Catatan Haji – Bila Hati Dijentik Ilahi

Tahun 2020, Covid datang tanpa dipinta. Dunia seakan berhenti berputar seketika. Sukar untuk kembara, semua takut jadi mangsa. Ramai yang terkandas, tidak dapat pulang ke pangkuan keluarga. Yang bekerja di lautan, jika sebelum ini pulang hanya sekali sekala, semakin sesak jiwa menahan rindu terhadap keluarga. Hanya panggilan video menjadi perantara. Yang bekerja di udara, ramai yang terpaksa atau dipaksa berhenti kerja.

Aku berusia 48 tahun dan suami 49 tahun ketika Covid-19 bermaharajalela. Kami sudah kembara ke berpuluh-puluh kota dunia tapi kami masih belum menunaikan rukun Islam yang kelima. Terbit rasa kesal di hati, kami sudah mampu untuk pergi. Rayuan untuk menjadi jemaah muasasah sudah ditolak 4 kali. Boleh sahaja kami pergi menggunakan pakej haji, namun waktu itu dunia belum diuji. Hati belum sepenuhnya sanggup mengeluarkan simpanan Tabung Haji. Diri seakan lupa simpanan milik Yang Esa, hanya dipinjamkan buat sementara.

Mac, 2022, aku, suami, 2 adik perempuan, kakak ipar dan sepupu perempuan berangkat ke tanah suci untuk mengerjakan umrah. Kami sepatutnya berlepas pada 10 April, 2020. Rahmat di sebalik dugaan, penangguhan ini membolehkan kami mengerjakan umrah awal Ramadan. Kami sempat berpuasa 4 hari di Mekah.

Manisnya umrah ini setelah 10 tahun aku meninggalkan kota Mekah untuk umrah pertama. Lebih manis lagi, Allah jentik hati untuk ingin kembali semula pada musim haji. Laluan sukar untuk kembali. Hanya 14 ribu sahaja rakyat Malaysia dibenarkan pergi.

Di saat ramai yang sudah dipanggil untuk membuat persiapan menunaikan haji, kami terus menanti. Akhirnya setelah Tabung Haji mengumumkan KT terakhir yang akan pergi, kami hanya mampu gigit jari. Hanya ada satu sahaja laluan untuk kami pergi – rayuan melalui agensi. Pakej haji tahun 2022 lebih mahal berbanding tahun-tahun sebelum ini. Setelah 2 tahun, Malaysia tidak menghantar jemaah haji, tentunya banyak permintaan untuk pergi.

Jika tidak kerana Covid, dengan izin Allah, mungkin hati masih belum 100% sanggup berpisah dengan duit simpanan untuk tujuan kerjakan haji.

Jika tidak kerana Covid-19, dengan izin Allah, ramai yang melengah-lengahkan hasrat untuk menunaikan umrah dan haji termasuk empunya diri.

Jika tidak kerana Covid-19 dengan izin Allah, tentunya lebih ramai tumpu ke negara Eropah berbanding tanah suci.

Alhamdulillah Allah jentik hati, Allah campakkan keinginan meluap untuk tunaikan haji tanpa bertangguh lagi.

Leave a Reply