6 Panduan Persediaan Di KLIA2

Entri 2 : Hokkaido

Sampai di KLIA2 :

  • Cetak boarding pass dan cetak tag bag

Boarding pass boleh dicetak di rumah. Sampai di KLIA2 hanya perlu cetak tag bag. Jika sudah dicetak di rumah, boarding pass ini boleh diguna untuk daftar masuk di gate pelepasan. Jika tidak dicetak di rumah, boleh sahaja dicetak di kiosk. Ada banyak kiosk disediakan untuk tujuan ini. Hanya masukkan booking number atau imbas barcode jika anda ada mobile app Air Asia. Jika minta dicetak di kaunter, bayaran RM10.60 akan dikenakan. Jika tak yakin guna mesin di kiosk yang disediakan, mohon bantuan staf.

  • Semak di skrin paparan maklumat penerbangan nombor kaunter untuk daftar masuk beg

Pergi ke kaunter yang ditetapkan. Letakkan beg di mesin penimbang. Imbas barcode tag beg. Jika berat beg tidak lebih dari berat beg yang anda beli, beg masuk ke conveyor belt. Selesai.

Beg si dia, suami saya terlebih muatan 1kg. Beg bini dah lepas, beg si dia sangkut. Jangan panik (walaupun kami panik juga 😀 sebab kali ini kali pertama satu beg dah lepas, satu beg sangkut), terus ke kaunter yang berhampiran untuk daftar masuk secara manual. Mujur beg si dia terlebih sedikit sahaja, kurang dari 1kg. Staf pejam mata. Alhamdulillah.

  • Periksa hand carry bag

Pastikan ada :

  1. paspot (salinan paspot boleh diletak dalam beg masuk kargo), wang
  2. sepasang persalinan. Berguna jika beg sampai lambat.
  3. pengecas telefon bimbit, power bank dan adapter yang sesuai. Power bank jangan sesekali letak dalam beg yang masuk kargo. Pernah saya terlupa keluarkan power bank dari beg, saya dipanggil keluar dari kapal terbang sebentar beberapa minit sebelum kapal terbang berlepas dari Narita Airport untuk keluarkan power bank
  4. jajan untuk alas perut. Berguna jika penerbangan ditangguhkan, lambat nak lepas imigresen di destinasi, dalam kenderaan sementara nak sampai hotel. Pada tahun 2009, saya ke Bali bersama seorang rakan. Kami sudah berada dalam perut kapal terbang tapi terpaksa tunggu 2 jam di dalam sebelum kapal terbang berlepas. Tidak diberitahu sebab berlaku kelewatan. Bayangkan jika perut lapar masa itu dan saya tak bawa makanan sebagai bekal.
  5. saya sentiasa bawa penutup mata untuk tidur lena, neck pillow, tuala kecil/tisu, satu buku nipis
  • Pergi kaunter Roaming Man untuk pocket wifi

KLIA2 : Level 3, Balai Pelepasan (belakang daftar masuk kaunter Y, berhampiran Telekung Siti Khadijah)

KLIA : Level 5 (sebelah Mc Donalds)

Proses mudah. Mereka tunjukkan cara penggunaan dan serba sedikit peringatan tentang penjagaan device itu.

  • Makan dan minum

Biasanya jika penerbangan malam seperti kami, makanan disediakan sebaik sahaja selepas take off. Jika naik Air Asia lebih baik pra pesanan makanan kerana makanan pra pesanan diberi dahulu. Kemudian baru troli bergerak dari satu baris ke satu baris penumpang. Ada waktunya makanan yang ingin dibeli sudah habis.

alas perut
dari kiri : saya, Nor, Ilah dan Mas. Rakan sekelas di STF 85/89
  • Penuhkan bekas air

Jangan lupa habiskan air dalam botol sebelum melepasi kaunter pemeriksaan terakhir. Ada mesin Coway disediakan. Boleh penuhkan semula botol. Saya memang sentiasa bawa botol kosong bila kembara. Jimat duit, tak perlu beli banyak air mineral. Jika naik Air Asia mahal juga sebotol air mineral. Sedikit sebanyak kita bantu juga jaga alam persekitaran.

Rakan saya, Mas MS beratur isikan air untuk dia, saya dan Ilah. Barisan agak panjang. Tiba-tiba ada seorang warga emas terus ke depan, potong giliran orang lain yang sedang menunggu. Mas beri sepatah dua kata kepada lelaki itu. Alasan beliau, dia hanya nak isi 1 botol sahaja. Hmmm… Ini bukan kali pertama saya jumpa warga emas tidak kira bangsa tidak mahu mematuhi peraturan mudah. Rasanya tiada siapa marah jika beliau minta kebenaran untuk potong barisan.

ada beberapa mesin Coway disediakan selepas pemeriksaan kastam

Penerbangan berlepas tepat pada masa. Alhamdulillah. Entri berikutnya tentang semasa penerbangan termasuk panduan wuduk dan solat dalam kapal terbang. Insya-Allah.

Leave a Reply