9 Panduan Dalam Kapal Terbang Air Asia X

Entri 3 : Hokkaido

1) Hot Seat dan Quiet Zone Air Asia

Kami pilih tempat duduk hot seat dan quiet zone. RM185 untuk setiap tempat duduk.

Tempat duduk kami 7A & 7B betul-betul di belakang Business Class, dipisahkan oleh tirai.

hanya dipisahkan oleh tirai

Eh kata always a budget traveller tapi sanggup bayar mahal hanya untuk tempat duduk?

 Sebab-sebab kami pilih hot seat dan quiet zone :

  • Penerbangan KUL-CTS mengambil masa 8 jam. Saya light sleeper, hypertension…saya perlukan tidur yang cukup tanpa gangguan. Tiada penumpang kanak-kanak berusia bawah 10 tahun dibenarkan di kabin ini.
  • Si dia pula berbadan besar, perlukan extra legroom.
  • Kami juga minum banyak air bila kembara terutama semasa penerbangan. Dehidrasi boleh menyebabkan komplikasi lain. Bila banyak minum air lebih kerap pula ke tandas. Sukar ke tandas jika duduk di baris tengah, apatah lagi jika penerbangan malam. Tak sampai hati nak kejutkan sesiapa yang duduk di tempat duduk berhampiran aisle.

Kembara bajet saya bukan sekadar jimat duit, tapi juga jimat masa dan tenaga. Jika sekadar jimat duit tapi banyak masa dan tenaga diperlukan, saya rela bayar lebih sikit dan jimat untuk perkara lain. Selalunya bila kembara, saya jimat dengan tidak beli cendera hati untuk orang lain. Juga kurang membeli untuk diri sendiri. Saya lebih suka beli pengalaman ketika kembara.

Beza antara hot seat, quiet zone (baris 7) dan quiet zone (baris 8 hingga 14) :

  1. baris 7 boleh cas telefon, tidak pasti di baris 8 hingga 14. Kawan saya yang duduk di hot seat baris 15 kata tiada tempat cas telefon.
  2. baris 7 ada extra legroom, (tidak seluas di baris 15 hingga 34), baris 8 hingga 14 tiada
  3. baris 7 fixed armrest, baris 8 hingga 14 boleh naikkan tempat letak tangan. Ini bermakna jika tiada penumpang di sebelah kita, boleh baring. Sesuai untuk mereka yang berbadan besar.
  4. jika beli tiket baris 7, boleh sahaja pindah ke baris 8 hingga 14 jika tiada penumpang lain. Jika beli tiket baris 8 hingga 14, tidak boleh duduk di baris 7 walaupun baris 7 tiada penumpang. Ini saya nampak dalam penerbangan pulang di mana 2 penumpang yang cuba duduk di baris 7 disuruh kembali semula ke tempat asal. Mungkin bergantung juga kepada kru bertugas.

Saya suka quiet zone. Apatah lagi penerbangan pergi dan balik tidak ramai orang di sini. Memang saya dapat tidur yang cukup.

Makanan dihidangkan sebaik sahaja kapal terbang berlepas.

Tidur yang lena. Sebaik terjaga, rasa syukur dipanjatkan kepada Yang Esa, dikejutkan tepat masuk waktu solat Subuh. Ternampak garis putih melintang di ufuk. Waktu itu jam menunjukkan pukul 4.15 pagi. Tidak tahu kami berada di mana. Cepat-cepat kejutkan si dia untuk ambil wuduk. Saya tahu akan solat dalam kapal terbang, jadi sudah bersedia pakai pakaian solat ready, pakai skirt labuh.

Bagaimana nak tentukan waktu solat?

  • Solat Subuh bermula bila ternampak garis putih melintang di ufuk. Berakhir bila nampak bulatan terawal matahari.
  • Solat Zuhur bermula bila matahari betul tegak atas kepala kita tapi telah tergelincir sedikit ke arah barat. Berakhir apabila bayang-bayangnya menjadi sama panjang dengan sesuatu yang dibayanginya.
  • Solat Asar bermula dari tergelincirnya matahari timur ke barat lalu bayangannya melebihi panjang yang asal dari sesuatu yang dibayanginya hinggalah apabila matahari condong menghampiri ufuk Barat lalu berkuningan rupa-bulatannya. Kuningnya matahari ialah seketika pendek sebelum terbenamnya keseluruhan bulatan matahari tersebut dan seseorang di waktu itu tetap dikira telah mendapat solat Asarnya.
  • Solat Maghrib bermula bila bulatan matahari tenggelam keseluruhannya Berakhir bila mega-mega merah di arah Barat langit mula menghilang.
  • Solat Isya’ bermula bila langit gelap keseluruhannya dan waktunya itu berlangsung sehingga ke pertengahan malam atau hingga terbit fajar sadiq menurut setengah pendapat.

Beberapa kaedah asas yang yang dapat membantu seseorang itu menentukan waktu solat ialah dengan menggunakan sebatang pen atau pensel lalu dipegang di tingkap kapalterbang untuk diukur-banding bayang bagi menentukan waktu Zuhur atau Asar, melihat di ufuk timur bagi tanda permulaan waktu Subuh atau ufuk barat bagi tanda permulaan waktu Maghrib dan Isya’. Seharusnya juga bagi seseorang itu melakukan persiapan ringkas sebelum mengambil sesebuah penerbangan, seperti mencari arah purata penerbangan tersebut supaya mudah baginya mengetahui beza condong bayangan dan arah matahari yang hendak dicari. (maklumat dari laman web ini)

2) Wuduk

Rukun-rukun wuduk seperti dalam Mazhab Shafie:

  • Niat
  • Basuh muka
  • Basuh kedua tangan hingga ke siku
  • Basahkan kepala
  • Basahkan dua kaki
  • Tertib (mengikut aturan)

Saya sudah ambil wuduk sebelum naik kapal terbang. Selepas ambil wuduk, saya pakai stoking. Jika wuduk saya kemudiannya terbatal, saya tidak perlu buka stoking/kasut untuk basahkan bahagian kaki. Saya hanya perlu basahkan tangan dan sapukan tangan basah tadi di bahagian atas kaki/kasut.

Bila bangun tidur, saya tidak pasti sama ada wuduk saya masih sah atau tidak. Saya ke tandas untuk ambil wuduk sekali lagi. Saya hanya basuh sekali sahaja setiap anggota wuduk supaya sinki dan lantai tandas tidak basah hingga menimbulkan ketidakselesaan kepada orang lain.

Tiada masalah ambil wuduk dalam tandas kapal terbang. Cuma jika kita duduk di tengah atau di tingkap dan sukar keluar ke tandas kerana tidak mahu menggangu penumpang yang duduk berhampiran aisle, botol spray berisi air yang boleh dibeli di Daiso, Mr DIY dan sebagainya boleh digunakan untuk wuduk. Hanya spray sekali dua ke bahagian anggota wuduk dan sapu hingga rata di permukaan anggota wuduk.

Peringatan : Jangan masukkan air sebelum melepasi sekuriti dan imigresen. Bila tiba di tempat menunggu sebelum berlepas, baru masukkan air.

3) Solat

Dalam keadaan tenang, ada ruang untuk solat, penumpang mampu berdiri dan tidak takut berlaku kemudaratan kepada diri semasa sedang solat, maka hendaklah berdiri dan melakukan solat seperti biasa. Kedudukan kiblat boleh dirujuk kepada kru atau melihat kepada peta di skrin yang memaparkan kedudukan Arab Saudi (jika ada skrin).

Saya tidak nampak ada ruang untuk saya solat berdiri. Hanya solat duduk di kerusi. Dalam satu ceramah yang saya dengar, waktu solat bermula dan berakhir dengan cepat dalam penerbangan. Bagi solat Subuh yang tidak boleh jamak, solat perlu dilakukan dengan segera.

4) Hiburan

Hiburan dalam penerbangan Air Asia berharga RM59 jika ditempah dalam talian. Jika tidak, perlu bayar RM69 jika dibeli dalam penerbangan. Saya sempat baca buku ini.

5) Istinjak

Tiada bekas/cawan kertas yang boleh digunakan untuk istinjak. Saya guna bekas air Spritzer yang diberi bersama makanan yang dipesan setelah habis diminum.

6) Makan pagi

Alhamdulillah makanan dihidangkan lebih kurang pukul 5.00 pagi. Perut sudah mula terasa lapar waktu ini. Jika tidak lapar pun saya tetap akan makan. Harap tidak perlu makan makanan berat di Chitose Airport yang tentunya harga berlipat kali ganda. Saya pilih mee goreng pedas.

Sedap!

7) Bersihkan diri

Selepas makan, terus saya keluarkan berus gigi dan ubat gigi pakai buang yang saya ambil dari hotel saya pernah menginap serta pencuci muka yang saya letak dalam bekas kecil. Penting bagi saya ada 3 benda ini dalam hand carry bag. Saya juga masukkan sepersalinan pakaian termasuk pakaian dalam dalam hand carry bag. Jika bagasi lewat sampai, saya tidak perlu beli banyak barang sementara tunggu beg sampai. Jimat duit.

8) Disembarkation Card dan Customs

Saya memang sentiasa bawa pen. Senang nak tulis dokumen yang perlu sebelum mendarat. Kru akan edarkan. Jika tak dapat, mungkin sebab semasa diedarkan, kita tidur, minta sebelum kapal terbang mendarat. Jika dah sampai di Chitose Airport susah nak isi. Selalunya barisan beratur di imigresen panjang tapi bergerak cepat. Pastikan tanda tangan di kedua-dua kad. Saya terlupa nak tanda tangan di kad putih. Dah sampai depan pegawai yang jaga barisan baru perasan.

Meriah bunga skirt saya.

9) Telinga sakit

Bagaimanakah kita boleh mengurangkan rasa tidak boleh mengimbangi tekanan telinga semasa penerbangan? Penerangan Dr Ahmad Nordin, pakar ENT dalam artikel ini

  1. Jangan tidur semasa kapal terbang berlepas atau mendarat. Perbezaan tekanan paling ketara semasa 2 masa tersebut.
  2. Kunyah atau telan sesuatu semasa penerbangan, seperti gula-gula atau ‘chewing gum’. Menguap juga berkesan, terutamanya jika anda diiringi oleh rakan yang menjengkelkan anda.
  3. Minum banyak cecair, sebaiknya air mineral. Ia menggalakkan anda menelan & menghidratkan anda. Udara dalam kabin adalah kering, maka ia mengeringkan cecair hidung & menyumbat tiub Eustachian.
  4. Guna teknik ‘vasalva’, seakan meneran. Anda perlu menutup hidung dan mulut dan hembuskan nafas dengan kuat. Jangan meniup terlalu kuat kerana ia boleh merosakkan gegendang telinga & tiub Eustachian.           .
  5.  Guna ubat ‘decongestant’. Ia sepatutnya diperolehi dari doctor, sebaiknya dari bidang ENT, kerana tempoh maksima penggunaan ialah 5 hari.
  6. Tunda penerbangan anda jika anda menghidapi  selsema (‘upper respiratory tract infection’).

Bagaimana dengan kanak-kanak?

JIka kanak-kanak tersebut boleh mematuhi arahan, kaedah seperti di atas boleh digunakan. Yang lain boleh mengikut kaedah tersenarai di bawah:

  1.  Pilih masa minum & makan supaya serentak dengan masa berlepas & mendarat
  2.  Jika mereka enggan, mereka perlu mengunyah atau menghisap sesuatu.
    • Bayi & anak kecil boleh menyusu badan, menyusu botol atau menghisap puting getah (‘pacifier’).
    • Kanak yang lebih besar boleh diberi gula-gula. Perlu diawasi juga apabila kanak-kanak diberi gula, kerana mereka mungkin menjadi terlampau aktif jika tahap gula badan tinggi. Ini kadangkala boleh memalukan ibubapa jika anak mereka tidak bersopan, seperti yang pernah saya alami sendiri sebelum ini.
    • Ambil ubat penahan sakit seperti paracetamol setengah jam sebelum berlepas jika mereka sedang mengalami selsema

Selepas 8 jam penerbangan…

 Entri berikutnya, saya akan kongsi itinerari kami di Sapporo. Insya-Allah.

Leave a Reply