Hotel Murah di Hong Kong – Golden Crown Guesthouse, Tsim Sha Tsui

Bila bercuti bersama keluarga di luar negara, membawa rombongan yang besar, ramai memilih untuk tempah rumah/apartment melalui airbnb. Saya kurang gemar menggunakan perkhidmatan airbnb kerana :

  1. tidak banyak review yang saya boleh baca;
  2. kebanyakan apartment/rumah tidak terletak berhampiran pengangkutan awam;
  3. terdapat kes penipuan tuan rumah tidak mengotakan janji mereka – batalkan tempahan di saat akhir, rumah/apartment berlainan dari yang ditunjukkan dalam iklan, faktor kebersihan, tidak berdaftar dengan penguatkuasa tempatan dan sebagainya;
  4. cleaning/service fees yang agak tinggi

Saya hanya menggunakan perkhidmatan airbnb sekali sahaja semasa ke Legoland hanya kerana rumah tersebut mempunyai 6 bilik dan boleh menempatkan kami seramai 18 orang. Agak sukar mendapat rumah mempunyai 6 bilik di airbnb.

Kali pertama saya ke Hong Kong adalah pada tahun 2006 bersama suami dan rakan-rakan. Oleh kerana ianya office trip, kami menggunakan khidmat Malaysian Harmony Travel & Tour.

Pada Disember 2014, saya membawa rombongan keluarga seramai 18 orang, majoriti kanak-kanak ke Hong Kong. Kami terbang bersama Air Asia.

Saya telah memilih Golden Crown Guesthouse, 5F, Golden Crown Court, 66-70 Nathan Road, Hong Kong, China (Tsim Sha Tsui). Golden Crown Guesthouse terletak di rumah kedai lot tengah, jalan utama.

Tempahan bilik-bilik perlu dibuat melalui laman web mereka. 

Di sebelah kiri laman web, tekan “Book Now”. Masukkan butir-butir tempahan dan “submit”. Kalau boleh pastikan tiada perubahan pada tempahan kerana akan melambatkan proses pengesahan tempahan. Bila mereka dah confirm (selalunya dalam masa 24 jam selepas tempahan bilik dibuat), jika berlaku perubahan, sementara menanti pengesahan seterusnya, mungkin tiada lagi bilik yang diperlukan.

Seterusnya masukkan butir-butir peribadi. “Submit”.

Diberi no invois. Setiap kali ingin login, kena masukkan email address dan no invois.

Boleh lihat status tempahan di sebelah kiri “Quick Menu – Latest Reservation”/ “Member Area – My Reservation”.

Emel akan dihantar memberitahu deposit (harga bilik/bilik-bilik untuk semalam) yang perlu dibayar dalam tempoh 24 jam. Jika bayaran tidak dapat dibuat dalam masa ditetapkan, beritahu mereka dalam tempoh 24 jam, jika tidak tempahan akan dibatalkan.

Bayaran penuh perlu dibuat semasa check in. Bila nak check out, hanya tinggalkan kunci dalam kotak yang disediakan. Sistem tempahan mereka sangat efisyen.

Hotel murah di Hong Kong secara amnya mempunyai saiz bilik yang kecil. Golden Crown Guesthouse juga tidak terkecuali. Saiz kecil. Bersedia untuk solat dalam ruang yang sempit.

Kenapa saya pilih Golden Crown Guesthouse?

  1. Harga yang munasabah

Harga dinyatakan adalah untuk setiap bilik dan bukan setiap orang. Juga sudah termasuk segala cukai dan servis perkhidmatan.

Kami tempah :

  • 3 bilik Renovated Double (HK420) – pada 2014, kurang dari RM200 semalam.
  • 1 bilik 3 persons family (HKD580)
  • 1 bilik 4 persons quadruple (HK600)
  • 1 bilik superior quadruple (HK650) – Saya tidak pasti bilik untuk adik saya bersama seorang anak perempuan dan 2 anak lelaki ini superior/deluxe. Bilik mereka adjoining room dipisahkan oleh pintu dan berkongsi bilik air yang sama.

2. Kemudahan yang disediakan

Bilik berhawa dingin, bersih dan dikemas setiap hari, televisyen, telefon, bilik air yang dilengkapi dengan hot/cold shower berkelajuan tinggi tidak perlu dikongsi dengan bilik lain, 24 jam air panas/sejuk di tepi koridor (tidak boleh masak di dalam bilik) – cuma bawa milo/kopi 3-in-1, tuala mandi, berus & ubat gigi, sabun & shampu, pengering rambut dan yang penting WiFi berkelajuan tinggi. Meja kecil untuk komputer riba juga disediakan dalam bilik. Boleh juga menggunakan komputer yang disediakan di reception. Sim card juga boleh dibeli di sini.

Lif juga disediakan. Terdapat 2 lif – satu membawa ke tingkat bernombor ganjil dan satu lagi membawa ke nombor genap. Reception terdapat di tingkat 5. Golden Crown Guesthouse menempatkan tetamu di tingkat 5 dan 6.

3. Lokasi Strategik

Airport Bus

Agak mudah untuk datang ke Golden Crown Guesthouse dari lapangan terbang. Airport shuttle bus berhenti di ruang ketibaan Aras 5. Terminal bas ini dikenali sebagai Hung Hom KCR Station. Cari bas nombor A21 (beroperasi dari 05.00 – 23.59) atau bas N21 (beroperasi dari 00.00 – 05.00). Waktu menunggu antara 10-15 minit.

Harga tiket bas adalah HKD33 untuk dewasa dan untuk kanak-kanak separuh dari harga ini. Harga ini termasuk untuk bagasi. Perjalanan dari lapangan terbang ke Golden Crown Guesthouse adalah antara 40-80 minit (bergantung kepada kesesakan trafik). Bila naik bas, pastikan anda meletakkan bagasi anda terlebih dahulu di bahagian hadapan sebelum mencari tempat duduk. Pastikan beg yang mempunyai barang berharga berada dengan anda setiap masa.

Bas A21/N21 akan berhenti di Bus Stop no 13 – Cameron Road (MTR Station : (Tsim Sha Tsui); depan Citibank. Macam mana nak tau bila bas berhenti di Bus Stop No 13? Ada monitor/skrin dalam bas yang memaparkan bus stop no berapa bila bas berhenti. Jalan ke depan sikit (1 minit) – akan jumpa Golden Crown Guesthouse yang terletak antara Citibank dan Standard Chartered Bank.

golden-crown-guesthouse

Jika ingin ke airport, tempat menunggu bas di seberang jalan. Waktu balik, kami minta pihak hotel arrange airport transfer untuk kami sebab penerbangan awal pagi.

2-3 minit berjalan kaki ke Stesen MTR Tsim Sha Tsui East

Mudah melawat tempat-tempat menarik di Hong Kong menggunakan MTR. Stesen MTR East Tsim Sha Tsui yang terletak berhampiran menjimatkan wang dan masa bila melawat Hong Kong.

10 minit berjalan kaki ke Victoria Harbour

Di Victoria Harbour :

  • boleh menyaksikan Symphony & Lights yang diadakan pada pukul 8pm di Avenue of Stars.
  • boleh naik feri dari Star Ferry Pier untuk perjalanan 1 jam mengelilingi Hong Kong.
  • boleh membeli belah di Harbour City mall yang merupakan pusat membeli belah terbesar di Hong Kong. Boleh juga berjalan kaki ke K11 mall.

Seberang jalan ke Kowloon Mosque & Islamic Centre

Bila keluar dari hotel, boleh nampak Kowloon Mosque & Islamic Centre. Makanan halal juga boleh didapati di kawasan ini terutama di Chungking Mansion. Microwave disediakan di kaunter reception.

4. Diskaun harga tiket

Golden Crown Court menawarkan harga diskaun untuk tempat-tempat menarik di Hong Kong seperti :

  • Disneyland
  • Ocean Park
  • The Peak
  • Ngong Ping Cable Car
  • Sky 100
  • tiket feri ke Macau

golden_crown_discounted_tickets

Boleh dibeli di laman web sebelum tiba di Hong Kong. Setiba di sana, boleh ambil tiket daripada mereka. Harga diskaun yang ditawarkan memang sangat berbaloi terutama kalau bawa ramai ahli rombongan.

Cara untuk ke tempat-tempat menarik di Hong Kong dari Golden Crown Guesthouse ada dinyatakan dalam laman web mereka (link “Attractions”).

Alhamdulillah, trip kami ke Hong Kong berjalan dengan baik. Menginap di Golden Crown Courthouse banyak membantu kelancaran perjalanan kami.