DIY BALI 5D4N RM1,200 all in 🙄
Saya berhenti kerja pada Nov 2006. Sebelum berhenti kerja, pada tahun yang sama, saya pulun melancong ke Bangkok (bersama suami), Seoul & Nami Island (bersama suami, Elynn, dan ibu mertua) dan Hong Kong (bersama staf). Saya tahu saya memerlukan sekurang-kurangnya 2 tahun untuk mengukuhkan perniagaan yang akan saya ceburi, tiada bajet untuk jalan-jalan tengok dunia.
2007 dan 2008, bisnes masih rugi; belum break even. Saya terpaksa bekerja di 2 enrichment centres ptg/malam/hujung minggu 15-20 jam seminggu untuk mendapat pendapatan tambahan.
2009 – bisnes bertambah baik. Dapatlah bayar hutang-hutang dan saya tidak perlu bekerja lagi di tempat lain untuk pendapatan tambahan. Masih kena berjimat sebab impian untuk melihat bisnes berterusan.
Setelah 2 tahun tak ke luar negara, saya dan BFF saya, Elynn melancong ke Bali. Sepatutnya bertiga, Rinie akhirnya tak dapat turut serta. Bajet kami berdua hanya RM1,200. RM250 untuk tiket kapal terbang pergi dan balik. RM200 seorang untuk menetap di Tune Hotel, Kuta. Baki RM750 untuk belanja. Berjanji taknak guna kad kredit, taknak tanggung hutang untuk travel. Prinsip taknak berhutang untuk travel, kami praktikkan sehingga kini.
Perjalanan bermula dengan penangguhan 2 1/2 jam. Kalau tunggu di terminal ok gak, tapi ni dah berada dalam perut kapal terbang. Apa lagi nak buat kan? Selfie!
Sampai agak lewat. Naik teksi untuk ke hotel.
Oleh kerana bajet yang sangat terhad, kami bawa makanan seperti biskut, serunding, roti, mee segera dari Malaysia supaya kami tak perlu makan luar. Kami hanya makan luar 2x sahaja.
Memula ingat nak sewa motor jalan-jalan sekitar Kuta, tapi bajet tak cukup 😉
Banyak masa dihabiskan di pantai Kuta – people watching
Hasil jimat-jimat makan, duit belanja RM750 kami sempat :
1)manjakan diri 3 jam RM60 di sini
2) flying fox
3) menonton tarian Barong di GWK
4) menonton tarian Kecak di Uluwatu
5) bermesra dengan monyet-monyet jinak di Uluwatu
6) makan malam di Jimbaran
7) Buffet Lunch di Batur Sari, Kintamani
8) melawat padi bukit di Tegallalang
9) scuba diving di Nusa Dua
10) shopping ini je yang mampu
Bila tiba masa untuk pulang, duit memang nyawa-nyawa ikan. Sampai di airport, pemandu teksi kata jangan lupa bayar airport tax tunai Rp150,000 seorang 🙄 Langsung tak tahu pasal ni.
Dahlah lapar, ingat nak habiskan duit yang ada untuk makan best sikit kat airport. Bila kira-kira, kami hanya mampu makan nasi putih dan tomyam mangkuk kecil kongsi 2 orang.
Tak puas ke Bali kali pertama, 2013 saya kembali semula ke Bali bersama suami.
Walau travel bajet sangat kali ini, kami makin bersemangat untuk jalan-jalan tengok dunia. Di Bali kami plan akan ke India 2 tahun lagi. Kali ini bersama Rinie dan impian menjadi kenyataan. Kami bertiga ke Golden Triangle & Kashmir India, 2011.