Catatan Haji : Hati Yang Terpilih

Baru-baru ini aku menaiki Grab pulang ke rumah dari hadir kursus haji di Masjid Asy-Syakirin, KLCC.

Sembang banyak perkara dengan pemandu; anak muda yang tamat pengajian ijazah pada tahun 2019, kerja sebagai jurutera kontrak selama 2 tahun. Bila kontrak tamat, beliau buat e-hailing.

Aku : muda-muda ni baik daftar haji. RM1,300 dah boleh daftar.

Anak muda : saya dah daftar sejak mula bekerja puan.

Aku?

Ketika mula bekerja pada tahun 1999, daftar haji tidak terlintas di fikiran aku. Terasa diri punya banyak masa, boleh je daftar “bila dah bersedia.”

Ketika itu daftar haji pun agak leceh bagi aku.

Eh, kembara ke kota dunia lain beribu-ribu km boleh aje.

Pejabat TH terdekat tak sampai 30km dari rumah, terasa jauhnya. Giliran anak-anak saudara aku tunaikan haji lebih awal dari aku kerana arwah ayah mereka daftarkan mereka haji seawal usia.

Moral of the story – bila kita tiada impian, kita punya banyak alasan.

************************

Sejak 1999, aku sudah mula melancong ke luar negara, bermula dengan bandar Tokyo. Bukan tidak pernah ada impian untuk menunaikan umrah. Dua kota yang menjadi tumpuan umat Islam seluruh dunia – Mekah dan Madinah ada dalam senarai kota dunia yang aku ingin lawati. Malangnya, dua kota ini tidak berada dalam kedudukan 10 teratas dalam senarai aku. Aku fikir aku banyak masa. Aku fikir bila sudah bersara, baru aku akan ke sana. Kononnya lebih mudah beribadah jika tidak terlalu fikir pasal dunia.

Aku sering berkata pada diri “nantilah gi, bila agak-agak dah bersedia”. Baru kini aku rasakan jika impian tidak terlalu tinggi, hati 50-50 nak pergi, memang selama-lamanya tidak bersedia. Jika impian kuat, kekangan kewangan dan masa tidak mampu menghalang hasrat untuk pergi.

Bukan aku dan suami tidak mampu untuk menunaikan umrah sebelum ini (suami sudah pernah pergi sebelum mengenali aku). Setiap tahun sejak berkahwin pada tahun 2000, kami sering pergi bercuti. Cuti-cuti Malaysia beberapa kali dalam setahun. Cuti luar negara sekurang-kurangnya dua kali setahun. Aku sentiasa beri alasan “masih belum dijemput untuk pergi”. Sebenarnya hati masih belum mencintai Allah dan Rasul sepenuhnya. Diri mengaku Islam tapi tidak terbuka pintu hati untuk menzirahi bumi barakah.

Hidayah milik Allah; dicampak ke dalam hati hamba yang Allah pilih. Mei 2012, tika usia menginjak 40 tahun, hati aku antara yang terpilih. Alhamdulillah. Hati didorong untuk ke majlis ilmu Being Me – Muslimah Empowered yang julung kali diadakan di Malaysia. Dalam majlis yang dihadiri oleh lebih dari dua ribu peserta wanita, terasa diriku antara yang tua. Majoriti wanita muda yang hadir adalah pelajar universiti, golongan terpelajar. Majlis dianjurkan dalam Bahasa Inggeris dan perbualan antara mereka yang aku dengar juga dalam Bahasa Inggeris. Sungguh aku cemburu dengan mereka. Ketika aku sebaya mereka, aku lebih mencintai dunia, langsung tidak memikirkan tentang akhirat. Benar-benar aku manusia yang kerugian seperti yang digambarkan dalam Surah Ad-duha.

Waktu itu, aku sudah berhijab, mempunyai suami yang baik, mempunyai perniagaan sendiri. Dugaan Allah tidak dikurniakan cahayamata walau hampir 12 tahun usia perkahwinan, kami terima dengan hati yang reda. Kehidupan aku agak selesa, Cuma aku rasa aku Muslim yang biasa-biasa dari segi ilmu dan amalan. Being Me permulaan baru dalam hidup aku.

Alhamdulillah suamiku tidak pernah menghalang untuk aku menghadiri majlis ilmu walau selalunya kursus mengambil masa Sabtu dan Ahad. Malah selalunya kalau hari Sabtu, suamiku akan menghantar aku ke tempat kursus dan mengambil aku semula bila habis.

Selepas majlis ilmu ini hati didorong untuk ke majlis ilmu seterusnya – Heart Therapy. Ianya diadakan di alma mater aku, Universiti Malaya. Di sini aku dipertemukan dengan Mary Ann Gooi. Aku pernah sama kelas dengan Mary Ann di Fakulti Undang-Undang. Beliau seorang pelajar yang pandai. Ketika itu dia masih beragama Buddha jika tak silap aku. Ketika berehat untuk solat Zuhur, aku teragak-agak bila disuruh jadi imam dalam kumpulan jemaah yang kecil. Mary Ann menawarkan diri.

Detik ini mengajar aku agar tidak memandang rendah atau rasa diri hebat jika kita dilahirkan sebagai seorang Islam. Tidak mustahil satu hari nanti, ada di antara mereka yang dilahirkan sebagai bukan Islam menjadi hamba yang lebih takwa dan iman dari kita.

Jika Being Me – Muslimah Empowered menjadikan aku seorang yang semakin dahagakan ilmu mengenai Islam, Heart Therapy permulaan aku melakukan amalan yang sebelum ini tidak pernah aku lakukan atau dengar. Aku mula tahu tentang Hisnul Muslim – doa yang dianjurkan oleh Rasulullah Sallallahu alayhi wasalam untuk dibaca pagi dan petang. Aku mula tahu jika seseorang puasa tiga hari putih ayyam al bidh pada 13, 14 dan 15 hari bulan kalendar Islam, seumpama dia telah puasa sebulan.

Aku mula tahu tentang cara mendapatkan rumah di syurga setiap hari dengan mengerjakan12 rakaat sunat rawatib; qabliyah dan ba’diyah. Dua rakaat sebelum Subuh, dua atau empat rakaat sebelum Zuhur, dua atau empat rakaat selepas Zuhur, dua rakaat selepas Maghrib dan dua rakaat selepas Isyak. Solat sunat rawatib ini ambil masa hanya sepuluh hingga lima belas minit, biidznillah sebuah rumah di syurga didirikan setiap hari 12 rakaat ini dibuat.

Aku mula mempelajari tentang kelebihan solat tahajjud, solat dhuha, solat sunat rawatib 12 rakaat, puasa hari putih antara lainnya. Aku mula memenuhkan rak buku yang selama ini dipenuhi oleh buku-buku motivasi, pendidikan awal kanak-kanak, perniagaan dengan buku-buku tentang Islam. Dakwah Corner Bookstore di Ampang Park menjadi tempat aku lepak. Hingga kini aku masih dapatkan bekalan buku-buku tentang Islam dalam Bahasa Inggeris dari kedai buku ini yang kini telah mempunyai beberapa cawangan termasuk di Clock Tower, Mekah.

Ilmu tanpa amal adalah sia-sia. Justeru itu sedaya upaya aku amalkan apa yang telah aku pelajari. Bangun tahajjud buat pertama kali ketika ramai sedang lena bukan perkara mudah. Puasa hari putih di saat ramai yang tidak tahu dan tidak berpuasa pada hari tersebut benar-benar menduga iman. Memakai tudung labuh menutup dada di saat tudung pendek trending dan hijabista menghiasi muka depan majalah buat diri terasa terasing. Imanku yang senipis kulit bawang kadang tidak mampu menangkis dugaan yang datang.

September, 2012 ketika aku dan suami berjalan-jalan di bandar, ternampak papan tanda pejabat Rayhar. Ku heret suami naik ke pejabat mereka. Walau deposit yang diperlukan RM400 seorang dan aku hanya mempunyai RM300 di tangan, hasrat untuk menunaikan umrah tidak mampu aku bendung lagi. Aku dan suami menutuskan untuk menunaikan umrah bulan Februari 2013.

Akhir Februari 2013, dengan menaiki pesawat Saudi Airlines, aku dan suami meninggalkan bumi tercinta menuju bumi barakah. Hanya setelah lebih dari 30 kota dunia aku jejaki, pada usia 40 tahun, aku menyahut panggilan Ilahi.

“Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu ya Allah. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilanMu. Sesungguhnya segala puji dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaan-Mu, tiada sekutu bagi-Mu.”

*** Di akhirat nanti, kita akan ditanya tentang perkara yang kita beri keutamaan ketika di dunia. Kita akan ditanya tentang senarai keutamaan kita. Memberi keutamaan kepada dunia dan segala isinya bermakna kita meletakkan Allah di tempat yang tidak sepatutnya. Apa yang kita tuai hari ini, hasilnya kita akan dapat lihat di akhirat (Quran 82:5).

Catatan Haji : Pasca Haji

Isteri : “Nothing ever touches you anymore. You just drift through life.”
Suami : “I don’t drift. I endure.”

Dialog ini adalah dari filem The Accidental Tourist. Filem ini mengisahkan sepasang suami isteri yang kehilangan anak mereka. Kehilangan yang penuh dirasai. Hidup mereka seperti kosong.
Bulan kedua selepas kembali ke tanah air dari mengerjakan haji, aku seperti pasangan dalam filem ini, terasa kehilangan. Berbeza dengan pasangan dalam filem ini yang kehilangan anak, aku kehilangan semangat untuk hidup. Terasa hidup seperti kosong. I drift, I struggle to endure.
Ini berbeza dengan sewaktu aku baru kembali dari mengerjakan haji. Aku bersemangat dalam melalui hari-hari selepas haji. Aku berhenti dari pengajian sarjana kerana aku punya banyak rancangan untuk bekalan di akhirat. Jika aku perlu fokus kepada pengajian sarjana, aku rasa banyak perkara lain aku tidak dapat buat. Aku mengejar masa. Hati aku sering berkata “aku tidak ada banyak masa.” Air mata tumpah juga bila aku buat keputusan berhenti belajar. Aku gagal genggam bara api hingga ke pangkal lengan.

Aku tidak biarkan kesedihan itu singgah di sanubari terlalu lama. Aku terus mula membaca satu persatu buku-buku yang aku beli. Setiap kali aku melihat rak-rak buku aku dalam cabinet floor to ceiling, aku sedih. Aku rasa anak-anak saudara aku tidak akan berminat mewarisi buku-buku yang aku beli dan sayang. Suami aku juga bukan bibliophile. Sedih bila memikirkan buku-buku aku mungkin akan diberi sahaja kepada sesiapa yang mahu. Belum tentu mereka peminat buku. Mungkin sekadar ingin memenuhkan rak buku atau ambil sahaja sebab diberi percuma. Barang yang diperolehi secara percuma atau dengan mudah selalunya tidak akan dihargai. Mungkin juga aku overthinking, memikirkan perkara yang tidak pasti.

Bulan Ogos, sekembali dari Madinah, aku mampu menghabiskan 2 buah buku – Tetamu Tuhan 50 Hari dan Nearness To You. Jika digabungkan kedua-dua buku ini, aku telah membaca lebih 600 halaman. Bulan September, aku berjaya habiskan 4 buah buku. Aku tidak mahu menulis banyak tentang ibadah yang aku lakukan. Cukup sekadar aku katakan, aku cuba buat seberapa banyak ibadah yang sama seperti yang aku lakukan ketika mengerjakan haji.

Aku fikir semangat aku ini akan terus menyala. Aku fikir iman aku akan terus meroket atau setidak-tidaknya tidak menjunam. Ternyata aku silap. Semakin hari semakin hilang hingga hari ini. Aku drift, ikut sahaja ke mana kehidupan membawa aku. Aku tidak lagi bersemangat membaca buku sebelum ini. Jika dulu beberapa helaian Quran mampu aku baca dalam sehari, semakin lama semakin berkurangan helaian yang aku tatapi. Solat qada struggle aku nak kerjakan, apatah lagi solat sunat. Ganti puasa pun aku tangguh.

Aku ingin sekali bercerita dengan rakan-rakan rapat. Ada yang belum pergi haji. Aku buat andaian mereka tidak akan faham apa yang aku lalui kini, drifting. Tentu ada nanti yang beranggapan aku tidak dapat haji mabrur kerana aku tidak mampu mengekalkan amalan-amalan yang aku buat ketika di sana. Aku kehilangan spark ini.

Memikirkan pakej haji RM80 ribu yang aku ambil, hati makin terasa sedih. Aku tidak kesal duit yang aku laburkan kerana aku sedar ia milik Allah. Jika aku tidak gunakan ke jalan Allah, duit itu mungkin akan habis juga. Jika tidak semasa hayat aku, akan dihabiskan selepas kematian aku. Aku sedih kerana nikmat yang Allah bagi – peluang untuk mengerjakan haji dalam keadaan yang begitu selesa, dipermudahkan dari sebelum sampai ke bumi Mekah lagi, aku tidak manfaatkan sepenuhnya. Aku fikir aku tidak melakukan sebaiknya. Jika tidak, masakan belum pun sampai 2 bulan meninggalkan Haramain, aku sudah tergelincir dari jalan kebenaran.

Berbaik sangka dengan Allah, pesanan yang sering dititipkan oleh para asatizah. Bukan aku kecewa dengan aturan Allah tetapi aku kecewa dengan diri aku sendiri. Aku tidak melakukan yang sebaik-baiknya. Justeru itu aku mudah diperdayakan oleh syaitan – aku semakin malas melakukan perbuatan baik yang beri manfaat kepada dunia dan akhirat aku. Aku mula menghabiskan masa dengan perkara-perkara lagha – menonton drama di Netflix dari satu episod ke episod yang lain.

Masyarakat pandang tinggi mereka yang diberi peluang menunaikan haji. Apatah lagi sebelum ini majoriti duyufurrahman yang telah buat persediaan bertahun lamanya sebelum pergi menunaikan haji. Bila pulang, tiada masalah bagi mereka untuk mengekalkan momentum. Kenapa aku tidak mampu menjadi seperti mereka?

Aku “google” frasa “life after haj” di Youtube. Ternyata aku tidak bersendirian menghadapi cabaran selepas haji. Satu persatu ceramah di Youtube aku dengar. Aku belum terlambat untuk kembali ke siratul mustaqim. Aku tulis di blog ini, tulis tentang kekurangan diri sendiri, tentang kurang persediaan rohani yang mungkin tidak ramai yang mahu mengakui. Aku tahu kekurangan persediaan ini antara sebab aku kini “drifting”, tidak mampu mengekalkan momentum untuk melakukan amalan yang sama seperti ketika aku di Haramain. Mungkin juga amalan yang tidak seberapa ketika berada di sana tidak mampu mejadi benteng pertahanan iman dan takwa.

Aku doa agar tulisan ini dapat menjadi panduan kepada bakal duyufurrahman dan mereka yang telah/akan diberi nikmat mengerjakan haji. Semoga apa yang aku alami tidak dialami oleh tetamu Allah yang lain. Apa yang baik jadikan panduan, apa yang kurang jadikan sempadan insya-Allah.

Emylia Mohd Nor
26 September 2022