabak subway. Kali ketiga saya ke Tokyo, Osaka dan Kyoto pada bulan Julai 2017 menemani si dia atas urusan kerja. Dapatlah merasa duduk di Otani Tokyo Garden, hotel 4 bintang dan Otani Osaka, hotel 5 bintang. Pemandangan di luar bilik adalah Osaka Castle. Sempat jogging sekitar Osaka Castle. Mengada. Di Malaysia, ada treadmill dalam rumah pun malas nak sentuh.  😳

Berlatar belakangkan Osaka Castle

Apa yang membuatkan saya teringin ke Hokkaido? Saya tidak pernah jemu kembara ke Jepun tapi tidak mahu ke Tokyo lagi. Terlalu padat. Hokkaido tidak sesak dengan lautan manusia dan kenderaan. Mungkin Sapporo sedikit sesak tapi di tempat-tempat lain, suasana kampung, begitu tenang. Mungkin faktor usia, lebih cinta kedamaian bila usia menginjak senja. 😥

Saya juga tidak suka sejuk keterlaluan. Saya tidak akan kembara bila musim dingin. Aktiviti seperti main salji, ski dan aktiviti musim dingin lain tiada dalam wishlist saya. Tak jeles pun tengok kawan-kawan ambil gambar di hamparan putih salju. Tengok gambar mereka pun, saya dah rasa menggigil.

Musim panas di Hokkaido dalam bulan Jun, suhu sekitar 12-20 Selsius. Saya suka suhu seperti ini. Musim luruh juga sesuai untuk melawat Hokkaido. Tidak perlu pakaian tebal. Hanya perlu bawa cardigan nipis. Winter coat yang ditempah di Shanghai, konon nak bergaya dengan kot cantik jika kembara musim sejuk nampaknya masih terus bergantung dalam almari.

Teingin juga merasai pengalaman rendam kaki di onsen yang banyak terdapat di Hokkaido. Dah berangan nak urut bagai di onsen. Juga melawat ladang dipenuhi lavender. Hamparan lavender yang lalu lalang di newsfeed Facebook benar-benar buat hati teringin nak berada di sana. Makanan laut segar dan aiskrim Hokkaido juga buat air liur meleleh setiap kali terbayang.

Lagi bersemangat nak pergi, bila dapat tahu rombongan kami ke Hokkaido terdiri dari 10 bekas pelajar STF. Nor, saya dan tiga rakan bawa suami masing-masing.

“Aku nak bawa rombongan budak-budak STF. Kita sewa kereta, santai je,” Nor cucuk jarum. Halus cucukan jarum Nor tapi tembus terus ke hati. 😛

Srikandi Tun Fatimah. 2 orang lagi mungkin dah tak sabar nak makan aiskrim, hilang tanpa dapat dikesan

 

Anak bongsu Nor turut bersama kami menjadikan rombongan kami seramai 16 orang.

Pada mulanya tiada rancangan nak bawa si dia. Bila si dia keluarkan ayat-ayat syahdu seperti,

“bestlah you, cuti dengan kawan-kawan, I jugak yang tak berjalan.”

“I takde kelas tarikh you gi Jepun tu.”

“orang lain ada yang bawak husband kan?”

Maka dengan ikhlas tapi jauh, bini setuju si dia ikut serta.

5 Perkara Penting Persediaan Melancong ke Hokkaido

1. Semak tarikh luput paspot

Tarikh luput mesti lebih dari 6 bulan. Pernah kawan saya putih mata tengok suami dan anak-anak berlepas sehari lebih awal ke destinasi percutian kerana tak perasan tarikh mati paspot beliau kurang 6 bulan dari tarikh penerbangan.

Si dia pun tak perasan tarikh luput paspot kurang dari 6 bulan. Mujur ada bini yang ada senarai semak yang panjang lebar sebelum kembara. Terpaksa si dia ambil cuti sehari untuk buat paspot di Kuala Selangor. Masa saya buat paspot, gambar pertama diambil saya terus kata ok walaupun nampak muka ketat. Si dia boleh pula ambil gambar berkali-kali. Alasan dia kepada abam imigresen – salah angle, nampak botak. 19 tahun hidup bersama, saya pun tak tahu angle mana nampak banyak rambut. Semua angle pun sama. Abam imigresen layan.

2. Beli tiket kapal terbang, berat beg dan makanan dalam kapal terbang

Kami perlu beli tiket kapal terbang sendiri mengikut tarikh yang ditetapkan oleh Nor iaitu penerbangan pergi jam 2330, 25 Jun 2019 (Selasa) dan penerbangan pulang 0930, 1 Julai 2019 (Jumaat). Pada mulanya saya dan Mas, salah seorang rakan yang turut serta bercadang untuk lanjutkan tempoh kembara. Rasa tak puas kembara 6 hari 5 malam ke Hokkaido. Saya hanya beli tiket pergi sahaja. Mas langsung belum beli tiket waktu itu. Silap besar beli tiket sehala.

Saya tahu beli tiket sehala lebih mahal. Saya tak tahu harga hot seat juga akan berbeza. Bayaran hot seat KUL -CTS RM185 tetapi hot seat nombor tempat duduk sama dari CTS-KUL berharga RM298. Terpaksa beli juga sebab si dia memang suka beli hot seat untuk penerbangan jauh. Senang nak keluar masuk bila nak ke tandas. Legroom besar sikit. Tempat duduk tepi tingkap pilihan si dia. Jika kembara bersama si dia, saya pasrah duduk tengah. Kalau penumpang di aisle ala Theo James saya rela. Selalunya yang dapat sama ada warga emas atau anak ikan.

Saya beli berat beg 30kg untuk 2 beg bawah nama saya. Minima berat boleh dibeli 20kg untuk penerbangan antarabangsa. Kami tahu barang yang kami bawa setiap kali kembara untuk setiap orang tidak lebih dari 15kg. Jika beli 20kg bawah nama si dia dan 20kg bawah nama saya, jumlah perlu dibayar untuk 2 beg RM260 . Oleh itu saya beli berat beg 30kg untuk 2 beg. Jumlah perlu dibayar RM180. Jimat RM80.

Penerbangan ke Chitose Airport (CTS) ambil masa 8 jam. Walaupun akan makan di KLIA2 sebelum berlepas, penerbangan yang lama, perut perlu diisi. Penerbangan 2,3 jam pun saya akan pesan makanan. Asyik lapar dalam kapal terbang apatah lagi kalau penumpang sebelah pesan makanan. Nugget pun nampak sedap. Saya pesan makanan pasta dan air mineral untuk dimakan dalam penerbangan ke Sapporo. Saya elakkan dari minum minuman kafein sebelum dan semasa penerbangan untuk mengelakkan dari dehydration – sakit kepala, perut memulas, loya, masalah pencernaan dan kulit bertambah kering.

3. Sewa pocket wifi

Ketika kembara ke Tokyo, Osaka, Kyoto dan tahun berikutnya ke Shanghai, saya guna pocket wifi satu syarikat. Ada kawasan tiada liputan. Bateri cepat habis. Belum setengah hari berjalan, bateri habis. Leceh nak kena cas selalu. Ketika ke Hanoi, saya guna pocket wifi syarikat lain. Device rosak, langsung tak boleh digunakan. Mujur mereka pulangkan semua bayaran yang telah dibuat.

Kembara kali ini saya guna Roaming Man. Tempah online, pick up di KLIA2. Jika penerbangan dari KLIA, boleh juga pick up di sana. RM12 sehari, saya ambil pelan 6 hari. Tidak perlu deposit. Alhamdulillah coverage luas, bateri tahan lama, saiz kecil. Takdelah orang lain sibuk pose maut di ladang lavender, saya dok sibuk cari power point.

4. Insuran

Bila cari maklumat tentang insuran kembara yang sesuai, tak dapat maklumat yang saya perlukan. Akhirnya saya pilih MSIG, syarikat Jepun. Logik saya mengatakan mungkin lebih senang berurusan jika berlaku apa-apa yang tak diingini. Beli dalam talian sahaja. Paling penting perlu ada perlindungan untuk perkara-perkara berikut:

  • Emergency medical care
  • Medical evacuation and repatriation
  • Trip cancellation/interruption
  • Baggage/personal item loss and delay
  • 24/7 worldwide assistance

Bonus kalau ada perlindungan percuma untuk anak-anak dan polisi boleh dibatalkan tak kira apa jua alasan.

5. Tukar matawang Yen

Biasanya bila kembara saya tukar mata wang negara yang dilawati antara RM1000 – RM1500 untuk makan, membeli belah, bayaran masuk ke tempat  yang ingin dilawati. Kali ini saya tukar RM2000. Masih berbaki RM600 bila saya kembali dari Hokkaido. Bayaran hotel dan pengangkutan sudah dibayar kepada Nor.

Saya selalu tukar di Mid Valley Megamall. Selalunya lebih menguntungkan. Kali ini saya tukar di KL Sentral sebab kadar pertukaran di sini tak jauh beza dengan yang di Mid Valley untuk Yen.

Bila perkara penting dah buat, baru nampak Hokkaido melambai datang.

“Yokoso Hokkaido”

“Welcome to Hokkaido”

 

Leave a Reply