Catatan Haji : Hati Yang Terpilih

Baru-baru ini aku menaiki Grab pulang ke rumah dari hadir kursus haji di Masjid Asy-Syakirin, KLCC.

Sembang banyak perkara dengan pemandu; anak muda yang tamat pengajian ijazah pada tahun 2019, kerja sebagai jurutera kontrak selama 2 tahun. Bila kontrak tamat, beliau buat e-hailing.

Aku : muda-muda ni baik daftar haji. RM1,300 dah boleh daftar.

Anak muda : saya dah daftar sejak mula bekerja puan.

Aku?

Ketika mula bekerja pada tahun 1999, daftar haji tidak terlintas di fikiran aku. Terasa diri punya banyak masa, boleh je daftar “bila dah bersedia.”

Ketika itu daftar haji pun agak leceh bagi aku.

Eh, kembara ke kota dunia lain beribu-ribu km boleh aje.

Pejabat TH terdekat tak sampai 30km dari rumah, terasa jauhnya. Giliran anak-anak saudara aku tunaikan haji lebih awal dari aku kerana arwah ayah mereka daftarkan mereka haji seawal usia.

Moral of the story – bila kita tiada impian, kita punya banyak alasan.

************************

Sejak 1999, aku sudah mula melancong ke luar negara, bermula dengan bandar Tokyo. Bukan tidak pernah ada impian untuk menunaikan umrah. Dua kota yang menjadi tumpuan umat Islam seluruh dunia – Mekah dan Madinah ada dalam senarai kota dunia yang aku ingin lawati. Malangnya, dua kota ini tidak berada dalam kedudukan 10 teratas dalam senarai aku. Aku fikir aku banyak masa. Aku fikir bila sudah bersara, baru aku akan ke sana. Kononnya lebih mudah beribadah jika tidak terlalu fikir pasal dunia.

Aku sering berkata pada diri “nantilah gi, bila agak-agak dah bersedia”. Baru kini aku rasakan jika impian tidak terlalu tinggi, hati 50-50 nak pergi, memang selama-lamanya tidak bersedia. Jika impian kuat, kekangan kewangan dan masa tidak mampu menghalang hasrat untuk pergi.

Bukan aku dan suami tidak mampu untuk menunaikan umrah sebelum ini (suami sudah pernah pergi sebelum mengenali aku). Setiap tahun sejak berkahwin pada tahun 2000, kami sering pergi bercuti. Cuti-cuti Malaysia beberapa kali dalam setahun. Cuti luar negara sekurang-kurangnya dua kali setahun. Aku sentiasa beri alasan “masih belum dijemput untuk pergi”. Sebenarnya hati masih belum mencintai Allah dan Rasul sepenuhnya. Diri mengaku Islam tapi tidak terbuka pintu hati untuk menzirahi bumi barakah.

Hidayah milik Allah; dicampak ke dalam hati hamba yang Allah pilih. Mei 2012, tika usia menginjak 40 tahun, hati aku antara yang terpilih. Alhamdulillah. Hati didorong untuk ke majlis ilmu Being Me – Muslimah Empowered yang julung kali diadakan di Malaysia. Dalam majlis yang dihadiri oleh lebih dari dua ribu peserta wanita, terasa diriku antara yang tua. Majoriti wanita muda yang hadir adalah pelajar universiti, golongan terpelajar. Majlis dianjurkan dalam Bahasa Inggeris dan perbualan antara mereka yang aku dengar juga dalam Bahasa Inggeris. Sungguh aku cemburu dengan mereka. Ketika aku sebaya mereka, aku lebih mencintai dunia, langsung tidak memikirkan tentang akhirat. Benar-benar aku manusia yang kerugian seperti yang digambarkan dalam Surah Ad-duha.

Waktu itu, aku sudah berhijab, mempunyai suami yang baik, mempunyai perniagaan sendiri. Dugaan Allah tidak dikurniakan cahayamata walau hampir 12 tahun usia perkahwinan, kami terima dengan hati yang reda. Kehidupan aku agak selesa, Cuma aku rasa aku Muslim yang biasa-biasa dari segi ilmu dan amalan. Being Me permulaan baru dalam hidup aku.

Alhamdulillah suamiku tidak pernah menghalang untuk aku menghadiri majlis ilmu walau selalunya kursus mengambil masa Sabtu dan Ahad. Malah selalunya kalau hari Sabtu, suamiku akan menghantar aku ke tempat kursus dan mengambil aku semula bila habis.

Selepas majlis ilmu ini hati didorong untuk ke majlis ilmu seterusnya – Heart Therapy. Ianya diadakan di alma mater aku, Universiti Malaya. Di sini aku dipertemukan dengan Mary Ann Gooi. Aku pernah sama kelas dengan Mary Ann di Fakulti Undang-Undang. Beliau seorang pelajar yang pandai. Ketika itu dia masih beragama Buddha jika tak silap aku. Ketika berehat untuk solat Zuhur, aku teragak-agak bila disuruh jadi imam dalam kumpulan jemaah yang kecil. Mary Ann menawarkan diri.

Detik ini mengajar aku agar tidak memandang rendah atau rasa diri hebat jika kita dilahirkan sebagai seorang Islam. Tidak mustahil satu hari nanti, ada di antara mereka yang dilahirkan sebagai bukan Islam menjadi hamba yang lebih takwa dan iman dari kita.

Jika Being Me – Muslimah Empowered menjadikan aku seorang yang semakin dahagakan ilmu mengenai Islam, Heart Therapy permulaan aku melakukan amalan yang sebelum ini tidak pernah aku lakukan atau dengar. Aku mula tahu tentang Hisnul Muslim – doa yang dianjurkan oleh Rasulullah Sallallahu alayhi wasalam untuk dibaca pagi dan petang. Aku mula tahu jika seseorang puasa tiga hari putih ayyam al bidh pada 13, 14 dan 15 hari bulan kalendar Islam, seumpama dia telah puasa sebulan.

Aku mula tahu tentang cara mendapatkan rumah di syurga setiap hari dengan mengerjakan12 rakaat sunat rawatib; qabliyah dan ba’diyah. Dua rakaat sebelum Subuh, dua atau empat rakaat sebelum Zuhur, dua atau empat rakaat selepas Zuhur, dua rakaat selepas Maghrib dan dua rakaat selepas Isyak. Solat sunat rawatib ini ambil masa hanya sepuluh hingga lima belas minit, biidznillah sebuah rumah di syurga didirikan setiap hari 12 rakaat ini dibuat.

Aku mula mempelajari tentang kelebihan solat tahajjud, solat dhuha, solat sunat rawatib 12 rakaat, puasa hari putih antara lainnya. Aku mula memenuhkan rak buku yang selama ini dipenuhi oleh buku-buku motivasi, pendidikan awal kanak-kanak, perniagaan dengan buku-buku tentang Islam. Dakwah Corner Bookstore di Ampang Park menjadi tempat aku lepak. Hingga kini aku masih dapatkan bekalan buku-buku tentang Islam dalam Bahasa Inggeris dari kedai buku ini yang kini telah mempunyai beberapa cawangan termasuk di Clock Tower, Mekah.

Ilmu tanpa amal adalah sia-sia. Justeru itu sedaya upaya aku amalkan apa yang telah aku pelajari. Bangun tahajjud buat pertama kali ketika ramai sedang lena bukan perkara mudah. Puasa hari putih di saat ramai yang tidak tahu dan tidak berpuasa pada hari tersebut benar-benar menduga iman. Memakai tudung labuh menutup dada di saat tudung pendek trending dan hijabista menghiasi muka depan majalah buat diri terasa terasing. Imanku yang senipis kulit bawang kadang tidak mampu menangkis dugaan yang datang.

September, 2012 ketika aku dan suami berjalan-jalan di bandar, ternampak papan tanda pejabat Rayhar. Ku heret suami naik ke pejabat mereka. Walau deposit yang diperlukan RM400 seorang dan aku hanya mempunyai RM300 di tangan, hasrat untuk menunaikan umrah tidak mampu aku bendung lagi. Aku dan suami menutuskan untuk menunaikan umrah bulan Februari 2013.

Akhir Februari 2013, dengan menaiki pesawat Saudi Airlines, aku dan suami meninggalkan bumi tercinta menuju bumi barakah. Hanya setelah lebih dari 30 kota dunia aku jejaki, pada usia 40 tahun, aku menyahut panggilan Ilahi.

“Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu ya Allah. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilanMu. Sesungguhnya segala puji dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaan-Mu, tiada sekutu bagi-Mu.”

*** Di akhirat nanti, kita akan ditanya tentang perkara yang kita beri keutamaan ketika di dunia. Kita akan ditanya tentang senarai keutamaan kita. Memberi keutamaan kepada dunia dan segala isinya bermakna kita meletakkan Allah di tempat yang tidak sepatutnya. Apa yang kita tuai hari ini, hasilnya kita akan dapat lihat di akhirat (Quran 82:5).

Umrah – dari buku The Ultimate Guide to Umrah

Saya telah membuat persediaan menunaikan umrah bersama 2 orang adik perempuan, kakak ipar dan seorang sepupu perempuan pada April, 2020. PKP 1.0 dilaksanaka di Malaysia menyebabkan rancangan kami perlu ditangguhkan buat masa ini. Saya pernah menunaikan umrah pada tahun 2013, adik bongsu saya telah menunaikan umrah dan haji. Pengalaman yang ada dan bacaan dari buku-buku umrah insya-Allah menjadi panduan kami di sana nanti.

Pada mulanya saya tulis nota dari buku Abu Muneer Ismail Davids ini untuk panduan kami berlima. Kemudian terfikir, lebih baik jika saya kongsi juga di blog agar beri manfaat kepada jemaah lain terutama mereka yang bakal menunaikan umrah buat kali pertama.

Buku ini saya pilih kerana ia dalam Bahasa Inggeris. Harap dapat beri manfaat kepada mereka yang tidak faham Bahasa Inggeris. Insya-Allah. Penulis buku ini juga menulis The Ultimate Guide to Hajj (ada diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu). Saya juga pernah hadir kursus haji dan umrah yang dikendalikan oleh penulis buku ini.

Definisi umrah

Diambil dari perkataan Bahasa Arab Al-I’timar yang bermaksud lawatan. Umrah bermaksud tawaf keliling Kaabah, berjalan antara Safa dan Marwah 7 kali, cukur kepala atau gunting rambut pendek.

Mengapa perlu menunaikan umrah?

Dari riwayat Abu Hurairah, Rasulullah Sallallahu alayhi wasalam berkata,

“Dari satu umrah ke satu umrah, menjadi penebus dosa antara keduanya. Sedangkan haji yang mabrur, tidak ada balasan baginya selain syurga.” (Bukhari : 1773, Muslim “ 1349 dan Ahmad : 9948)

Ada yang kata “saya dah pergi umrah berkali-kali, tak mahu pergi lagi.”

Dari riwayat Abu Sa’id Al-Khudri, Rasulullah Sallallahu alayhi wasalam berkata :

“Allah berfirman : Seorang hamba yang Aku beri kesihatan tubuh badannya dan aku luaskan rezeki kehidupannya, lalu berlalu lima tahun dan dia tidak datang ke rumahKU, maka dia adalah seorang yang terhalang dari kebaikan (Mahroum).” (Ibn Hiban : 3703 dan Musnad Abu Ya’laa : 1031)

Perlu bawa anak-anak?

Tidak digalakkan bawa kanak-kanak mengerjakan haji tapi sangat digalakkan bawa kanak-kanak untuk mengerjakan umrah

Umrah dalam Quran dan Sunnah

  • Ikhlas kerana Allah
  • Itiba’a (ikut Sunnah, tidak tambah atau tidak melakukan selain yang dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu alayhi wasalam)
  • Duit yang digunakan untuk mengerjakan umrah mesti diperolehi dari sumber yang halal
  • Jika keliru amalan mana perlu dibuat, tanya pada diri sendiri, apa yang Rasulullah Sallallahu alayhi wasalam kata, buat atau tidak buat dalam keadaan itu.

Amalan Terbaik

1)     Bersedia untuk Ihram (potong kuku, bulu kemaluan, ketiak, ghusl dan lain-lain

2)     Berniat Ihram di miqat

*kredit imej : Syaza Travel & Tours

3)     Memperbanyakkan talbiyah

Kredit imej : https://shafiqolbu.wordpress.com/2012/10/23/fahami-erti-talbiyah-haji/

4)     Membiarkan bahu kanan tidak ditutup dengan kain ihram sebelum tawaf

5)     Melakukan tawaf 7 pusingan sebaik sampai di Mekah bermula dari Hajar Aswad

6)     Mendirikan solat 2 rakaat di Maqam Ibrahim selepas selesai mengerjakan tawaf. Baca Surah Kafirun pada rakaat pertama dan Surah Ikhlas pada rakaat kedua

7)     Minum air zamzam dan cium Hajar Aswad jika boleh. Jika tidak, selepas minum air zam zam, terus ke Safa

8)    Melakukan Sa’ie; bermula dari Safa dan berakhir di Marwah (7 kali)

9)    Cukur kepala bagi lelaki, perempuan gunting rambut lebih kurang seinci rambut pada bahagian yang sama

10)  Keluar dari ihram

11)   Sentiasa dirikan solat sunat 2 rakaat sebelum Subuh

12)  Sentiasa dirikan Solat Witir

13)  Melakukan Tawaf-al-Wadaa

Kesilapan Yang Sering Dilakukan

  1. Wanita enggan berada dalam ihram ketika haid
  2. Wanita hanya ingin pakai pakaian putih untuk Ihram
  3. Tidak lafazkan talbiyah kerana menyangka talbiyah hanya untuk haji
  4. Mengerjakan solat khas selepas memakai pakaian ihram
  5. Membiarkan bahu kanan tidak ditutup sepanjang umrah
  6. Melakukan umrah berkali-kali dan meninggalkan solat fardhu kerana penat
  7. Mengerjakan solat di luar Masjidil Haram walaupun ada tempat kosong dalam masjid
  8. Lelaki dan wanita solat bersebelahan
  9. Wanita solat depan lelaki
  10. Hanya masuk ke Masjidil Haram melalui Baab-as-Salam
  11. Baca doa khas dengan kuat untuk tawaf dan sa’ie
  12. Cium Rukun-al-Yamani
  13. Cium dan pegang/gosok Maqam Ibrahim
  14. Menolak dan mencederakan Jemaah lain hanya kerana ingin mencium Hajar Aswad
  15. Melakukan tawaf beramai-ramai dalam 1 kumpulan besar
  16. Melafaz dengan kuat doa dan sebagainya semasa mengerjakan tawaf dan sa’ie
  17. Ikut sepenuhnya buku doa yang mengandungi doa tertentu di setiap pusingan
  18. Mengupah orang lain untuk baca doa secara kuat untuk diikuti
  19. Melafazkan Inna safaa wal-marwatta di setiap permulaan Sa’ie
  20. Lelaki gunting hanya beberapa helai rambut
  21. Tidak melakukan tawaf-al-wadaa sebelum pulang

Bab berikutnya : Perancangan dan Persediaan

Tersungkur di Taman Syurga

Setiap umat Islam yang mencintai Allah dan Rasulnya pasti mempunyai impian untuk sujud di hamparan hijau Raudhah, menadah tangan memohon keampunan dari Pencipta, memohon dipermudahkan urusan hidup di dunia dan akhirat. Bukan semua yang mempunyai impian ini mampu dan dipermudahkan untuk menziarahi Taman Syurga.

Sebelum 2013, saya juga mempunyai impian tetapi sering berkata pada diri “nantilah gi, bila agak-agak dah bersedia”. Sebenarnya jika impian tidak terlalu tinggi, hati 50-50 nak pergi, memang selama-lamanya tidak bersedia. Jika impian kuat untuk pergi, kekangan kewangan dan masa tidak mampu menghalang hasrat untuk pergi.

Semasa bekerja di Seremban (Nov 2002-Nov 2006), satu-satunya peguam di Seremban yang sudi berkawan dengan saya – Norizal Ismail (Ija) sering memujuk saya untuk menunaikan umrah (semoga Allah sentiasa merahmati sahabat saya ini dengan bahagia di dunia dan akhirat amin). Waktu itu saya memang 2,3 kali setahun akan bercuti ke luar negara. Kata Ija

“Emy, gi umrah, pengalaman tak sama”

“InsyaAllah later kot” jawapan yang sering saya bagi

2012, saya mula menghadiri majlis ilmu akhirat, bermula dengan Being Me – Muslimah Empowered 2012. Selepas beberapa majlis ilmu saya hadiri, cinta kepada Allah dan Rasulnya bertambah; hati meronta untuk ke Mekah & Madinah. Shahrul agak keberatan kerana pernah pergi bersama mak dia sebelum kami kahwin. Dia nak kami kumpul duit untuk tunaikan haji – 2 in 1.

Sept 2012 – kami berjalan-jalan di sekitar Shah Alam dan melewati Rayhar Shah Alam. Saya bagi tau Shahrul nak gi pejabat diaorg untuk survey. Pegawai Rayhar bagi penerangan. Tanpa berfikir panjang saya letak deposit RM300, itu saja yang saya ada (sepatutnya bayar RM400). Shahrul tak terkata apa-apa. Pakej kami RM7k+ kerana hotel 3* di Mekah terletak lebih kurang 700m dari Masjidil Haram, hotel 4* di Madinah lagi dekat dengan Masjid Nabawi dan di Madinah, bilik kami di tingkat antara paling atas & lif berasingan dari lif untuk bilik-bilik di tingkat bawah. Kami pergi Feb 2013; Madinah agak sejuk waktu itu. Waktu itu saya tidak ada simpanan untuk umrah. Bila tiba masa untuk bayar, Alhamdulillah cukup.

permulaan kembara suci

Cerita sepanjang menunaikan umrah banyak tapi hanya akan fokuskan pengalaman di Raudhah untuk kali ini.

saya langsung tak pakai telekung ketika menunaikan umrah

completed umrah wajib. tiada kata mampu diungkapkan

ada jemaah tolong ambilkan; satu2nya gambar bersama berlatarbelakangkan Kaabah

Kami dibahagikan kepada grup wanita dan lelaki. Mutawwif wanita membawa kami ke Masjid Nabawi. Dah diberitahu, ambil wudhu terlebih dahulu di hotel tapi sampai sana majoriti tiada wudhu; ada yang dah terbatal wudhu. Sementara menunggu, yang lain solat tahiyatul masjid, dhuha dan solat-solat sunat lain.

Paling tak best, lama sangat berada di ruang solat. Jemaah negara lain dah berpusu-pusu ambil tempat beratur untuk masuk Raudhah. Mutawwif dok bercerita tentang pengalaman dia, ada yang relevan, ada yang tak. Ramai pulak bertanya, ramai pulak yang kongsi kisah mereka. Cerita yang menunjukkan unsur-unsur riak pun ada terutama bila yang bercerita seorang wanita ala Datin dalam grup kami. Taulah dah pergi beberapa kali. Saya cuba sedaya upaya untuk husnuzon (it was not easy). 2 jam kemudian baru bergerak ke ruang menunggu. By that time, jemaah negara lain dah ramai.

Di ruang menunggu, so called Datin bercerita lagi – dah masuk bab anak-anak belajar di tahfiz berbayar.

“Lain sikit cara solat mereka belajar, solat kita banyak ikut-ikut”

“Anak saya dah hafal beberapa juzuk Quran”

Memang saya benar-benar diduga sebelum jejakkan kaki ke Raudhah. No matter how hard I tried to focus on the remembrance of Allah and his Prophet, suara dia benar-benar berjaya hilangkan fokus saya.

Barisan bergerak agak lambat. Satu ketika barisan bergerak laju. Jemaah lain berlari-lari, grup kami bersopan santun jalan. Saya berjalan agak laju & I found myself termasuk dalam grup kecil Malaysia dari agensi lain. Di situ juga saya dikelilingi jemaah Indonesia dan Turki. Saya tak nampak ahli grup saya, tapi apa yang saya nampak pintu masuk Raudhah semakin hampir dengan saya.

Alhamdulillah saya tidak perlu lagi dengar cerita Datin. Berdoa agar Allah permudahkan urusan di Raudhah. Bila tiba grup kami masuk, wanita-wanita Turki yang berbadan besar dan wanita-wanita Indonesia berasak-asak masuk. They kept on pushing walaupun berkali-kali petugas jerit

“this is Raudhah, this is Raudhah, solah solah”

Saya cuba untuk mengambil ruang kecil di tepi tiang. Di depan saya jemaah Turki sedang solat. Sekumpulan wanita tolak saya dari belakang waktu saya baru nak angkat takbir. Saya tersungkur, menghempap jemaah Turki di depan saya yang sedang sujud. Nangis, bukan sangat sebab sakit, walau sakit memang terasa, tapi terasa peluang saya hancur untuk solat di Raudhah. Keadaan kucar-kacir, saya jemaah paling kecil dibandingkan dengan wanita-wanita Turki.

Seorang petugas yang nampak saya tersungkur tarik tangan saya di tepi tiang dan kata

“solah, solah”

Cepat-cepat saya solat; petugas itu jadi benteng saya agar tidak dirempuh oleh jemaah lain.

Cukup 2 rakaat saya beralih ke ruang lain, berdoa sambil berdiri. Sebab saya kecil, tak nampak macam makan ruang sangat. Masih dirempuh kiri kanan tapi takde sampai tersungkur.

Air mata memang mudah mengalir walau kadang bila menonton bukan cerita sedih. Anak kucing mati, mak kucing nangis, saya pun nangis. Di Raudhah airmata lagi mudah mengalir laju, mengenang dosa-dosa lalu, mengenang diri yang tidak bersyukur, walau diberi nikmat dunia.

Hati masih belum tunduk biar seribu kali diingatkan Ittaqullah atau fear Allah.

Lidah masih belum basah dengan zikir, walau diingatkan “remember me & I will remember you”.

Kata-kata Ija 9,10 tahun dahulu memang ada kebenarannya. Lain pengalaman berada di bumi barakah. Sinaran lampu Eiffel Tower tidak mampu menyinari hati saya sepertimana sinaran keimanan saya perolehi di bumi barakah, gembiranya mendaki Great Wall of China tidak ada maknanya berbanding kegembiraan saya perolehi selepas habis tunaikan solat 2 rakaat di Raudhah, indahnya lautan terbentang di Surfers Paradise Gold Coast tidak mampu menandingi keindahan karpet hijau yang terbentang di Raudhah, damainya berada dalam boathouse Lake Dhal, Kashmir tidak mampu mendamaikan hati saya sepertimana damainya hati saya mengerjakan solat Subuh di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, nikmatnya kedinginan malam di Nami Island tidak mampu mengatasi nikmat kedinginan Subuh sewaktu kaki melangkah ke dua masjid yang pahala solat di situ dijanjikan pahala berlipat ganda.

Hanya sekali berkesempatan solat dan doa di Raudhah. Tidak mampu rasanya bersesak-sesak, tolak menolak untuk beribadah di taman syurga. Cukuplah sekali.

Hingga ke hari ini, bila iman yang senipis kulit bawang turun menjunam, pengalaman di kedua-dua masjid memberi kekuatan untuk melakukan ibadat.