Musim Luruh di Gulhane Park, Istanbul

Gulhane bermaksud “Rose House” atau “Rose Garden.” Gulhane Park merupakan salah satu taman yang tercantik di Istanbul. Dikatakan terdapat 80,000 pokok ros ditanam di kawasan seluas 40 ekar ini. Pada mulanya Gulhane Park adalah sebahagian dari taman di bahagian luar istana Topkapi. Mula dibuka kepada orang awam pada tahun 1912. Terletak tidak jauh dari stesen “tram” Gulhane (Line T1). Hanya perlu berjalan kaki sedikit sebelum jumpa pintu masuk ke taman ini.  Masuk adalah percuma.

Musim luruh di Istanbul. Suhu tidak sedingin seperti yang saya jangka. Kali pertama saya hadir di bumi Istanbul bersama 2 orang rakan awal Oktober 2013, sejuk terasa hingga ke tulang. Kali ini, 5 tahun kemudian, walaupun lawatan kali ini hampir ke penghujung Oktober, sisa kehangatan musim panas masih terasa. Mentari masih menghadirkan diri, memancarkan cahaya terang menerangi setiap inci bumi. Tidak perlu pakai baju sejuk yang tebal setiap kali keluar. Sebelum ke Istanbul, pastikan anda semak jangkaan suhu tarikh anda berada di sana. Boleh juga tengok video terkini berkaitan Istanbul dan perhatikan pakaian yang dipakai oleh mereka yang berada di sana. Ini dapat membantu anda menentukan pakaian yang sesuai dibawa ke sana.

 

Dari pintu masuk, sudah kelihatan pokok-pokok memenuhi bahagian kanan dan kiri taman. Seluruh taman redup dipayungi pokok-pokok tinggi dan besar, ada yang ditanam sejak 1800an. Di kiri taman, terdapat kolam pancuran air yang menarik. Kelihatan dua pekerja sedang tekun bersihkan daun-daun yang luruh agar tidak terbang memenuhi kolam.  Jambatan kecil merentangi kolam sesuai untuk dijadikan tempat mengambil potret.

Saya pilih untuk jalan ke arah kiri dahulu. Sepanjang jalan, disediakan bangku-bangku berukir dan tertera perkataan Gulhane Parki. Di sebelah bangku, terdapat tong sampah, warna senada. Menarik, lain dari tong sampah berwarna hitam yang sering saya jumpa. Daun-daun kuning, emas, merah dan coklat berguguran meninggalkan pohon, bertebaran sepanjang jalan. Pemandangan seperti ini yang buatkan saya suka kembara di musim luruh.

 

Selain dari pancuran air di pintu masuk, ada satu lagi pancuran air di bahagian tengah. Leka saya duduk di bangku memerhatikan pertunjukan air di dinding. Aliran air seperti muka surat buku dibuka. Ada perkataan yang saya faham, ada simbol yang saya tidak faham.

Pelbagai arca dipamerkan di Gulhane Park. Saya tidak tahu signifikan arca yang dipamerkan. Tiada banyak maklumat yang dipaparkan. Ada di antaranya kelihatan seperti terdapat pengaruh Rom. Mungkin dibina ketika empayar Rom berkuasa.

Seni arca pancuran air yang diukir menarik perhatian saya untuk singgah sebentar. 4 tempayan dan bangku-bangku dibina mengelilingi arca. Kolam kecil untuk aliran air yang kering jelas menunjukkan pancuran air ini tidak digunakan lagi. Burung-burung yang menjadikan kawasan ini padang permainan mereka.

Mungkin kerana hari bekerja, tidak ramai orang berada di taman waktu itu. Saya hanya nampak satu keluarga dan sekumpulan remaja sedang berkelah di bawah rimbunan pokok. Semakin hampir ke penghujung jalan, keadaan muka bumi semakin berbukit. Kelihatan beberapa pasangan duduk berdua-duaan, menikmati pemandangan Bosphorus dan Golden Horn dari kejauhan.

Bila tiba di penghujung jalan berhampiran pondok pengawal, saya ternampak Laut Marmara terbentang luas di seberang jalan. Kelihatan feri-feri berlayar tenang setenang pemancing-pemancing ikan yang membarisi tebing laut menanti umpan dimakan ikan. Saya turun dari bukit untuk ke seberang jalan. Saya melalui pondok pengawal sebelum melintas jalan yang agak sibuk. Kelihatan beberapa ekor anjing berkeliaran. Setelah beberapa hari di Istanbul, anjing-anjing yang berkeliaran dan bergerak dalam kumpulan tidak lagi menakutkan saya.

Di hadapan saya laut terbentang luas. Sayup di kejauhan, Golden Horn jelas kelihatan. Nelayan tempatan gigih buang joran ke dalam laut, tunggu dengan penuh harapan. Di belakang mereka beg berisi alatan memancing. Di tepi mereka, sebuah baldi untuk isi ikan jika umpan mereka mengena. Sempat saya tinjau dalam baldi salah seorang pemancing. Lebih kurang 10 ekor ikan saiz sederhana rezeki nelayan. Hampir sahaja kepala saya terkena joran yang dibaling ke belakang terlebih dahulu sebelum dibuang ke laut dalam.

Perhatian saya tertumpu lama kepada empat orang anak muda yang sedang asingkan kepah. Kepah dilambakkan di atas hamparan guni. Kepah yang kosong diketepikan dan yang berisi dimasukkan dalam besen. Tidak lama kemudian, seorang dari mereka tarik sesuatu dari dalam laut. Lama dia tarik. Sekali sekala kelihatan dia berhenti seketika. Penat agaknya.

Bila seorang penyelam muncul, pemuda itu berhenti tarik. Penyelam pula ambil alih tugas menarik. Bila yang ditarik muncul di tepian, baru saya tahu ianya pukat yang berisi kepah. Berpuluh kilo kepah terperangkap dalam pukat. Pukat ini kemudian dibawa naik dan dipunggah di atas guni yang berasingan.

Bila kerja asingkan kepah berisi dan yang kosong habis, saya lihat seorang dari mereka mengaup kepah yang kosong ke dalam pongkes dan dibuang semula ke laut.  Sesuatu yang tidak wajar dilakukan pada pendapat saya.

Bila mentari tegak di atas kepala, saya berpatah balik. Kali ini saya pilih laluan bertentangan dari laluan saya datang tadi.

Ternampak satu pasangan pakai baju sama jalan berpelukan. Bersama mereka ada seorang perempuan separuh umur. Mungkin ibu kepada salah seorang dari mereka. Perempuan ini bantu pasangan tersebut ambil gambar di batu yang berukir perkataan Gulhane. Setiap huruf ada hiasan bunga ros. Pelbagai gaya mereka abadikan kenangan di situ. Kami hanya mampu swafoto dan tukar posisi; saya ambil gambar si dia, si dia ambil gambar saya.

Si lelaki datang ke arah kami. Mungkin kasihan melihat kami terkial-kial cuba dapatkan pose terbaik dengan swafoto.

 “Do you want me to take your pictures?”

 “Yes please.” Telefon bertukar tangan.

 “Thank you,” ucap saya sebelum pasangan itu berlalu pergi.

Singgah sebentar di tandas sebelum menuju ke Muzium Sejarah dan Teknologi Islam. Dalam perjalanan ada kafe untuk melepaskan dahaga dan makan sedikit makanan ringan. Kami tidak singgah kerana bawa bekalan air dan sedikit biskut dari hotel. Surau juga disediakan.

Muzium ini termasuk dalam Museum Pass, jadi saya tidak perlu buat bayaran masuk lagi. Muzium lengang. Hanya ada seorang dua pengunjung. Sebenarnya banyak artifak sains dan teknologi dibangunkan oleh cendekiawan Islam dipamerkan di sini. Maklumat untuk setiap artifak juga agak lengkap. Malangnya, ini hari ketujuh saya di Istanbul. Kami telah pergi beberapa muzium sebelum ini. Agak penat juga berjalan dan banyak masa dihabiskan melihat aktiviti memancing dan mengasingkan kepah sebentar tadi. Rugi rasanya peluang ini disia-siakan. Sepatutnya saya masuk muzium ini dahulu sebelum ke bahagian lain Gulhane Park.

Jika anda berada di Istanbul pada bulan April, jangan lepaskan peluang mengunjungi Gulhane Park. Gulhane Park lebih cantik di bulan April bila ribuan tulip pelbagai warna menghiasai taman ini. Istanbul Tulip Festival selalu diadakan 3 minggu terakhir di bulan April di Gulhane Park dan beberapa kawasan lain di Istanbul seperti Sultanahmet Square dan Camlica Hill di Uskudar. Waktu pagi antara 8 hingga 9 pagi paling sesuai melawat Gulhane Park. Peruntukkan masa sekurang-kurangnya 2 jam waktu pagi di sini.

 

Secangkir Kopi di Istanbul

Peribahasa Turki berbunyi,

“Coffee should be black as hell, strong as death and sweet as love.”

“The memory of a good cup of Turkish coffee lasts 40 years.”

Bukan peminat kopi tegar tetapi ke mana sahaja saya kembara, pasti tidak lepaskan peluang menikmati kopi. Anda tidak boleh kata pernah sampai di Turki jika tidak rasa Turkish Coffee. Begitu istimewanya Turkish Coffee, ianya telah dimasukkan dalam UNESCO List of Intangible Cultural Heritage of Humanity pada tahun 2013. Menurut UNESCO,

“Turkish coffee is regarded as part of Turkish cultural heritage : it is celebrated in literature and songs, and is an indispensable part of ceremonial occasions.”

Sejarah Turkish Coffee dikatakan bermula pada tahun 1517 bila seorang pemerintah Ottoman di Yaman, Ozdemir Pasha jatuh cinta dengan minuman yang berasal dari biji kopi di tempat pemerintahan beliau. Beliau perkenalkan kopi kepada Sultan Suleiman. Pekerja istana menyediakan kopi untuk istana dan kemudian kopi menjadi popular di kalangan rakyat jelata.

Bila kedai kopi menjadi popular untuk masyarakat berkumpul dan membincangkan isu politik, kopi cuba diharamkan oleh pemerintah pada tahun 1656. Rakyat merusuh sehingga pengharaman ini terpaksa dibatalkan. Begitu kuat pengaruh kopi di Turki sehingga ada undang-undang yang membolehkan wanita ceraikan suami jika tidak mampu sediakan kopi setiap hari.  :-D.

Apa yang istimewanya Turkish Coffee?

Pengkaji sejarah berpendapat Turkish Coffee istimewa kerana proses penyediaan kopi yang berbeza. Biji kopi ditumbuk sehingga lumat, dimasak dalam cezve. Siap dimasak bila menggelegak, berbuih dan hampir melimpah.

Cezve. Imej : Kadir Celeb on Unsplash

Kadikoy jarang dikunjungi oleh pelancong yang tidak mempunyai banyak masa di Istanbul. Jika anda mempunyai banyak masa, masukkan Kadikoy dalam senarai tempat anda perlu kunjungi. Anda boleh sampai di sini melalui metro, feri, teksi dan sebagainya. Elakkan naik pengangkutan awam sewaktu waktu puncak. Saya lebih suka menggunakan perkhidmatan feri. Stesen ini di bahagian hujung Eminonu menghampiri restoran-restoran makanan laut.

Selepas makan lahmacun yang pedas dan minum segelas Ayran yang lemak masam, tekak teringin nak teguk secangkir kopi Turki. Deretan kedai kopi yang dihias cantik membanjiri Kadikoy. Pilih sahaja yang berkenan di hati. Saya pilih kedai kopi yang disyorkan oleh pelancong lain.

Ada 2 Fazil Bey’in di Kadikoy; pilih yang hampir dengan pasar ikan (Fish Market Kadikoy) yang popular di kalangan rakyat tempatan dan pelancong. Kedai kopi ini kecil sahaja jika dilihat dari luar. Memuatkan kerusi-kerusi kecil yang disusun rapat antara satu sama lain. Ada juga ruang di tingkat atas untuk penggemar kopi yang singgah di Fazil Bey’in. Kedai kopi ini berlainan dengan restoran-restoran lain di sekelilingnya dari segi pemilihan cat dan warna perabot.

Aroma kopi memenuhi setiap ruang. Hanya kopi dijual di sini. Pelbagai perisa boleh dicuba. Seorang pekerja berada di belakang kaunter sewaktu kami tiba. Pesanan dibuat di kaunter. Pemuda yang ambil pesanan kemudian sediakan kopi yang diminta oleh kami.

Suami saya, si dia pilih satu meja kecil dan tiga kerusi di sudut restoran. Sambil menunggu kopi disediakan, saya leka memerhatikan seorang pekerja di situ masukkan biji kopi ke dalam mesin, diproses menjadi serbuk kopi.

Serbuk kopi ini ada yang dijual kepada pelanggan restoran. Ada juga dibungkus untuk dibawa pulang oleh pelanggan untuk kegunaan sendiri atau dijadikan cenderahati.

Rakyat tempatan minum kopi sebagai pelengkap hidangan. Ini berlainan dengan masyarakat di tempat lain yang minum kopi sebaik sahaja bangun dari tidur.

Jangan terkejut melihat cawan kopi yang dihidangkan sangat kecil, besar sikit dari cawan espresso yang biasa kita minum di negara sendiri atau negara lain. Espresso selalunya ada 80mg caffeine. Secawan kecil kopi Turki mengandungi 160mg caffeine. Jangan minum kopi Turki sebelum tidur dan berpada-pada minum kopi Turki kerana kandungan kafein yang tinggi.

Di Fazil Bey’in setiap secawan kopi yang dipesan diberi segelas air kosong dan seketul manisan Turki. Air kosong ini diminum sebelum minum kopi untuk membersihkan usus. Menurut kepercayaan, jika tetamu minum kopi dulu sebelum air kosong, ini bermakna dia kenyang. Jika dia minum air kosong dulu bermakna dia lapar.

Silap sendiri, tidak tahu langsung mengenai kepercayaan ini. Saya minum kopi dulu sebab saya tahu kopi Turki pekat. Lepas minum kopi, saya minum air kosong pula. Konon untuk mudahkan proses penghadaman. Rupa-rupanya air kosong itu patut diminum dulu untuk aktifkan dulu sel deria rasa. Bila dah aktif,  baru dapat rasa keaslian sebenar kopi Turki.

Manisan Turki (lokum) dimakan selepas minum kopi. Menurut kepercayaan, manisan dihidangkan untuk tahu sama ada tetamu puas hati dengan layanan tuan rumah. Jika tetamu makan manisan selepas minum kopi, ini bermaksud tetamu puas hati dengan layanan tuan rumah. Jika makan manisan sebelum minum kopi, ini bermaksud dia tidak puas hati dengan layanan tuan rumah.

Rakyat tempatan lebih suka minum kopi tanpa gula. Gula dimasukkan semasa penyediaan kopi. Semasa buat pesanan, lebih baik jika anda beritahu sama ada anda inginkan gula, lebih gula atau tidak mahu gula langsung.

Bagi kali pertama rasa kopi Turki, mungkin lebih baik jika ditambah sedikit gula. Biasanya gula yang disediakan di restoran Turki datang dalam bentuk kiub kecil. Bila kopi sampai, perlu dikocak perlahan-lahan cawan kopi kerana serbuk kopi yang disediakan tidak larut dalam air. Jangan dikocak terlampau kuat, anda akan minum serbuk kopi. Jika tidak dikocak, anda akan minum kopi yang cair kerana serbuk kopi terkumpul di bahagian bawah.

Bila minum, minum dengan perlahan agar serbuk kopi yang terkumpul di bahagian bawah tidak naik ke atas hingga anda minum serbuk kopi. Serbuk kopi yang tinggal bukan untuk diminum, biarkan sahaja. Ada yang jadikan serbuk kopi yang tinggal bahan untuk tilik nasib. Cawan diterlangkupkan, sisa kopi dalam cawan ditafsirkan.

Selepas minum kopi, boleh window shopping di kawasan sekitar Kadikoy. Laluan seperti batas tanaman. Jalan sampai ke hujung dan masuk ke laluan berikutnya. Peruntukkan 2-3 jam di sini.