Umrah – dari buku The Ultimate Guide to Umrah

Saya telah membuat persediaan menunaikan umrah bersama 2 orang adik perempuan, kakak ipar dan seorang sepupu perempuan pada April, 2020. PKP 1.0 dilaksanaka di Malaysia menyebabkan rancangan kami perlu ditangguhkan buat masa ini. Saya pernah menunaikan umrah pada tahun 2013, adik bongsu saya telah menunaikan umrah dan haji. Pengalaman yang ada dan bacaan dari buku-buku umrah insya-Allah menjadi panduan kami di sana nanti.

Pada mulanya saya tulis nota dari buku Abu Muneer Ismail Davids ini untuk panduan kami berlima. Kemudian terfikir, lebih baik jika saya kongsi juga di blog agar beri manfaat kepada jemaah lain terutama mereka yang bakal menunaikan umrah buat kali pertama.

Buku ini saya pilih kerana ia dalam Bahasa Inggeris. Harap dapat beri manfaat kepada mereka yang tidak faham Bahasa Inggeris. Insya-Allah. Penulis buku ini juga menulis The Ultimate Guide to Hajj (ada diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu). Saya juga pernah hadir kursus haji dan umrah yang dikendalikan oleh penulis buku ini.

Definisi umrah

Diambil dari perkataan Bahasa Arab Al-I’timar yang bermaksud lawatan. Umrah bermaksud tawaf keliling Kaabah, berjalan antara Safa dan Marwah 7 kali, cukur kepala atau gunting rambut pendek.

Mengapa perlu menunaikan umrah?

Dari riwayat Abu Hurairah, Rasulullah Sallallahu alayhi wasalam berkata,

“Dari satu umrah ke satu umrah, menjadi penebus dosa antara keduanya. Sedangkan haji yang mabrur, tidak ada balasan baginya selain syurga.” (Bukhari : 1773, Muslim “ 1349 dan Ahmad : 9948)

Ada yang kata “saya dah pergi umrah berkali-kali, tak mahu pergi lagi.”

Dari riwayat Abu Sa’id Al-Khudri, Rasulullah Sallallahu alayhi wasalam berkata :

“Allah berfirman : Seorang hamba yang Aku beri kesihatan tubuh badannya dan aku luaskan rezeki kehidupannya, lalu berlalu lima tahun dan dia tidak datang ke rumahKU, maka dia adalah seorang yang terhalang dari kebaikan (Mahroum).” (Ibn Hiban : 3703 dan Musnad Abu Ya’laa : 1031)

Perlu bawa anak-anak?

Tidak digalakkan bawa kanak-kanak mengerjakan haji tapi sangat digalakkan bawa kanak-kanak untuk mengerjakan umrah

Umrah dalam Quran dan Sunnah

  • Ikhlas kerana Allah
  • Itiba’a (ikut Sunnah, tidak tambah atau tidak melakukan selain yang dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu alayhi wasalam)
  • Duit yang digunakan untuk mengerjakan umrah mesti diperolehi dari sumber yang halal
  • Jika keliru amalan mana perlu dibuat, tanya pada diri sendiri, apa yang Rasulullah Sallallahu alayhi wasalam kata, buat atau tidak buat dalam keadaan itu.

Amalan Terbaik

1)     Bersedia untuk Ihram (potong kuku, bulu kemaluan, ketiak, ghusl dan lain-lain

2)     Berniat Ihram di miqat

*kredit imej : Syaza Travel & Tours

3)     Memperbanyakkan talbiyah

Kredit imej : https://shafiqolbu.wordpress.com/2012/10/23/fahami-erti-talbiyah-haji/

4)     Membiarkan bahu kanan tidak ditutup dengan kain ihram sebelum tawaf

5)     Melakukan tawaf 7 pusingan sebaik sampai di Mekah bermula dari Hajar Aswad

6)     Mendirikan solat 2 rakaat di Maqam Ibrahim selepas selesai mengerjakan tawaf. Baca Surah Kafirun pada rakaat pertama dan Surah Ikhlas pada rakaat kedua

7)     Minum air zamzam dan cium Hajar Aswad jika boleh. Jika tidak, selepas minum air zam zam, terus ke Safa

8)    Melakukan Sa’ie; bermula dari Safa dan berakhir di Marwah (7 kali)

9)    Cukur kepala bagi lelaki, perempuan gunting rambut lebih kurang seinci rambut pada bahagian yang sama

10)  Keluar dari ihram

11)   Sentiasa dirikan solat sunat 2 rakaat sebelum Subuh

12)  Sentiasa dirikan Solat Witir

13)  Melakukan Tawaf-al-Wadaa

Kesilapan Yang Sering Dilakukan

  1. Wanita enggan berada dalam ihram ketika haid
  2. Wanita hanya ingin pakai pakaian putih untuk Ihram
  3. Tidak lafazkan talbiyah kerana menyangka talbiyah hanya untuk haji
  4. Mengerjakan solat khas selepas memakai pakaian ihram
  5. Membiarkan bahu kanan tidak ditutup sepanjang umrah
  6. Melakukan umrah berkali-kali dan meninggalkan solat fardhu kerana penat
  7. Mengerjakan solat di luar Masjidil Haram walaupun ada tempat kosong dalam masjid
  8. Lelaki dan wanita solat bersebelahan
  9. Wanita solat depan lelaki
  10. Hanya masuk ke Masjidil Haram melalui Baab-as-Salam
  11. Baca doa khas dengan kuat untuk tawaf dan sa’ie
  12. Cium Rukun-al-Yamani
  13. Cium dan pegang/gosok Maqam Ibrahim
  14. Menolak dan mencederakan Jemaah lain hanya kerana ingin mencium Hajar Aswad
  15. Melakukan tawaf beramai-ramai dalam 1 kumpulan besar
  16. Melafaz dengan kuat doa dan sebagainya semasa mengerjakan tawaf dan sa’ie
  17. Ikut sepenuhnya buku doa yang mengandungi doa tertentu di setiap pusingan
  18. Mengupah orang lain untuk baca doa secara kuat untuk diikuti
  19. Melafazkan Inna safaa wal-marwatta di setiap permulaan Sa’ie
  20. Lelaki gunting hanya beberapa helai rambut
  21. Tidak melakukan tawaf-al-wadaa sebelum pulang

Bab berikutnya : Perancangan dan Persediaan