Hotel Sfera, Manjung Perak

Baru-baru ini suami saya ada urusan kerja di Manjung. Saya tak lepaskan peluang untuk ikut. Bekerja sendiri sejak 12 tahun lepas, mudah bagi saya mengikut suami jika bertugas di luar Kuala Lumpur/Selangor. Apatah lagi saya tiada anak untuk dirisaukan tentang persekolahan.

 

Saya langsung tak ingat saya pernah jejakkan kaki di Manjung. Kata suami, kami pernah pergi tapi lebih 10 tahun yang lepas. Pada mulanya kami ingin menetap di Ritz Garden. Tiada rezeki menginap di situ. Penuh. Saya buat tempahan bilik di Hotel Sfera.

 

Sepanjang jalan ke Manjung, tiada pemandangan yang luar biasa. Saya tidur hampir separuh perjalanan. Selepas keluar dari tol Slim River, sebaik sahaja kereta pusing ke kanan, barisan kenderaan memenuhi sepanjang jalan buat hati tertanya-tanya. Ingatkan ada majlis kahwin. Rupa-rupanya di situlah terletaknya Restoran Bamboo Sungai Klah. Saya tak pernah tahu restoran ini pernah menjadi viral.

 

Jalan menuju ke Manjung seterusnya melalui ladang kelapa sawit dan ladang kelapa. Kebetulan tarikh pilhanraya yang ke 14 telah diumumkan, sepanjang jalan dipenuhi bendera parti-parti yang bertanding. Semakin menghampiri bandar Manjung, gerai-gerai jual buah-buahan tempatan seakan menggamit pengunjung untuk singgah. Menyesal juga saya tak berhenti beli buah sebab dalam perjalanan pulang tak sempat singgah.

 

Setiba di Hotel Sfera, proses daftar masuk agak mudah. Kami diberi diskaun; mungkin kerana off peak season. Cuma tiada bilik yang memuatkan katil saiz queen pada malam pertama kami menginap. Yang tinggal cuma bilik twin sharing. Untuk malam kedua ada tapi saya malas nak pindah bilik.

 

Lobi

 

Lobi – Ruang Menunggu

 

Hotel Sfera ada dua bangunan; satu bangunan tambahan terletak di seberang jalan bangunan utama dan dihubungkan dengan bangunan utama melalui skybridge. Tiada masalah pun mahu menginap di bangunan utama atau bangunan di seberang jalan. Cuma kemudahan memang berada di bangunan utama. Harga bilik di bangunan utama mahal sedikit dari harga bilik di bangunan tambahan.

Tempat letak kereta percuma tapi agak terhad. Juga terletak di seberang jalan. Jika tiada tempat kosong, boleh sahaja letak kereta di sepanjang jalan tepi hotel cuma perlu bayar.

Jambatan yang menghubungkan bangunan utama dan bangunan tambahan

 

Kami diberi bilik di tingkat tiga; tingkat paling atas.

 

Bilik twin sharing

 

Bilik agak besar. Bersih dan kemas. Ada meja menulis, kemudahan menggosok, alatan mandian yang lengkap, kemudahan buat kopi/teh dan wifi percuma. Bilik air moden; tempat mandi dan tandas dipisahkan oleh dinding kaca.

 

Saya suka tempat gantung tuala di kedua-dua bahagian pintu bilik air.

 

Kemudahan yang terdapat di Hotel Sfera :

➡ Kolam Renang

 

Kolam renang sesuai untuk semua peringkat umur. Ada permainan kanak-kanak, sauna dan bilik membaca berhampiran kolam renang. Rumput tiruan di kolam renang membolehkan kanak-kanak berlari tanpa perlu risau kanak-kanak terjatuh kerana lantai licin.

Mainan untuk anak kecil sebelah kolam renang

 

➡ Bilik Membaca

 

Bilik berwarna hijau yang mendamaikan terletak di tingkat tiga.  Bilik agak luas. Malangnya tiada bahan bacaan yang baru diletakkan di rak. Mungkin tidak ramai yang gunakan kemudahan ini.

 

 

➡ Sarapan secara buffet

 

Walaupun ada yang kata tidak banyak pilihan, bagi saya memang memadai. Makanan pelbagai dan rasa masakan tidak menghampakan. Makanan seperti mee goreng/nasi goreng, kuih muih, mee berkuah, roti, pelbagai jenis telur, hash brown dan sosej mengenyangkan.

 

Tidak perlu risau tentang makanan jika menginap di hotel ini. Di belakang Hotel Sfera ada deretan kedai makan. Pasaraya juga terletak di belakang Hotel Sfera.

 

Harga RM8. Puas hati ikan bawal besar dan segar.

 

Hotel Sfera terletak lebih kurang 4km dari jeti ke Pulau Pangkor dan Teluk Batik. Sempat kami menikmati matahari terbenam di Teluk Batik.

 

 

Jika anda berada di Manjung, saya syorkan menginap di Hotel Sfera. Saya puas hati menginap di sini sepanjang 3 hari 2 malam.

2 thoughts on “Hotel Sfera, Manjung Perak

  1. TYRA November 25, 2018 at 6:49 pm

    hotel nya bagus yaa, dengan fasilitas yang terbaik ya

  2. Ardian June 11, 2020 at 8:36 pm

    Bolehkah minta hitungan akomodasi dan transportasi total selama disana? Dan destinasi wisata apa saja disana?

Leave a Reply to lpm UMA Cancel reply