Catatan Haji : Hati Yang Terpilih

Baru-baru ini aku menaiki Grab pulang ke rumah dari hadir kursus haji di Masjid Asy-Syakirin, KLCC.

Sembang banyak perkara dengan pemandu; anak muda yang tamat pengajian ijazah pada tahun 2019, kerja sebagai jurutera kontrak selama 2 tahun. Bila kontrak tamat, beliau buat e-hailing.

Aku : muda-muda ni baik daftar haji. RM1,300 dah boleh daftar.

Anak muda : saya dah daftar sejak mula bekerja puan.

Aku?

Ketika mula bekerja pada tahun 1999, daftar haji tidak terlintas di fikiran aku. Terasa diri punya banyak masa, boleh je daftar “bila dah bersedia.”

Ketika itu daftar haji pun agak leceh bagi aku.

Eh, kembara ke kota dunia lain beribu-ribu km boleh aje.

Pejabat TH terdekat tak sampai 30km dari rumah, terasa jauhnya. Giliran anak-anak saudara aku tunaikan haji lebih awal dari aku kerana arwah ayah mereka daftarkan mereka haji seawal usia.

Moral of the story – bila kita tiada impian, kita punya banyak alasan.

************************

Sejak 1999, aku sudah mula melancong ke luar negara, bermula dengan bandar Tokyo. Bukan tidak pernah ada impian untuk menunaikan umrah. Dua kota yang menjadi tumpuan umat Islam seluruh dunia – Mekah dan Madinah ada dalam senarai kota dunia yang aku ingin lawati. Malangnya, dua kota ini tidak berada dalam kedudukan 10 teratas dalam senarai aku. Aku fikir aku banyak masa. Aku fikir bila sudah bersara, baru aku akan ke sana. Kononnya lebih mudah beribadah jika tidak terlalu fikir pasal dunia.

Aku sering berkata pada diri “nantilah gi, bila agak-agak dah bersedia”. Baru kini aku rasakan jika impian tidak terlalu tinggi, hati 50-50 nak pergi, memang selama-lamanya tidak bersedia. Jika impian kuat, kekangan kewangan dan masa tidak mampu menghalang hasrat untuk pergi.

Bukan aku dan suami tidak mampu untuk menunaikan umrah sebelum ini (suami sudah pernah pergi sebelum mengenali aku). Setiap tahun sejak berkahwin pada tahun 2000, kami sering pergi bercuti. Cuti-cuti Malaysia beberapa kali dalam setahun. Cuti luar negara sekurang-kurangnya dua kali setahun. Aku sentiasa beri alasan “masih belum dijemput untuk pergi”. Sebenarnya hati masih belum mencintai Allah dan Rasul sepenuhnya. Diri mengaku Islam tapi tidak terbuka pintu hati untuk menzirahi bumi barakah.

Hidayah milik Allah; dicampak ke dalam hati hamba yang Allah pilih. Mei 2012, tika usia menginjak 40 tahun, hati aku antara yang terpilih. Alhamdulillah. Hati didorong untuk ke majlis ilmu Being Me – Muslimah Empowered yang julung kali diadakan di Malaysia. Dalam majlis yang dihadiri oleh lebih dari dua ribu peserta wanita, terasa diriku antara yang tua. Majoriti wanita muda yang hadir adalah pelajar universiti, golongan terpelajar. Majlis dianjurkan dalam Bahasa Inggeris dan perbualan antara mereka yang aku dengar juga dalam Bahasa Inggeris. Sungguh aku cemburu dengan mereka. Ketika aku sebaya mereka, aku lebih mencintai dunia, langsung tidak memikirkan tentang akhirat. Benar-benar aku manusia yang kerugian seperti yang digambarkan dalam Surah Ad-duha.

Waktu itu, aku sudah berhijab, mempunyai suami yang baik, mempunyai perniagaan sendiri. Dugaan Allah tidak dikurniakan cahayamata walau hampir 12 tahun usia perkahwinan, kami terima dengan hati yang reda. Kehidupan aku agak selesa, Cuma aku rasa aku Muslim yang biasa-biasa dari segi ilmu dan amalan. Being Me permulaan baru dalam hidup aku.

Alhamdulillah suamiku tidak pernah menghalang untuk aku menghadiri majlis ilmu walau selalunya kursus mengambil masa Sabtu dan Ahad. Malah selalunya kalau hari Sabtu, suamiku akan menghantar aku ke tempat kursus dan mengambil aku semula bila habis.

Selepas majlis ilmu ini hati didorong untuk ke majlis ilmu seterusnya – Heart Therapy. Ianya diadakan di alma mater aku, Universiti Malaya. Di sini aku dipertemukan dengan Mary Ann Gooi. Aku pernah sama kelas dengan Mary Ann di Fakulti Undang-Undang. Beliau seorang pelajar yang pandai. Ketika itu dia masih beragama Buddha jika tak silap aku. Ketika berehat untuk solat Zuhur, aku teragak-agak bila disuruh jadi imam dalam kumpulan jemaah yang kecil. Mary Ann menawarkan diri.

Detik ini mengajar aku agar tidak memandang rendah atau rasa diri hebat jika kita dilahirkan sebagai seorang Islam. Tidak mustahil satu hari nanti, ada di antara mereka yang dilahirkan sebagai bukan Islam menjadi hamba yang lebih takwa dan iman dari kita.

Jika Being Me – Muslimah Empowered menjadikan aku seorang yang semakin dahagakan ilmu mengenai Islam, Heart Therapy permulaan aku melakukan amalan yang sebelum ini tidak pernah aku lakukan atau dengar. Aku mula tahu tentang Hisnul Muslim – doa yang dianjurkan oleh Rasulullah Sallallahu alayhi wasalam untuk dibaca pagi dan petang. Aku mula tahu jika seseorang puasa tiga hari putih ayyam al bidh pada 13, 14 dan 15 hari bulan kalendar Islam, seumpama dia telah puasa sebulan.

Aku mula tahu tentang cara mendapatkan rumah di syurga setiap hari dengan mengerjakan12 rakaat sunat rawatib; qabliyah dan ba’diyah. Dua rakaat sebelum Subuh, dua atau empat rakaat sebelum Zuhur, dua atau empat rakaat selepas Zuhur, dua rakaat selepas Maghrib dan dua rakaat selepas Isyak. Solat sunat rawatib ini ambil masa hanya sepuluh hingga lima belas minit, biidznillah sebuah rumah di syurga didirikan setiap hari 12 rakaat ini dibuat.

Aku mula mempelajari tentang kelebihan solat tahajjud, solat dhuha, solat sunat rawatib 12 rakaat, puasa hari putih antara lainnya. Aku mula memenuhkan rak buku yang selama ini dipenuhi oleh buku-buku motivasi, pendidikan awal kanak-kanak, perniagaan dengan buku-buku tentang Islam. Dakwah Corner Bookstore di Ampang Park menjadi tempat aku lepak. Hingga kini aku masih dapatkan bekalan buku-buku tentang Islam dalam Bahasa Inggeris dari kedai buku ini yang kini telah mempunyai beberapa cawangan termasuk di Clock Tower, Mekah.

Ilmu tanpa amal adalah sia-sia. Justeru itu sedaya upaya aku amalkan apa yang telah aku pelajari. Bangun tahajjud buat pertama kali ketika ramai sedang lena bukan perkara mudah. Puasa hari putih di saat ramai yang tidak tahu dan tidak berpuasa pada hari tersebut benar-benar menduga iman. Memakai tudung labuh menutup dada di saat tudung pendek trending dan hijabista menghiasi muka depan majalah buat diri terasa terasing. Imanku yang senipis kulit bawang kadang tidak mampu menangkis dugaan yang datang.

September, 2012 ketika aku dan suami berjalan-jalan di bandar, ternampak papan tanda pejabat Rayhar. Ku heret suami naik ke pejabat mereka. Walau deposit yang diperlukan RM400 seorang dan aku hanya mempunyai RM300 di tangan, hasrat untuk menunaikan umrah tidak mampu aku bendung lagi. Aku dan suami menutuskan untuk menunaikan umrah bulan Februari 2013.

Akhir Februari 2013, dengan menaiki pesawat Saudi Airlines, aku dan suami meninggalkan bumi tercinta menuju bumi barakah. Hanya setelah lebih dari 30 kota dunia aku jejaki, pada usia 40 tahun, aku menyahut panggilan Ilahi.

“Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu ya Allah. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilanMu. Sesungguhnya segala puji dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaan-Mu, tiada sekutu bagi-Mu.”

*** Di akhirat nanti, kita akan ditanya tentang perkara yang kita beri keutamaan ketika di dunia. Kita akan ditanya tentang senarai keutamaan kita. Memberi keutamaan kepada dunia dan segala isinya bermakna kita meletakkan Allah di tempat yang tidak sepatutnya. Apa yang kita tuai hari ini, hasilnya kita akan dapat lihat di akhirat (Quran 82:5).