Pengemis Lara di Uskudar, Istanbul

Aku teringin ke Uskudar, sebuah bandar kecil di bahagian Asia. Tekak terasa ingin menikmati bebola daging (kofte) di restoran Kanaat Lokantasi. Ramai pelancong mencadangkan agar aku makan di sini. Untuk ke Uskudar dari Sultanahmet, aku memilih untuk menaiki kereta api Marmaray Line yang menghubungkan Sultanahmet di bahagian Eropah dengan Uskudar di Asia. Marmaray mendapat nama daripada Laut Marmara yang ditambah perkataan ray. Dalam bahasa Turki ray bermaksud rel. Terowong sepanjang 13.6km dibina merentasi Selat Bosphorus untuk membolehkan kereta api membawa penumpang dari bandar-bandar di Asia dan di Eropah.

 

Sekitar pukul lapan malam suasana di stesen trem Sultanahmet agak lengang. Kawasan sekitar Masjid Biru, masih kelihatan ramai pelancong bersantai bersama-sama keluarga dan teman. Gerai-gerai jagung, doner dan buah berangan masih dibuka. Restoran-restoran berhampiran stesen trem seperti Hafiz Mustafa dan Mado dipenuhi ramai pengunjung.

pancuran air di antara Masjid Biru dan Aya Sofia

Seorang anak muda yang cacat penglihatannya berdiri di luar masjid berhampiran stesen Sultanahmet. Tongkat di tangan kanannya, sementara tasbih di tangan kirinya. Dia cuba menarik perhatian pejalan kaki. Harapannya agar ada yang sudi berkongsi rezeki. Si pemberi akan diberikan tasbih sebagai penghargaan kerana murah hati. Ada yang simpati, ramai yang berlalu pergi. Aku menghampiri pemuda itu. 5TL kuselitkan di tangan kanan. Setiap bandar yang aku lawati, aku kongsikan nikmat Allah dengan penduduk tempatan. Pemuda itu tidak akan tahu siapa yang baru sahaja memberikan sumbangan. Aku hanya mengharapkan doanya sebagai balasan.

 

Aku turun di stesen trem Sirkeci. Di seberang jalan ada bangunan Sirkeci Marmaray Line. Istanbulkart boleh digunakan di sini. Aku perlu menuruni beberapa eskalator yang panjang sebelum sampai di tempat menunggu kereta api. Mungkin kurang sesuai bagi mereka yang membawa anak kecil dan warga emas. Perlu berjalan agak jauh juga. Aku tidak pasti sama ada lif tersedia di sini atau tidak. Pergerakan eskalator yang laju pasti agak membahayakan anak kecil dan warga emas.

 

Oleh sebab terowong berada di bawah Selat Bosphorus, penerimaan isyarat talian telefon agak lemah. Suasana agak sunyi. Sementara menunggu, sempat aku memerhatikan perjalanan yang bakal aku tempuhi. Aku seakan-akan tidak percaya bahawa aku berada di bawah Selat Bosphorus.

 

Lima minit di dalam kereta api, aku sampai di stesen Uskudar. Suasana di stesen kereta api Uskudar tidak sesibuk di Taksim ataupun di Sultanahmet. Tempat laluan pejalan kaki sedang diubahsuai. Perkakas pembinaan bersepah di sana sini. Tiada tunjuk arah yang jelas tentang laluan mana yang perlu aku gunakan. Aku memandang kedai-kedai yang terdapat di seberang jalan. Kanaat Lokantasi jelas kelihatan di sebelah kiri dari tempat aku berdiri.

Waktu itu hampir pukul 9.00 malam waktu tempatan. Tidak ramai pelanggan di dalam restoran. Banyak makanan tersenarai pada menu. Harga makanan utama bermula dari RM15. Harga agak mahal bagi aku walaupun nilai Lira lebih rendah berbanding Ringgit Malaysia. Peniaga menaikkan harga makanan untuk mengelakkan kerugian apabila nilai Lira jatuh.

Bahagian dalam restoran agak luas. Tingkat atas juga dibuka untuk pelanggan. Oleh sebab pelanggannya tidak ramai, hanya bahagian bawah sahaja yang dibuka. Di pintu masuk, kelihatan pencuci mulut pelbagai warna dan perisa memenuhi rak kaca. Aiskrim pelbagai perisa juga dipamerkan. Ada pelanggan memesan aiskrim untuk dibawa pulang. Aiskrim itu dimasukkan ke dalam bekas makanan plastik seperti yang digunakan di Malaysia. Satu cedok berharga antara 5 hingga 10TL. Sebelah rak pencuci mulut, pelbagai lauk dalam bekas dipamerkan seperti gerai nasi campur di Malaysia.

 

Sebelum sampai, aku sudah tahu apa-apa yang ingin aku pesan – bebola daging dan agar-agar perisa coklat sebagai pencuci mulut. Seperti di restoran Turki lain, roti diberikan percuma. Tiga ketul bebola daging dimakan bersama-sama roti, diakhiri dengan agar-agar, cukup untuk mengisi perut yang lapar. Agar-agar coklat yang aku beli, rasanya seperti dadih coklat di Malaysia. Perbezaannya hanya pada rasa coklat. Di Istanbul, perisanya lebih sedap.

Aku ke tandas selepas makan. Seperti di kebanyakan restoran di Istanbul, tandas mereka bersih. Memang terasa seperti masuk tandas hotel. Tisu, sabun dan mesin pengering tangan disediakan. Hal ini berlainan dengan tandas di kebanyakan restoran di Malaysia. Lebih baik makan dahulu sebelum masuk ke tandas.

 

Budaya di Istanbul, selepas pekerja nampak makanan sudah habis di pinggan, cepat-cepat mereka mengangkat pinggan mangkuk lalu dibawa ke dapur. Malu kalau melepak lama terutama jika restoran tidak mampu menampung ramai orang pada sesuatu masa. Restoran besar pun akan mengamalkan perkara yang sama. Tiada pelanggan yang duduk lama menghadap telefon bimbit selepas makan. Mereka pulang sejurus selepas makan.

Selepas makan, kami keluar untuk melihat kawasan sekitar sebentar sebelum beransur pulang. Ketika keluar baru aku perasan kelibat tiga wanita mengemis di tepi jalan. Entah kenapa aku tidak perasan akan kehadiran mereka ketika melangkah masuk ke restoran. Berpakaian serba hitam, mereka berdiri dalam jarak yang tidak jauh antara satu sama lain.

Seorang wanita tua, sebelah tangannya memegang tongkat, manakala sebelah tangan lagi dihulur untuk meminta simpati. Sempat aku merenung wajah pengemis tua yang malang itu. Redup matanya meminta belas kasihan.  Tutur katanya satu pun tidak aku fahami. Aku pasti bahawa tuturnya bermaksud menagih simpati.

Wanita kedua, wanita pertengahan usia. Aku ingin melihat ke dalam matanya. Dia tunduk malu. Tiada senyuman terukir pada bibir. Hanya tangan dihulurkan tanda meraih sedikit belanja. Tidak seperti wanita pertama, tiada perkataan terukir daripada mulut wanita kedua ini.

Wanita ketiga, paling muda antara mereka. Tidak seperti dua wanita yang lain, dia duduk meriba anak kecil. Seorang anak lain dalam lingkungan usia empat hingga lima tahun bermain riang berhampiran si ibu. Si anak tiada duka, tiada lara. Aku dan pengemis muda bertentang mata. Andai bicara bisa difahami, pasti banyak yang mahu kutanyakan kepada dia. Ujian apa yang menimpa hingga perlu mengemis di kaki lima?

Tidak sanggup aku melihat wajah-wajah duka mereka bertiga. Aku ingin melangkah pergi. Bukan kerana tiada simpati, tapi kolam air mataku tidak mampu kubendung lagi. Air mata mengalir perlahan membasahi pipi. Si dia berhenti, menghulurkan sedikit belanja buat ketiga-tiga pengemis. Untuk si dia, moga menjadi pahala yang mengalir berterusan selepas kematian. Buat pengemis bertiga, moga sedikit belanja dapat mengalas perut sehari dua.

Ada kedai yang telah tutup, ada yang masih terima pelanggan. Tidak ada barang jualan yang menarik perhatian, lantas kami memutuskan untuk pulang. Memikirkan mungkin aku tidak akan kembali lagi ke Uskudar, aku mengesyorkan kepada suami agar kami mengikuti lorong lain daripada lorong semasa datang tadi.

Pengemis lara ditemui di lorong ini.

Sepanjang lorong, beberapa kedai makan masih dibuka. Jika pertemuan dengan tiga pengemis sebentar tadi sudah cukup memilukan, pemandangan yang menanti di hadapan lebih meruntun perasaan. Seorang wanita separuh usia sedang duduk mencari sesuatu di dalam tong sampah di hadapan sebuah restoran makanan laut. Apabila langkah aku semakin hampir, aku dapat melihat wanita itu sedang mengasingkan sisa makanan yang mungkin masih boleh dimakan ke dalam plastik. Yang mungkin tidak boleh digunakan atau dimakan, dibuang semula ke dalam tong sampah.

Lidahku kelu, tidak berdaya meluahkan walau sepatah kata. Pilu. Si dia yang sejak tadi tidak henti-henti bercakap turut membisu. Kali ini si dia sama seperti aku, meneruskan perjalanan. Mungkin tidak sanggup melihat adegan yang tidak disangka itu. Semakin menghampiri stesen kereta api, langkah seakan-akan mati. Rasa bersalah menghimpit diri. Wanita itu tidak meminta-minta. Dia berusaha. Mungkin jijik di mata manusia, tetapi mana tahu di sisi Allah, dia lebih mulia.

“Kesiannya, bang. Perempuan itu mengutip sisa makanan lalu memasukkan ke dalam plastik.”

Aku dan si dia memutuskan untuk berpatah balik ke tempat wanita itu. Si dia menghulurkan 50TL. Aku melihat ada linangan air mata pada pipi wanita itu. “Alhamdulillah.” Hanya itu yang terucap daripada mulutnya. Mungkin dia sendiri tidak menduga mendapat wang tunai di tempat pembuangan sisa makanan.  Kedua-dua tangan wanita tersebut ditadah ke langit. Mulut seakan-akan berzikir, melafazkan syukur kepada Ar-Rahman Ar-Rahim.

Teringat akan kata-kata penceramah Nouman Ali Khan, “When you find yourself in a position to help someone, be thankful that Allah is answering that person’s prayer through you.” (Jika kita diberikan peluang untuk membantu seseorang, panjatkan rasa syukur kerana Allah perkenankan doa orang itu melalui kita.)

Doa aku buat pengemis lara di jalan raya, tabahkan hati. Syurga akan dipenuhi oleh golongan miskin sepertimu. Janji Allah itu pasti.

2 thoughts on “Pengemis Lara di Uskudar, Istanbul

  1. Maryamnour April 12, 2019 at 10:21 pm

    Orang asing yang tidak merasa asing, itulah khalifah; menunaikan tanggungjawab insani di mana pun berada

    • Emylia April 12, 2019 at 10:24 pm

      Segala-galanya miik Allah. Akan dikembalikan bila tiba waktunya. Cuma kita kadang-kadang lupa.

Leave a Reply to Emylia Cancel reply