Umrah – dari buku The Ultimate Guide to Umrah

Insya-Allah April 2020 saya akan menunaikan umrah bersama 2 orang adik perempuan, kakak ipar dan seorang sepupu perempuan. Saya pernah menunaikan umrah pada tahun 2013, adik bongsu saya telah menunaikan umrah dan haji. Pengalaman yang ada dan bacaan dari buku-buku umrah insya-Allah menjadi panduan kami di sana nanti.

Sepupu saya yang jauh lebih berusia dari saya dan adik beradik beritahu saya baru-baru ini, jiran beliau pergi umrah Disember tahun lepas. Bulan Ogos, jiran beliau sudah mula hadir kursus. Saya dapat rasakan kerisauan beliau kerana kami hanya rancang untuk hadir kursus sehari sahaja pada Mac nanti.

Pada mulanya saya tulis nota dari buku Abu Muneer Ismail Davids ini untuk panduan kami berlima. Kemudian terfikir, lebih baik jika saya kongsi juga di blog agar beri manfaat kepada jemaah lain terutama mereka yang bakal menunaikan umrah buat kali pertama.

Buku ini saya pilih kerana ia dalam Bahasa Inggeris. Harap dapat beri manfaat kepada mereka yang tidak faham Bahasa Inggeris. Insya-Allah. Penulis buku ini juga menulis The Ultimate Guide to Hajj (ada diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu). Saya juga pernah hadir kursus haji dan umrah yang dikendalikan oleh penulis buku ini.

Definisi umrah

Diambil dari perkataan Bahasa Arab Al-I’timar yang bermaksud lawatan. Umrah bermaksud tawaf keliling Kaabah, berjalan antara Safa dan Marwah 7 kali, cukur kepala atau gunting rambut pendek.

Mengapa perlu menunaikan umrah?

Dari riwayat Abu Hurairah, Rasulullah Sallallahu alayhi wasalam berkata,

“Dari satu umrah ke satu umrah, menjadi penebus dosa antara keduanya. Sedangkan haji yang mabrur, tidak ada balasan baginya selain syurga.” (Bukhari : 1773, Muslim “ 1349 dan Ahmad : 9948)

Ada yang kata “saya dah pergi umrah berkali-kali, tak mahu pergi lagi.”

Dari riwayat Abu Sa’id Al-Khudri, Rasulullah Sallallahu alayhi wasalam berkata :

“Allah berfirman : Seorang hamba yang Aku beri kesihatan tubuh badannya dan aku luaskan rezeki kehidupannya, lalu berlalu lima tahun dan dia tidak datang ke rumahKU, maka dia adalah seorang yang terhalang dari kebaikan (Mahroum).” (Ibn Hiban : 3703 dan Musnad Abu Ya’laa : 1031)

Perlu bawa anak-anak?

Tidak digalakkan bawa kanak-kanak mengerjakan haji tapi sangat digalakkan bawa kanak-kanak untuk mengerjakan umrah

Umrah dalam Quran dan Sunnah

  • Ikhlas kerana Allah
  • Itiba’a (ikut Sunnah, tidak tambah atau tidak melakukan selain yang dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu alayhi wasalam)
  • Duit yang digunakan untuk mengerjakan umrah mesti diperolehi dari sumber yang halal
  • Jika keliru amalan mana perlu dibuat, tanya pada diri sendiri, apa yang Rasulullah Sallallahu alayhi wasalam kata, buat atau tidak buat dalam keadaan itu.

Amalan Terbaik

1)     Bersedia untuk Ihram (potong kuku, bulu kemaluan, ketiak, ghusl dan lain-lain

2)     Berniat Ihram di miqat

*kredit imej : Syaza Travel & Tours

3)     Memperbanyakkan talbiyah

Kredit imej : https://shafiqolbu.wordpress.com/2012/10/23/fahami-erti-talbiyah-haji/

4)     Membiarkan bahu kanan tidak ditutup dengan kain ihram sebelum tawaf

5)     Melakukan tawaf 7 pusingan sebaik sampai di Mekah bermula dari Hajar Aswad

6)     Mendirikan solat 2 rakaat di Maqam Ibrahim selepas selesai mengerjakan tawaf. Baca Surah Kafirun pada rakaat pertama dan Surah Ikhlas pada rakaat kedua

7)     Minum air zamzam dan cium Hajar Aswad jika boleh. Jika tidak, selepas minum air zam zam, terus ke Safa

8)    Melakukan Sa’ie; bermula dari Safa dan berakhir di Marwah (7 kali)

9)    Cukur kepala bagi lelaki, perempuan gunting rambut lebih kurang seinci rambut pada bahagian yang sama

10)  Keluar dari ihram

11)   Sentiasa dirikan solat sunat 2 rakaat sebelum Subuh

12)  Sentiasa dirikan Solat Witir

13)  Melakukan Tawaf-al-Wadaa

Kesilapan Yang Sering Dilakukan

  1. Wanita enggan berada dalam ihram ketika haid
  2. Wanita hanya ingin pakai pakaian putih untuk Ihram
  3. Tidak lafazkan talbiyah kerana menyangka talbiyah hanya untuk haji
  4. Mengerjakan solat khas selepas memakai pakaian ihram
  5. Membiarkan bahu kanan tidak ditutup sepanjang umrah
  6. Melakukan umrah berkali-kali dan meninggalkan solat fardhu kerana penat
  7. Mengerjakan solat di luar Masjidil Haram walaupun ada tempat kosong dalam masjid
  8. Lelaki dan wanita solat bersebelahan
  9. Wanita solat depan lelaki
  10. Hanya masuk ke Masjidil Haram melalui Baab-as-Salam
  11. Baca doa khas dengan kuat untuk tawaf dan sa’ie
  12. Cium Rukun-al-Yamani
  13. Cium dan pegang/gosok Maqam Ibrahim
  14. Menolak dan mencederakan Jemaah lain hanya kerana ingin mencium Hajar Aswad
  15. Melakukan tawaf beramai-ramai dalam 1 kumpulan besar
  16. Melafaz dengan kuat doa dan sebagainya semasa mengerjakan tawaf dan sa’ie
  17. Ikut sepenuhnya buku doa yang mengandungi doa tertentu di setiap pusingan
  18. Mengupah orang lain untuk baca doa secara kuat untuk diikuti
  19. Melafazkan Inna safaa wal-marwatta di setiap permulaan Sa’ie
  20. Lelaki gunting hanya beberapa helai rambut
  21. Tidak melakukan tawaf-al-wadaa sebelum pulang

Bab berikutnya : Perancangan dan Persediaan

7 Aktiviti Boleh Dilakukan di New Chitose Airport

Tokyo adalah bandar pilihan pertama destinasi tumpuan pelancong, diikuti oleh Osaka dan ketiga : HOKKAIDO.

New Chitose Airport adalah lapangan terbang utama di Hokkaido. Ada 11 lapangan terbang lain di Hokkaido. New Chitose Airport telah ditambah baik baru-baru ini. Berada di dalamnya, anda seperti berada dalam sebuah pusat beli belah yang besar. Jika penerbangan balik awal pagi, banyak kedai belum buka. Tak sempat nak cuci mata. Mungkin waktu balik, duit pun dah habis. Putih mata tengok sesuatu yang berkenan di hati. Lebih baik habiskan sedikit masa di sini semasa tiba. Ini yang kami lakukan sebab penerbangan balik kami nanti awal pagi.

Sebelum saya beri idea nak buat apa di New Chitose Airport, saya cerita sedikit pengalaman ketibaan. Paling penting tutup mobile data jika tidak gunakan perkhidmatan roaming. Lebih bagus lagi jika anda tutup mobile data sebelum berlepas.

Boleh ambil gambar di sini dulu kalau nak gambar ada perkataan Hokkaido.

Barisan di imigresen selalunya panjang. Beberapa pekerja ditempatkan untuk pastikan proses lancar dan cepat. Pastikan disembarkation card dan customs declaration telah diisi, diletakkan bersama paspot di tempat yang mudah dikeluarkan. Saya terlupa nak tanda tangan kedua-dua kad. Cuba nak pinjam pen mamat Korea di depan. Bini dia tolak laki dia ke depan suruh jalan. Grrrr. Terpaksa pinjam dari staf bertugas. Saya bawa pen tapi leceh nak keluarkan sebab barisan sentiasa bergerak.

Seperti semua lapangan terbang di dunia yang lain, mengambil gambar tidak dibenarkan.

ooopppsie! dah terambil satu. Siap kena tegur dengan ah soh yang berdiri di belakangku

Tengok barisan mana anda patut masuk.

Bila keluar dari imigresen, ada kaunter lagi periksa bagasi penumpang. Ada 2 perempuan depan kami disuruh buka bagasi. Pastikan kunci-kunci bagasi senang dicapai. Pegawai tanya kami beberapa soalan dan kami dilepaskan tanpa perlu buka bagasi.

Di tempat ambil bagasi, nampak seorang staf sedang mengangkat bagasi dari conveyor belt dan menyusun bagasi seperti dalam gambar. Tak perlu dumbbell, hari-hari dia buat senaman lengan.

Selepas ambil bagasi, boleh lakukan perkara-perkara berikut.

7 Aktiviti Boleh Dilakukan di Chitose Aiport

1. Swafoto dan tunafoto di Terminal Antarabangsa dan Terminal Domestik

bergambar dengan abang long kawasan

Nampak tak Information Counter di belakang saya. Saya pinjam kerusi roda di sini untuk kawan saya. Boleh dipulang semula di sini atau di Information Counter terminal domestik.

boleh bergambar di sini…
…dan di sini

lihat pada papan tanda ini untuk ke terminal domestik. Tak jauh. Kalau guna kerusi roda, bila nak dekat sampai, ada lif

dinamakan Smile Road kerana ada Doraemon Waku Waku Sky Park dan Hello Kitty Happy Flight

2) Solat

Terletak di sebelah kanan selepas keluar dari ambil bagasi.

hanya ruang yang kosong. Tiada tempat wuduk dan tiada telekung disediakan

3) Dapatkan Maklumat di Hokkaido Foreign Tourist Information Centre

imej dari laman web Chitose Airport

Dibuka setiap hari dari 8.00 pagi hingga 8.00 malam. Perkhidmatan :

  • dapatkan brosur destinasi percutian
  • perkhidmatan kerusi roda
  • boleh tanya tentang maklumat percutian seperti sewa kereta, sewa wifi, penginapan dan sebagainya.

Staf bertugas boleh berbahasa Inggeris semasa saya minta kerusi roda.

4)  Membeli belah di Terminal Domestik.

Bila sampai, cuba cari skrin ini di Terminal Antarabangsa. Ada maklumat tentang barang atau perkhidmatan yang dijual di New Chitose Airport.

Antara kedai-kedai yang terdapat di Terminal Domestik

ada je yang nak menempel dalam gambar 🙂
Royce Chocolate


Starbucks

Ada juga panggung wayang yang menayangkan filem-filem Hollywood dan onsen untuk merehatkan badan.

5) Bersuka ria di Doraemon Wakuwaku Sky Park

Taman hiburan mini. Ada permainan interaktif, tempat bergambar, aktiviti fizikal untuk anak-anak, perpustakaan, aktiviti mewarna dan melukis, kafe, kedai cendera hati.
Bayaran masuk :
Dewasa : 800 yen
13-18 tahun : 500 yen
3-12 tahun : 400 yen
2 tahun ke bawah : percuma

6) Bersuka ria di Hello Kitty Happy Flight

Sama seperti Doraemon Skypark, sebuah taman mini hiburan.
Bayaran masuk :
Dewasa (13 tahun ke atas): 800 yen
4-12 tahun : 400 yen
3 tahun ke bawah : percuma

7) Menikmati makanan halal

walaupun dah tercegat depan pintu restoran lebih awal, selagi jarum jam tak tunjuk tepat 10.30 pagi, mereka tak benarkan pelanggan masuk

Saya makan ini buat mengalas perut. Kawan makan ikan, dia banyak duit. Gi pasar pun pakai LV  😆

Squid, scallop, shrimp 680 yen Nasi lain harga. Kena cuba juga. Lain macam lembut nasi di Jepun. Red melon & milk 480 yen (ni saya kongsi dengan kawan)
kawan have-have makan ikan ini. 830 yen. Dia bagi saya rasa. Best
bakul oren bawah kerusi untuk letak beg/barang

Selepas habis makan, kami ke tempat menunggu bas untuk ke hotel. Terpisah dari kumpulan. Kami turun di lif berlainan. Ingatkan turun mana-mana lif pun boleh sampai ke tempat menunggu bas di bawah. Tidak. Jadi pastikan :

  • ikut sahaja papan tanda bus/train/taxi,
  • ada lif yang lambat. Turun awal sikit supaya tak tertinggal bas,

Penumpang disuruh susun bagasi. Bila bas sampai, penumpang naik. Bagasi diuruskan oleh pekerja. Dua tempat duduk di hadapan dikhaskan untuk bagasi. Sebelum bas bergerak, pemandu periksa dan ingatkan penumpang agar pakai tali pinggang keledar. Pemandu akan turun di setiap hentian bas, ucap selamat kepada penumpang dan uruskan bagasi penumpang.

Dalam bas, penumpang diingatkan agar :

  • telefon pintar diletakkan dalam silent mode
  • guna earphone jika perlu
  • jangan tinggalkan sampah dalam bas

1 jam juga nak sampai ke Sapporo dari Chitose Airport.

Sesungguhnya tidur itu lebih baik dari membawang atau kacau kawan

9 Panduan Dalam Kapal Terbang Air Asia X

Entri 3 : Hokkaido

1) Hot Seat dan Quiet Zone Air Asia

Kami pilih tempat duduk hot seat dan quiet zone. RM185 untuk setiap tempat duduk.

Tempat duduk kami 7A & 7B betul-betul di belakang Business Class, dipisahkan oleh tirai.

hanya dipisahkan oleh tirai

Eh kata always a budget traveller tapi sanggup bayar mahal hanya untuk tempat duduk?

 Sebab-sebab kami pilih hot seat dan quiet zone :

  • Penerbangan KUL-CTS mengambil masa 8 jam. Saya light sleeper, hypertension…saya perlukan tidur yang cukup tanpa gangguan. Tiada penumpang kanak-kanak berusia bawah 10 tahun dibenarkan di kabin ini.
  • Si dia pula berbadan besar, perlukan extra legroom.
  • Kami juga minum banyak air bila kembara terutama semasa penerbangan. Dehidrasi boleh menyebabkan komplikasi lain. Bila banyak minum air lebih kerap pula ke tandas. Sukar ke tandas jika duduk di baris tengah, apatah lagi jika penerbangan malam. Tak sampai hati nak kejutkan sesiapa yang duduk di tempat duduk berhampiran aisle.

Kembara bajet saya bukan sekadar jimat duit, tapi juga jimat masa dan tenaga. Jika sekadar jimat duit tapi banyak masa dan tenaga diperlukan, saya rela bayar lebih sikit dan jimat untuk perkara lain. Selalunya bila kembara, saya jimat dengan tidak beli cendera hati untuk orang lain. Juga kurang membeli untuk diri sendiri. Saya lebih suka beli pengalaman ketika kembara.

Beza antara hot seat, quiet zone (baris 7) dan quiet zone (baris 8 hingga 14) :

  1. baris 7 boleh cas telefon, tidak pasti di baris 8 hingga 14. Kawan saya yang duduk di hot seat baris 15 kata tiada tempat cas telefon.
  2. baris 7 ada extra legroom, (tidak seluas di baris 15 hingga 34), baris 8 hingga 14 tiada
  3. baris 7 fixed armrest, baris 8 hingga 14 boleh naikkan tempat letak tangan. Ini bermakna jika tiada penumpang di sebelah kita, boleh baring. Sesuai untuk mereka yang berbadan besar.
  4. jika beli tiket baris 7, boleh sahaja pindah ke baris 8 hingga 14 jika tiada penumpang lain. Jika beli tiket baris 8 hingga 14, tidak boleh duduk di baris 7 walaupun baris 7 tiada penumpang. Ini saya nampak dalam penerbangan pulang di mana 2 penumpang yang cuba duduk di baris 7 disuruh kembali semula ke tempat asal. Mungkin bergantung juga kepada kru bertugas.

Saya suka quiet zone. Apatah lagi penerbangan pergi dan balik tidak ramai orang di sini. Memang saya dapat tidur yang cukup.

Makanan dihidangkan sebaik sahaja kapal terbang berlepas.

Tidur yang lena. Sebaik terjaga, rasa syukur dipanjatkan kepada Yang Esa, dikejutkan tepat masuk waktu solat Subuh. Ternampak garis putih melintang di ufuk. Waktu itu jam menunjukkan pukul 4.15 pagi. Tidak tahu kami berada di mana. Cepat-cepat kejutkan si dia untuk ambil wuduk. Saya tahu akan solat dalam kapal terbang, jadi sudah bersedia pakai pakaian solat ready, pakai skirt labuh.

Bagaimana nak tentukan waktu solat?

  • Solat Subuh bermula bila ternampak garis putih melintang di ufuk. Berakhir bila nampak bulatan terawal matahari.
  • Solat Zuhur bermula bila matahari betul tegak atas kepala kita tapi telah tergelincir sedikit ke arah barat. Berakhir apabila bayang-bayangnya menjadi sama panjang dengan sesuatu yang dibayanginya.
  • Solat Asar bermula dari tergelincirnya matahari timur ke barat lalu bayangannya melebihi panjang yang asal dari sesuatu yang dibayanginya hinggalah apabila matahari condong menghampiri ufuk Barat lalu berkuningan rupa-bulatannya. Kuningnya matahari ialah seketika pendek sebelum terbenamnya keseluruhan bulatan matahari tersebut dan seseorang di waktu itu tetap dikira telah mendapat solat Asarnya.
  • Solat Maghrib bermula bila bulatan matahari tenggelam keseluruhannya Berakhir bila mega-mega merah di arah Barat langit mula menghilang.
  • Solat Isya’ bermula bila langit gelap keseluruhannya dan waktunya itu berlangsung sehingga ke pertengahan malam atau hingga terbit fajar sadiq menurut setengah pendapat.

Beberapa kaedah asas yang yang dapat membantu seseorang itu menentukan waktu solat ialah dengan menggunakan sebatang pen atau pensel lalu dipegang di tingkap kapalterbang untuk diukur-banding bayang bagi menentukan waktu Zuhur atau Asar, melihat di ufuk timur bagi tanda permulaan waktu Subuh atau ufuk barat bagi tanda permulaan waktu Maghrib dan Isya’. Seharusnya juga bagi seseorang itu melakukan persiapan ringkas sebelum mengambil sesebuah penerbangan, seperti mencari arah purata penerbangan tersebut supaya mudah baginya mengetahui beza condong bayangan dan arah matahari yang hendak dicari. (maklumat dari laman web ini)

2) Wuduk

Rukun-rukun wuduk seperti dalam Mazhab Shafie:

  • Niat
  • Basuh muka
  • Basuh kedua tangan hingga ke siku
  • Basahkan kepala
  • Basahkan dua kaki
  • Tertib (mengikut aturan)

Saya sudah ambil wuduk sebelum naik kapal terbang. Selepas ambil wuduk, saya pakai stoking. Jika wuduk saya kemudiannya terbatal, saya tidak perlu buka stoking/kasut untuk basahkan bahagian kaki. Saya hanya perlu basahkan tangan dan sapukan tangan basah tadi di bahagian atas kaki/kasut.

Bila bangun tidur, saya tidak pasti sama ada wuduk saya masih sah atau tidak. Saya ke tandas untuk ambil wuduk sekali lagi. Saya hanya basuh sekali sahaja setiap anggota wuduk supaya sinki dan lantai tandas tidak basah hingga menimbulkan ketidakselesaan kepada orang lain.

Tiada masalah ambil wuduk dalam tandas kapal terbang. Cuma jika kita duduk di tengah atau di tingkap dan sukar keluar ke tandas kerana tidak mahu menggangu penumpang yang duduk berhampiran aisle, botol spray berisi air yang boleh dibeli di Daiso, Mr DIY dan sebagainya boleh digunakan untuk wuduk. Hanya spray sekali dua ke bahagian anggota wuduk dan sapu hingga rata di permukaan anggota wuduk.

Peringatan : Jangan masukkan air sebelum melepasi sekuriti dan imigresen. Bila tiba di tempat menunggu sebelum berlepas, baru masukkan air.

3) Solat

Dalam keadaan tenang, ada ruang untuk solat, penumpang mampu berdiri dan tidak takut berlaku kemudaratan kepada diri semasa sedang solat, maka hendaklah berdiri dan melakukan solat seperti biasa. Kedudukan kiblat boleh dirujuk kepada kru atau melihat kepada peta di skrin yang memaparkan kedudukan Arab Saudi (jika ada skrin).

Saya tidak nampak ada ruang untuk saya solat berdiri. Hanya solat duduk di kerusi. Dalam satu ceramah yang saya dengar, waktu solat bermula dan berakhir dengan cepat dalam penerbangan. Bagi solat Subuh yang tidak boleh jamak, solat perlu dilakukan dengan segera.

4) Hiburan

Hiburan dalam penerbangan Air Asia berharga RM59 jika ditempah dalam talian. Jika tidak, perlu bayar RM69 jika dibeli dalam penerbangan. Saya sempat baca buku ini.

5) Istinjak

Tiada bekas/cawan kertas yang boleh digunakan untuk istinjak. Saya guna bekas air Spritzer yang diberi bersama makanan yang dipesan setelah habis diminum.

6) Makan pagi

Alhamdulillah makanan dihidangkan lebih kurang pukul 5.00 pagi. Perut sudah mula terasa lapar waktu ini. Jika tidak lapar pun saya tetap akan makan. Harap tidak perlu makan makanan berat di Chitose Airport yang tentunya harga berlipat kali ganda. Saya pilih mee goreng pedas.

Sedap!

7) Bersihkan diri

Selepas makan, terus saya keluarkan berus gigi dan ubat gigi pakai buang yang saya ambil dari hotel saya pernah menginap serta pencuci muka yang saya letak dalam bekas kecil. Penting bagi saya ada 3 benda ini dalam hand carry bag. Saya juga masukkan sepersalinan pakaian termasuk pakaian dalam dalam hand carry bag. Jika bagasi lewat sampai, saya tidak perlu beli banyak barang sementara tunggu beg sampai. Jimat duit.

8) Disembarkation Card dan Customs

Saya memang sentiasa bawa pen. Senang nak tulis dokumen yang perlu sebelum mendarat. Kru akan edarkan. Jika tak dapat, mungkin sebab semasa diedarkan, kita tidur, minta sebelum kapal terbang mendarat. Jika dah sampai di Chitose Airport susah nak isi. Selalunya barisan beratur di imigresen panjang tapi bergerak cepat. Pastikan tanda tangan di kedua-dua kad. Saya terlupa nak tanda tangan di kad putih. Dah sampai depan pegawai yang jaga barisan baru perasan.

Meriah bunga skirt saya.

9) Telinga sakit

Bagaimanakah kita boleh mengurangkan rasa tidak boleh mengimbangi tekanan telinga semasa penerbangan? Penerangan Dr Ahmad Nordin, pakar ENT dalam artikel ini

  1. Jangan tidur semasa kapal terbang berlepas atau mendarat. Perbezaan tekanan paling ketara semasa 2 masa tersebut.
  2. Kunyah atau telan sesuatu semasa penerbangan, seperti gula-gula atau ‘chewing gum’. Menguap juga berkesan, terutamanya jika anda diiringi oleh rakan yang menjengkelkan anda.
  3. Minum banyak cecair, sebaiknya air mineral. Ia menggalakkan anda menelan & menghidratkan anda. Udara dalam kabin adalah kering, maka ia mengeringkan cecair hidung & menyumbat tiub Eustachian.
  4. Guna teknik ‘vasalva’, seakan meneran. Anda perlu menutup hidung dan mulut dan hembuskan nafas dengan kuat. Jangan meniup terlalu kuat kerana ia boleh merosakkan gegendang telinga & tiub Eustachian.           .
  5.  Guna ubat ‘decongestant’. Ia sepatutnya diperolehi dari doctor, sebaiknya dari bidang ENT, kerana tempoh maksima penggunaan ialah 5 hari.
  6. Tunda penerbangan anda jika anda menghidapi  selsema (‘upper respiratory tract infection’).

Bagaimana dengan kanak-kanak?

JIka kanak-kanak tersebut boleh mematuhi arahan, kaedah seperti di atas boleh digunakan. Yang lain boleh mengikut kaedah tersenarai di bawah:

  1.  Pilih masa minum & makan supaya serentak dengan masa berlepas & mendarat
  2.  Jika mereka enggan, mereka perlu mengunyah atau menghisap sesuatu.
    • Bayi & anak kecil boleh menyusu badan, menyusu botol atau menghisap puting getah (‘pacifier’).
    • Kanak yang lebih besar boleh diberi gula-gula. Perlu diawasi juga apabila kanak-kanak diberi gula, kerana mereka mungkin menjadi terlampau aktif jika tahap gula badan tinggi. Ini kadangkala boleh memalukan ibubapa jika anak mereka tidak bersopan, seperti yang pernah saya alami sendiri sebelum ini.
    • Ambil ubat penahan sakit seperti paracetamol setengah jam sebelum berlepas jika mereka sedang mengalami selsema

Selepas 8 jam penerbangan…

 Entri berikutnya, saya akan kongsi itinerari kami di Sapporo. Insya-Allah.

6 Panduan Persediaan Di KLIA2

Entri 2 : Hokkaido

Sampai di KLIA2 :

  • Cetak boarding pass dan cetak tag bag

Boarding pass boleh dicetak di rumah. Sampai di KLIA2 hanya perlu cetak tag bag. Jika sudah dicetak di rumah, boarding pass ini boleh diguna untuk daftar masuk di gate pelepasan. Jika tidak dicetak di rumah, boleh sahaja dicetak di kiosk. Ada banyak kiosk disediakan untuk tujuan ini. Hanya masukkan booking number atau imbas barcode jika anda ada mobile app Air Asia. Jika minta dicetak di kaunter, bayaran RM10.60 akan dikenakan. Jika tak yakin guna mesin di kiosk yang disediakan, mohon bantuan staf.

  • Semak di skrin paparan maklumat penerbangan nombor kaunter untuk daftar masuk beg

Pergi ke kaunter yang ditetapkan. Letakkan beg di mesin penimbang. Imbas barcode tag beg. Jika berat beg tidak lebih dari berat beg yang anda beli, beg masuk ke conveyor belt. Selesai.

Beg si dia, suami saya terlebih muatan 1kg. Beg bini dah lepas, beg si dia sangkut. Jangan panik (walaupun kami panik juga 😀 sebab kali ini kali pertama satu beg dah lepas, satu beg sangkut), terus ke kaunter yang berhampiran untuk daftar masuk secara manual. Mujur beg si dia terlebih sedikit sahaja, kurang dari 1kg. Staf pejam mata. Alhamdulillah.

  • Periksa hand carry bag

Pastikan ada :

  1. paspot (salinan paspot boleh diletak dalam beg masuk kargo), wang
  2. sepasang persalinan. Berguna jika beg sampai lambat.
  3. pengecas telefon bimbit, power bank dan adapter yang sesuai. Power bank jangan sesekali letak dalam beg yang masuk kargo. Pernah saya terlupa keluarkan power bank dari beg, saya dipanggil keluar dari kapal terbang sebentar beberapa minit sebelum kapal terbang berlepas dari Narita Airport untuk keluarkan power bank
  4. jajan untuk alas perut. Berguna jika penerbangan ditangguhkan, lambat nak lepas imigresen di destinasi, dalam kenderaan sementara nak sampai hotel. Pada tahun 2009, saya ke Bali bersama seorang rakan. Kami sudah berada dalam perut kapal terbang tapi terpaksa tunggu 2 jam di dalam sebelum kapal terbang berlepas. Tidak diberitahu sebab berlaku kelewatan. Bayangkan jika perut lapar masa itu dan saya tak bawa makanan sebagai bekal.
  5. saya sentiasa bawa penutup mata untuk tidur lena, neck pillow, tuala kecil/tisu, satu buku nipis
  • Pergi kaunter Roaming Man untuk pocket wifi

KLIA2 : Level 3, Balai Pelepasan (belakang daftar masuk kaunter Y, berhampiran Telekung Siti Khadijah)

KLIA : Level 5 (sebelah Mc Donalds)

Proses mudah. Mereka tunjukkan cara penggunaan dan serba sedikit peringatan tentang penjagaan device itu.

  • Makan dan minum

Biasanya jika penerbangan malam seperti kami, makanan disediakan sebaik sahaja selepas take off. Jika naik Air Asia lebih baik pra pesanan makanan kerana makanan pra pesanan diberi dahulu. Kemudian baru troli bergerak dari satu baris ke satu baris penumpang. Ada waktunya makanan yang ingin dibeli sudah habis.

alas perut
dari kiri : saya, Nor, Ilah dan Mas. Rakan sekelas di STF 85/89
  • Penuhkan bekas air

Jangan lupa habiskan air dalam botol sebelum melepasi kaunter pemeriksaan terakhir. Ada mesin Coway disediakan. Boleh penuhkan semula botol. Saya memang sentiasa bawa botol kosong bila kembara. Jimat duit, tak perlu beli banyak air mineral. Jika naik Air Asia mahal juga sebotol air mineral. Sedikit sebanyak kita bantu juga jaga alam persekitaran.

Rakan saya, Mas MS beratur isikan air untuk dia, saya dan Ilah. Barisan agak panjang. Tiba-tiba ada seorang warga emas terus ke depan, potong giliran orang lain yang sedang menunggu. Mas beri sepatah dua kata kepada lelaki itu. Alasan beliau, dia hanya nak isi 1 botol sahaja. Hmmm… Ini bukan kali pertama saya jumpa warga emas tidak kira bangsa tidak mahu mematuhi peraturan mudah. Rasanya tiada siapa marah jika beliau minta kebenaran untuk potong barisan.

ada beberapa mesin Coway disediakan selepas pemeriksaan kastam

Penerbangan berlepas tepat pada masa. Alhamdulillah. Entri berikutnya tentang semasa penerbangan termasuk panduan wuduk dan solat dalam kapal terbang. Insya-Allah.

Yokoso Hokkaido (Welcome to Hokkaido)

Selepas kembara Istanbul pada kali kedua awal Ogos 2018, tiada rancangan untuk kembara dalam masa terdekat. Kalau ada pun, hanya destinasi domestik. Si dia (suami) sudah mulakan pengajian MBA. Hampir setiap Jumaat dan Sabtu ada kelas. Tabung kembara pun belum cukup. Nyawa-nyawa ikan. Azam 2019 nak habiskan hutang-hutang jangka pendek supaya hati lebih tenang bila kembara insya-Allah.

Bila Nor, rakan sekelas dari tingkatan 1 hingga 5 di Sekolah Tun Fatimah (STF) beritahu nak buat rombongan ke Hokkaido akhir Jun, hati melonjak untuk pergi. Nor adalah pemilik Aliza Japan Travel (profail FB : Aliza Alias (Kak Belle) yang sering bawa rombongan ke Jepun. Walaupun saya lebih suka kembara DIY, saya tidak mahu lepaskan peluang kembara bersama Nor. Insya-Allah duit saya takkan hangus seperti banyak kes berlaku duit lesap bila agen pelancongan hilangkan diri.

Mengimbau kenangan 34 tahun dahulu, ketika kami berusia 17 tahun di STF, Nor duduk belakang saya. Tempat duduk kami tepi tingkap. Di luar ada kolam ikan. Nor suka mengelamun. Saya pun dua kali lima. Nor mengelamun tapi keputusan SPM tetap score sampai boleh melanjutkan pelajaran selama 4 tahun ke Jepun. Kami pernah jadi rakan kongsi satu perniagaan.

#Nak kenal penulis blog ini dan cerita kami pelajar STF boleh baca autobiografi saya Budak Kelas Belakang. Boleh diperolehi di kedai buku MPH dan Popular. 

Ini bukan kali pertama saya kembara ke bumi Sakura. Kali pertama adalah pada tahun 1999. Tokyo merupakan bandar dunia pertama saya pergi. Adik bongsu saya, Aja menamatkan pengajian 4 tahun di Jepun pada tahun 1999. Ibu dan babah tidak dapat hadir hari konvokesyen Aja. Mereka sedang mengerjakan umrah ketika itu. Saya diwakilkan oleh mereka untuk menyaksikan hari bahagia Aja. Masih teringat pengalaman pertama ke Tokyo. Bila Aja kata Tokyo ketika itu sejuk, saya hanya bawa baju sejuk nipis. Ingatkan hanya sejuk-sejuk manja seperti di Genting Highlands. Keluar dari Narita, rasa badan tak boleh bergerak seinci pun. Bbbbrrrrrrr!

Pada hari konvokesyen Aja, saya berselimut dari hujung rambut hingga hujung kaki. Tak tahan sejuk. Aja marah sebab saya taknak pergi teman dia konvo. Konvo di sana bukan macam kita di sini; jubah, mortar board, perarakan bagai. Aja pakai yukata, mekap, set rambut, pose sebelah bunga sakura, pegang scroll macam perutusan istana zaman dulu. Kalau boleh pakai yukata buat apa pakai jubah tebal.  😎 Sempoi je diaorang.

Kali kedua ke Tokyo pada Januari 2017, saya pergi bersama si dia, dua orang adik, Aja dan Ayan bersama anak-anak mereka. 12 orang ahli rombongan. Satu gerabak subway. Kali ketiga saya ke Tokyo, Osaka dan Kyoto pada bulan Julai 2017 menemani si dia atas urusan kerja. Dapatlah merasa duduk di Otani Tokyo Garden, hotel 4 bintang dan Otani Osaka, hotel 5 bintang. Pemandangan di luar bilik adalah Osaka Castle. Sempat jogging sekitar Osaka Castle. Mengada. Di Malaysia, ada treadmill dalam rumah pun malas nak sentuh.  😳

Berlatar belakangkan Osaka Castle

Apa yang membuatkan saya teringin ke Hokkaido? Saya tidak pernah jemu kembara ke Jepun tapi tidak mahu ke Tokyo lagi. Terlalu padat. Hokkaido tidak sesak dengan lautan manusia dan kenderaan. Mungkin Sapporo sedikit sesak tapi di tempat-tempat lain, suasana kampung, begitu tenang. Mungkin faktor usia, lebih cinta kedamaian bila usia menginjak senja. 😥

Saya juga tidak suka sejuk keterlaluan. Saya tidak akan kembara bila musim dingin. Aktiviti seperti main salji, ski dan aktiviti musim dingin lain tiada dalam wishlist saya. Tak jeles pun tengok kawan-kawan ambil gambar di hamparan putih salju. Tengok gambar mereka pun, saya dah rasa menggigil.

Musim panas di Hokkaido dalam bulan Jun, suhu sekitar 12-20 Selsius. Saya suka suhu seperti ini. Musim luruh juga sesuai untuk melawat Hokkaido. Tidak perlu pakaian tebal. Hanya perlu bawa cardigan nipis. Winter coat yang ditempah di Shanghai, konon nak bergaya dengan kot cantik jika kembara musim sejuk nampaknya masih terus bergantung dalam almari.

Teingin juga merasai pengalaman rendam kaki di onsen yang banyak terdapat di Hokkaido. Dah berangan nak urut bagai di onsen. Juga melawat ladang dipenuhi lavender. Hamparan lavender yang lalu lalang di newsfeed Facebook benar-benar buat hati teringin nak berada di sana. Makanan laut segar dan aiskrim Hokkaido juga buat air liur meleleh setiap kali terbayang.

Lagi bersemangat nak pergi, bila dapat tahu rombongan kami ke Hokkaido terdiri dari 10 bekas pelajar STF. Nor, saya dan tiga rakan bawa suami masing-masing.

“Aku nak bawa rombongan budak-budak STF. Kita sewa kereta, santai je,” Nor cucuk jarum. Halus cucukan jarum Nor tapi tembus terus ke hati. 😛

Srikandi Tun Fatimah. 2 orang lagi mungkin dah tak sabar nak makan aiskrim, hilang tanpa dapat dikesan

 

Anak bongsu Nor turut bersama kami menjadikan rombongan kami seramai 16 orang.

Pada mulanya tiada rancangan nak bawa si dia. Bila si dia keluarkan ayat-ayat syahdu seperti,

“bestlah you, cuti dengan kawan-kawan, I jugak yang tak berjalan.”

“I takde kelas tarikh you gi Jepun tu.”

“orang lain ada yang bawak husband kan?”

Maka dengan ikhlas tapi jauh, bini setuju si dia ikut serta.

5 Perkara Penting Persediaan Melancong ke Hokkaido

1. Semak tarikh luput paspot

Tarikh luput mesti lebih dari 6 bulan. Pernah kawan saya putih mata tengok suami dan anak-anak berlepas sehari lebih awal ke destinasi percutian kerana tak perasan tarikh mati paspot beliau kurang 6 bulan dari tarikh penerbangan.

Si dia pun tak perasan tarikh luput paspot kurang dari 6 bulan. Mujur ada bini yang ada senarai semak yang panjang lebar sebelum kembara. Terpaksa si dia ambil cuti sehari untuk buat paspot di Kuala Selangor. Masa saya buat paspot, gambar pertama diambil saya terus kata ok walaupun nampak muka ketat. Si dia boleh pula ambil gambar berkali-kali. Alasan dia kepada abam imigresen – salah angle, nampak botak. 19 tahun hidup bersama, saya pun tak tahu angle mana nampak banyak rambut. Semua angle pun sama. Abam imigresen layan.

2. Beli tiket kapal terbang, berat beg dan makanan dalam kapal terbang

Kami perlu beli tiket kapal terbang sendiri mengikut tarikh yang ditetapkan oleh Nor iaitu penerbangan pergi jam 2330, 25 Jun 2019 (Selasa) dan penerbangan pulang 0930, 1 Julai 2019 (Jumaat). Pada mulanya saya dan Mas, salah seorang rakan yang turut serta bercadang untuk lanjutkan tempoh kembara. Rasa tak puas kembara 6 hari 5 malam ke Hokkaido. Saya hanya beli tiket pergi sahaja. Mas langsung belum beli tiket waktu itu. Silap besar beli tiket sehala.

Saya tahu beli tiket sehala lebih mahal. Saya tak tahu harga hot seat juga akan berbeza. Bayaran hot seat KUL -CTS RM185 tetapi hot seat nombor tempat duduk sama dari CTS-KUL berharga RM298. Terpaksa beli juga sebab si dia memang suka beli hot seat untuk penerbangan jauh. Senang nak keluar masuk bila nak ke tandas. Legroom besar sikit. Tempat duduk tepi tingkap pilihan si dia. Jika kembara bersama si dia, saya pasrah duduk tengah. Kalau penumpang di aisle ala Theo James saya rela. Selalunya yang dapat sama ada warga emas atau anak ikan.

Saya beli berat beg 30kg untuk 2 beg bawah nama saya. Minima berat boleh dibeli 20kg untuk penerbangan antarabangsa. Kami tahu barang yang kami bawa setiap kali kembara untuk setiap orang tidak lebih dari 15kg. Jika beli 20kg bawah nama si dia dan 20kg bawah nama saya, jumlah perlu dibayar untuk 2 beg RM260 . Oleh itu saya beli berat beg 30kg untuk 2 beg. Jumlah perlu dibayar RM180. Jimat RM80.

Penerbangan ke Chitose Airport (CTS) ambil masa 8 jam. Walaupun akan makan di KLIA2 sebelum berlepas, penerbangan yang lama, perut perlu diisi. Penerbangan 2,3 jam pun saya akan pesan makanan. Asyik lapar dalam kapal terbang apatah lagi kalau penumpang sebelah pesan makanan. Nugget pun nampak sedap. Saya pesan makanan pasta dan air mineral untuk dimakan dalam penerbangan ke Sapporo. Saya elakkan dari minum minuman kafein sebelum dan semasa penerbangan untuk mengelakkan dari dehydration – sakit kepala, perut memulas, loya, masalah pencernaan dan kulit bertambah kering.

3. Sewa pocket wifi

Ketika kembara ke Tokyo, Osaka, Kyoto dan tahun berikutnya ke Shanghai, saya guna pocket wifi satu syarikat. Ada kawasan tiada liputan. Bateri cepat habis. Belum setengah hari berjalan, bateri habis. Leceh nak kena cas selalu. Ketika ke Hanoi, saya guna pocket wifi syarikat lain. Device rosak, langsung tak boleh digunakan. Mujur mereka pulangkan semua bayaran yang telah dibuat.

Kembara kali ini saya guna Roaming Man. Tempah online, pick up di KLIA2. Jika penerbangan dari KLIA, boleh juga pick up di sana. RM12 sehari, saya ambil pelan 6 hari. Tidak perlu deposit. Alhamdulillah coverage luas, bateri tahan lama, saiz kecil. Takdelah orang lain sibuk pose maut di ladang lavender, saya dok sibuk cari power point.

4. Insuran

Bila cari maklumat tentang insuran kembara yang sesuai, tak dapat maklumat yang saya perlukan. Akhirnya saya pilih MSIG, syarikat Jepun. Logik saya mengatakan mungkin lebih senang berurusan jika berlaku apa-apa yang tak diingini. Beli dalam talian sahaja. Paling penting perlu ada perlindungan untuk perkara-perkara berikut:

  • Emergency medical care
  • Medical evacuation and repatriation
  • Trip cancellation/interruption
  • Baggage/personal item loss and delay
  • 24/7 worldwide assistance

Bonus kalau ada perlindungan percuma untuk anak-anak dan polisi boleh dibatalkan tak kira apa jua alasan.

5. Tukar matawang Yen

Biasanya bila kembara saya tukar mata wang negara yang dilawati antara RM1000 – RM1500 untuk makan, membeli belah, bayaran masuk ke tempat  yang ingin dilawati. Kali ini saya tukar RM2000. Masih berbaki RM600 bila saya kembali dari Hokkaido. Bayaran hotel dan pengangkutan sudah dibayar kepada Nor.

Saya selalu tukar di Mid Valley Megamall. Selalunya lebih menguntungkan. Kali ini saya tukar di KL Sentral sebab kadar pertukaran di sini tak jauh beza dengan yang di Mid Valley untuk Yen.

Bila perkara penting dah buat, baru nampak Hokkaido melambai datang.

“Yokoso Hokkaido”

“Welcome to Hokkaido”

 

Pengemis Lara di Uskudar, Istanbul

Aku teringin ke Uskudar, sebuah bandar kecil di bahagian Asia. Tekak terasa ingin menikmati bebola daging (kofte) di restoran Kanaat Lokantasi. Ramai pelancong mencadangkan agar aku makan di sini. Untuk ke Uskudar dari Sultanahmet, aku memilih untuk menaiki kereta api Marmaray Line yang menghubungkan Sultanahmet di bahagian Eropah dengan Uskudar di Asia. Marmaray mendapat nama daripada Laut Marmara yang ditambah perkataan ray. Dalam bahasa Turki ray bermaksud rel. Terowong sepanjang 13.6km dibina merentasi Selat Bosphorus untuk membolehkan kereta api membawa penumpang dari bandar-bandar di Asia dan di Eropah.

 

Sekitar pukul lapan malam suasana di stesen trem Sultanahmet agak lengang. Kawasan sekitar Masjid Biru, masih kelihatan ramai pelancong bersantai bersama-sama keluarga dan teman. Gerai-gerai jagung, doner dan buah berangan masih dibuka. Restoran-restoran berhampiran stesen trem seperti Hafiz Mustafa dan Mado dipenuhi ramai pengunjung.

pancuran air di antara Masjid Biru dan Aya Sofia

Seorang anak muda yang cacat penglihatannya berdiri di luar masjid berhampiran stesen Sultanahmet. Tongkat di tangan kanannya, sementara tasbih di tangan kirinya. Dia cuba menarik perhatian pejalan kaki. Harapannya agar ada yang sudi berkongsi rezeki. Si pemberi akan diberikan tasbih sebagai penghargaan kerana murah hati. Ada yang simpati, ramai yang berlalu pergi. Aku menghampiri pemuda itu. 5TL kuselitkan di tangan kanan. Setiap bandar yang aku lawati, aku kongsikan nikmat Allah dengan penduduk tempatan. Pemuda itu tidak akan tahu siapa yang baru sahaja memberikan sumbangan. Aku hanya mengharapkan doanya sebagai balasan.

 

Aku turun di stesen trem Sirkeci. Di seberang jalan ada bangunan Sirkeci Marmaray Line. Istanbulkart boleh digunakan di sini. Aku perlu menuruni beberapa eskalator yang panjang sebelum sampai di tempat menunggu kereta api. Mungkin kurang sesuai bagi mereka yang membawa anak kecil dan warga emas. Perlu berjalan agak jauh juga. Aku tidak pasti sama ada lif tersedia di sini atau tidak. Pergerakan eskalator yang laju pasti agak membahayakan anak kecil dan warga emas.

 

Oleh sebab terowong berada di bawah Selat Bosphorus, penerimaan isyarat talian telefon agak lemah. Suasana agak sunyi. Sementara menunggu, sempat aku memerhatikan perjalanan yang bakal aku tempuhi. Aku seakan-akan tidak percaya bahawa aku berada di bawah Selat Bosphorus.

 

Lima minit di dalam kereta api, aku sampai di stesen Uskudar. Suasana di stesen kereta api Uskudar tidak sesibuk di Taksim ataupun di Sultanahmet. Tempat laluan pejalan kaki sedang diubahsuai. Perkakas pembinaan bersepah di sana sini. Tiada tunjuk arah yang jelas tentang laluan mana yang perlu aku gunakan. Aku memandang kedai-kedai yang terdapat di seberang jalan. Kanaat Lokantasi jelas kelihatan di sebelah kiri dari tempat aku berdiri.

Waktu itu hampir pukul 9.00 malam waktu tempatan. Tidak ramai pelanggan di dalam restoran. Banyak makanan tersenarai pada menu. Harga makanan utama bermula dari RM15. Harga agak mahal bagi aku walaupun nilai Lira lebih rendah berbanding Ringgit Malaysia. Peniaga menaikkan harga makanan untuk mengelakkan kerugian apabila nilai Lira jatuh.

Bahagian dalam restoran agak luas. Tingkat atas juga dibuka untuk pelanggan. Oleh sebab pelanggannya tidak ramai, hanya bahagian bawah sahaja yang dibuka. Di pintu masuk, kelihatan pencuci mulut pelbagai warna dan perisa memenuhi rak kaca. Aiskrim pelbagai perisa juga dipamerkan. Ada pelanggan memesan aiskrim untuk dibawa pulang. Aiskrim itu dimasukkan ke dalam bekas makanan plastik seperti yang digunakan di Malaysia. Satu cedok berharga antara 5 hingga 10TL. Sebelah rak pencuci mulut, pelbagai lauk dalam bekas dipamerkan seperti gerai nasi campur di Malaysia.

 

Sebelum sampai, aku sudah tahu apa-apa yang ingin aku pesan – bebola daging dan agar-agar perisa coklat sebagai pencuci mulut. Seperti di restoran Turki lain, roti diberikan percuma. Tiga ketul bebola daging dimakan bersama-sama roti, diakhiri dengan agar-agar, cukup untuk mengisi perut yang lapar. Agar-agar coklat yang aku beli, rasanya seperti dadih coklat di Malaysia. Perbezaannya hanya pada rasa coklat. Di Istanbul, perisanya lebih sedap.

Aku ke tandas selepas makan. Seperti di kebanyakan restoran di Istanbul, tandas mereka bersih. Memang terasa seperti masuk tandas hotel. Tisu, sabun dan mesin pengering tangan disediakan. Hal ini berlainan dengan tandas di kebanyakan restoran di Malaysia. Lebih baik makan dahulu sebelum masuk ke tandas.

 

Budaya di Istanbul, selepas pekerja nampak makanan sudah habis di pinggan, cepat-cepat mereka mengangkat pinggan mangkuk lalu dibawa ke dapur. Malu kalau melepak lama terutama jika restoran tidak mampu menampung ramai orang pada sesuatu masa. Restoran besar pun akan mengamalkan perkara yang sama. Tiada pelanggan yang duduk lama menghadap telefon bimbit selepas makan. Mereka pulang sejurus selepas makan.

Selepas makan, kami keluar untuk melihat kawasan sekitar sebentar sebelum beransur pulang. Ketika keluar baru aku perasan kelibat tiga wanita mengemis di tepi jalan. Entah kenapa aku tidak perasan akan kehadiran mereka ketika melangkah masuk ke restoran. Berpakaian serba hitam, mereka berdiri dalam jarak yang tidak jauh antara satu sama lain.

Seorang wanita tua, sebelah tangannya memegang tongkat, manakala sebelah tangan lagi dihulur untuk meminta simpati. Sempat aku merenung wajah pengemis tua yang malang itu. Redup matanya meminta belas kasihan.  Tutur katanya satu pun tidak aku fahami. Aku pasti bahawa tuturnya bermaksud menagih simpati.

Wanita kedua, wanita pertengahan usia. Aku ingin melihat ke dalam matanya. Dia tunduk malu. Tiada senyuman terukir pada bibir. Hanya tangan dihulurkan tanda meraih sedikit belanja. Tidak seperti wanita pertama, tiada perkataan terukir daripada mulut wanita kedua ini.

Wanita ketiga, paling muda antara mereka. Tidak seperti dua wanita yang lain, dia duduk meriba anak kecil. Seorang anak lain dalam lingkungan usia empat hingga lima tahun bermain riang berhampiran si ibu. Si anak tiada duka, tiada lara. Aku dan pengemis muda bertentang mata. Andai bicara bisa difahami, pasti banyak yang mahu kutanyakan kepada dia. Ujian apa yang menimpa hingga perlu mengemis di kaki lima?

Tidak sanggup aku melihat wajah-wajah duka mereka bertiga. Aku ingin melangkah pergi. Bukan kerana tiada simpati, tapi kolam air mataku tidak mampu kubendung lagi. Air mata mengalir perlahan membasahi pipi. Si dia berhenti, menghulurkan sedikit belanja buat ketiga-tiga pengemis. Untuk si dia, moga menjadi pahala yang mengalir berterusan selepas kematian. Buat pengemis bertiga, moga sedikit belanja dapat mengalas perut sehari dua.

Ada kedai yang telah tutup, ada yang masih terima pelanggan. Tidak ada barang jualan yang menarik perhatian, lantas kami memutuskan untuk pulang. Memikirkan mungkin aku tidak akan kembali lagi ke Uskudar, aku mengesyorkan kepada suami agar kami mengikuti lorong lain daripada lorong semasa datang tadi.

Pengemis lara ditemui di lorong ini.

Sepanjang lorong, beberapa kedai makan masih dibuka. Jika pertemuan dengan tiga pengemis sebentar tadi sudah cukup memilukan, pemandangan yang menanti di hadapan lebih meruntun perasaan. Seorang wanita separuh usia sedang duduk mencari sesuatu di dalam tong sampah di hadapan sebuah restoran makanan laut. Apabila langkah aku semakin hampir, aku dapat melihat wanita itu sedang mengasingkan sisa makanan yang mungkin masih boleh dimakan ke dalam plastik. Yang mungkin tidak boleh digunakan atau dimakan, dibuang semula ke dalam tong sampah.

Lidahku kelu, tidak berdaya meluahkan walau sepatah kata. Pilu. Si dia yang sejak tadi tidak henti-henti bercakap turut membisu. Kali ini si dia sama seperti aku, meneruskan perjalanan. Mungkin tidak sanggup melihat adegan yang tidak disangka itu. Semakin menghampiri stesen kereta api, langkah seakan-akan mati. Rasa bersalah menghimpit diri. Wanita itu tidak meminta-minta. Dia berusaha. Mungkin jijik di mata manusia, tetapi mana tahu di sisi Allah, dia lebih mulia.

“Kesiannya, bang. Perempuan itu mengutip sisa makanan lalu memasukkan ke dalam plastik.”

Aku dan si dia memutuskan untuk berpatah balik ke tempat wanita itu. Si dia menghulurkan 50TL. Aku melihat ada linangan air mata pada pipi wanita itu. “Alhamdulillah.” Hanya itu yang terucap daripada mulutnya. Mungkin dia sendiri tidak menduga mendapat wang tunai di tempat pembuangan sisa makanan.  Kedua-dua tangan wanita tersebut ditadah ke langit. Mulut seakan-akan berzikir, melafazkan syukur kepada Ar-Rahman Ar-Rahim.

Teringat akan kata-kata penceramah Nouman Ali Khan, “When you find yourself in a position to help someone, be thankful that Allah is answering that person’s prayer through you.” (Jika kita diberikan peluang untuk membantu seseorang, panjatkan rasa syukur kerana Allah perkenankan doa orang itu melalui kita.)

Doa aku buat pengemis lara di jalan raya, tabahkan hati. Syurga akan dipenuhi oleh golongan miskin sepertimu. Janji Allah itu pasti.

Bye Ataturk Airport, Hello Istanbul Airport

Rindu pada Istanbul membawa saya ke Istanbul buat kali kedua pada 30hb September 2018. Di lapangan terbang Ataturk, notis ditampal menyatakan Ataturk Airport (IST) akan ditamatkan perkhidmatan pada 31hb Oktober 2018.

Berita terbaru, perpindahan besar-besaran, The Great Move akan berlaku pada 5hb April 2019 hingga 7hb April 2019. Turkish Airlines dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa mereka akan pindahkan kesemua alatan, pekerja dan sebagainya bermula 3 pagi waktu tempatan, 5hb April 2019 dan dijangka tamat antara pukul 2 pagi hingga 2 petang pada 6hb April 2019. Artikel berkaitan perpindahan yang akan berlaku.

Bermula 7hb April, 2019 dijangka kapal terbang penumpang tidak lagi mendarat di Ataturk Airport, dan akan mendarat di Istanbul Airport (ISL). Hanya penerbangan kargo dan persendirian akan mendarat di Ataturk Airport.  Kod IATA Ataturk Airport akan ditukar kepada ISL dan Istanbul Airport akan ambil alih kod IST.

Ataturk Airport hanya 20.3km dari Sultanahmet, kawasan penginapan popular bagi kali pertama ke Istanbul. Istanbul Airport jaraknya 54km dari Sultanahmet. Buat masa ini hanya pengangkutan bas, teksi, kereta sahaja boleh membawa pelancong dari lapangan terbang ke pusat bandar seperti Sultanahmet. Jika airport transfer kereta persendirian dari Ataturk Airport ke Sultanahment antara 30-35 Euro, tentunya bila pindah ke Istanbul Airport, airport transfer lagi mahal.

Metro Line, M11 yang menghubungkan Gayretteppe – Istanbul Airport-Halkali dijangka siap pada tahun 2019 juga, dan fasa kedua Halkali-Istanbul Airport pada tahun 2020. Sementara belum siap, pilihan utama untuk travel bajet – naik bas. Ada 2 perkhidmatan bas : IETT dan HAVAIST. Untuk ke Sultanahmet dari Istanbul Airport, naik bas IST 1, berhenti di hentian bas Yenikapi IDO. Dari situ, sama ada jalan kaki (700m/10 minit berjalan kaki) atau naik teksi ke stesen metro / Marmaray Line Yenikapi dan cari line M1 untuk ke Sultanahmet atau kawasan sekitarnya.  Kalau tak silap saya untuk Marmaray Line dari Yenikapi boleh berhenti di Sirkeci dan ambil trem M1.  Kalau metro M2 ke Aksaray dan dari Aksaray MI ke Sultanahment.

Jika beli tiket kapal terbang, elakkan beli tiba/pulang dari Istanbul antara 5hb hingga 7hb April 2019.

Oleh kerana penerbangan masih ada yang mendarat di Ataturk, maklumat ini akan dikemaskini dari masa ke semasa. Buat masa ini, oleh kerana penerbangan masih ke dan dari Ataturk, tidak banyak maklumat untuk pengangkutan murah dari Istanbul Airport ke pusat bandar.

Jika ada maklumat yang salah di sini, mohon kongsi kepada saya maklumat yang betul untuk saya perbetulkan, emel ke melia_mn@yahoo.com. Terima kasih

 

27 Tip Menulis Travelog

(Artikel saya ini telah disiarkan oleh online portal Jejak Tarbiah pada 8 Mac 2019 dan mendapat 121 Likes dan dikongsi oleh 96 orang di Facebook)

Definisi

Travelog adalah cerita kembara. Biasanya ditulis atau disampaikan dalam bentuk naratif atau lapuran bertulis. Ianya berkaitan dengan pandangan dan pengalaman peribadi pengembara. Imej biasanya disertakan untuk membawa pembaca atau pendengar ke tempat atau situasi dalam cerita.

Langkah-Langkah Menulis Travelog

  1. Tentukan tujuan menulis.

Gaya penulisan berbeza untuk majalah, untuk kawan atau untuk diri sendiri. Untuk terbitan umum, penggunaan bahasa pasar dikurangkan dan ejaan ditulis penuh,

  1. Ambil nota.

Bawa buku nota ke mana sahaja anda pergi. Catat apa yang anda lihat, tempat yang anda pergi dan orang yang anda jumpa. Catatkan juga perasaan dan pandangan anda tentang tempat, orang dan situasi yang anda temui.

Boleh juga guna perakam suara (recorder). Kumpulkan brosur, peta, panduan, tiket masuk dan sebagainya untuk panduan menulis kemudian.

  1. Ambil gambar sebanyak mungkin. Tidak semestinya hanya ambil gambar tempat bersejarah atau tempat popular. Papan tanda, jalan yang sibuk dan apa yang penduduk tempatan buat mampu sampaikan mesej dan cerita yang kuat.

Bagus jika anda mampu ambil gambar monumen dengan baik. Jika tidak, untuk tujuan penulisan, ambil sahaja imej dari Google. Ada yang percuma seperti di freeimages.com. Jika mampu bayar, boleh dapatkan imej yang lebih baik seperti di shutterstock.com.

Bila sampai di rumah, peruntukkan masa untuk review rakaman dan catatan. Asingkan ikut tarikh, kepentingan atau kriteria lain. Pilih gambar yang paling sesuai gambarkan saat indah kembara anda.

  1. Gariskan atau rumuskan (outline) kembara anda. Ini masih belum laporan lengkap tapi penting untuk susun pemikiran dan idea. Anda dapat juga lihat sama ada aliran cerita mengalir secara logik dan mudah difahami.
  2. Selepas siap rumusan, bersedia untuk tulis travelog penuh. Cuba tulis sebaik mungkin. Tambah deskripsi, sejarah, maklumat secara tepat dan jelas, Beri ilmu kepada pembaca tentang budaya dan tradisi tempat yang anda lawati.

 

Topik Fokus

  1. Budaya dan tradisi penduduk tempatan

Menarik jika anda buat sedikit kajian tentang perbezaan budaya dan tradisi masyarakat tempatan dan kemudian dapat tengok sendiri perbezaan ini bila sampai di bandar yang anda lawati. Perbezaan ini  mampu menarik minat pembaca dan jadikan penulisan anda berbeza dengan penulisan orang lain.

Ketika di Istanbul baru-baru ini, saya cuba beri tempat duduk dalam trem kepada seorang lelaki tua yang berdiri. Saya beri isyarat agar dia duduk di kerusi yang telah dikosongkan. Dia berkata sesuatu. Terangkat kening bila dia berkata. Saya tidak faham. Saya beri isyarat lagi supaya dia duduk. Saya dengar dan nampak dia berdecit. Saya geram. Rupanya itu budaya penduduk tempatan yang beri mesej mereka tak mahu.

  1. Makanan

Fokus kepada perbezaan makanan mengikut kaum penduduk tempatan atau daerah.

Sebagai contoh, ketika berada di Shanghai baru-baru ini, saya lebih banyak makan mi tarik yang dipopularkan oleh orang Islam Hui dari wilayah Ningxia. Masyarakat Islam Uyghur dari Xinjiang pula popularkan makanan seperti naan, pilaf pengaruh dari Asia Tengah, Timur Tengah dan disesuaikan dengan selera tempatan.

  1. Cabaran dan halangan kembara

Antara pengalaman kembara yang saya tidak boleh lupa ialah ketika berada di Stansted Airport, United Kingdom. Tidak semena-mena penggera keselamatan berbunyi ketika beg saya melalui mesin pengimbas. 4 orang pegawai keselamatan dan seekor anjing pengesan mengelilingi saya. Saya dibawa ke bilik siasatan, disoal dan hanya dilepaskan 20 minit kemudian.

  1. Harga dan pengangkutan

Maklumat tentang harga dan pengangkutan boleh beri panduan dan pilihan bila sediakan peruntukan ground arrangement, masa dan tenaga yang boleh dijimatkan. Ketika saya pergi ke Kashmir dari Delhi pada tahun 2011, saya boleh pilih untuk naik keretapi (12 jam) atau saya boleh pilih untuk naik kapal terbang (2 jam). Saya pilih naik kapal terbang untuk jimatkan masa dan tenaga. Mungkin ada yang suka naik keretapi kerana dapat lihat pemandangan sepanjang perjalanan.

 

Poin Penting Untuk Panduan

  1. Jangan hanya senaraikan tempat yang anda lawat dan makanan yang anda nikmati. Perlu ada idea utama yang menarik. Idea ini yang akan jadi tulang belakang karya anda. Contoh : ibrah dari kejadian dan refleksi beza tempat anda tinggal dan tempat anda melawat. Tema sejarah juga boleh jadi intipati karya anda.
  2. Cuba pergi tempat lain dari yang biasa pelancong lain pergi. Dengan cara ini boleh tambah banyak cerita menarik dan akhirnya tambah nilai kepada pembaca.
  3. Di bahagian pengenalan, boleh beri latar belakang, keadaan politik dan ekonomi tempat yang anda lawati. Di bahagian tengah, perkenalkan maklumat anda ingin beritahu kepada pembaca berdasarkan rakaman dan nota yang anda buat sepanjang kembara. Di akhir bahagian, ringkaskan pengalaman anda, Kongsi pendapat, pandangan dan tindakan anda seterusnya.
  4. Tidak semestinya hanya bercerita perkara yang baik-baik sahaja tentang sesuatu tempat. Ceritakan juga pengalaman perit, kesusahan, masalah di imigresen, tahap kebersihan dan scam.

The Do’s

  1. Jangan hanya bercerita tentang pengalaman peribadi. Beri maklumat penting kepada mereka yang ingin melawat. Beri gambaran tentang kos pengangkutan awam, hotel, bayaran masuk tempat menarik dan hiburan tempat yang dilawati.
  2. Masukkan suasana tempat dan perbualan dengan penduduk tempatan dan pelancong yang anda temui. Tanya tentang kehidupan mereka – masalah dan kebaikan tinggal di situ.
  3. Masukkan sejarah dan budaya tempat tersebut.
  4. Masukkan unsur humor dalam tulisan atau masalah yang anda hadapi dan berjaya atasi.
  5. Semak dan sunting karya anda.

The Dont’s

  1. Jangan masukkan gambar anda di monumen bersejarah. Gambar anda di tempat tersebut hanya untuk simpanan peribadi, dikongsi bersama rakan dan keluarga.
  2. Jangan hanya ulang dan ceritakan semula maklumat yang boleh didapati dalam buku panduan pelancong seperti Lonely Planet.
  3. Jangan guna sebarangan gambar yang boleh dijumpai di internet. Jika boleh guna gambar yang anda ambil.
  4. Jangan berlebih-lebihan menghakim budaya dan tradisi orang lain.
  5. Jangan tunggu masa lama untuk mula menulis. Terus tulis lepas balik dari kembara sementara fakta masih segar dalam ingatan.

Masalah Biasa Bila Menulis Travelog

  1. Fokus hanya kepada fakta. Kurang emosi dan tulisan menjadikan karya anda membosankan.
  2. Terlalu bersemangat meluahkan perasaan dan fikiran.
  3. Hanya bergantung kepada memori bila tulis travelog. Sama ada rujuk semula kepada nota atau cari maklumat tambahan.
  4. Terlalu banyak mengkritik. Cuba seimbangkan tulis perkara negatif dan positif dalam kembara. Ini menjadikan travelog anda lebih berwarna warni.

“Travelling – it leaves you speechless, then turns you into a storyteller.” Ibn Battuta

 

Pakej Halal ke Halong Bay

Ada Apa Dengan Halong Bay

 

Sudah lama hati meronta untuk ke Halong Bay. Bentuk mukabumi dipenuhi puncak batu kapur dan di bawahnya mengalir air seakan berwarna hijau menggamit diri untuk pergi. Ratusan bot kecil dan besar bergerak perlahan menyusuri 1,600 pulau besar dan kecil di Halong Bay memeriahkan lagi lanskap Halong Bay.

 

imej : Vietnam Travel Guide

 

Melawat Hanoi kali pertama pada tahun 2014, saya bisik pada suami hasrat untuk ke Halong Bay. Dari Hanoi, hanya makan masa 3 jam setengah perjalanan darat ke Halong Bay. Suami enggan, lebih suka habiskan 5 hari 4 malam di Hanoi. Masa suntuk alasan beliau. Day trip memenatkan kata dia lagi.

 

Filem Kong yang memilih Halong Bay sebagai lokasi penggambaran buat hati meronta lagi untuk pergi ke tapak yang dinobatkan sebagai UNESCO World Heritage Site pada tahun 1994. Teringin melihat sang mentari membenamkan diri ke bawah kaki langit. Tentu hati girang melihat camar beransur pulang tika senja melabuhkan layarnya. Teruja tidur atas kapal bertemankan unggas menyanyi riang tika pekat malam selubungi langit. Pagi dikejutkan oleh sang mentari memancarkan  sinarnya ke seluruh pelusuk bumi di waktu pagi dengan izin Penciptanya.

 

Pakej Halal ke Halong Bay

 

Kepada teman rapat dinyatakan hasrat. Alhamdulillah bermula dari empat orang ahli rombongan, lima lagi sertai kemudian. Boleh sahaja pergi sendiri tanpa pemandu pelancong tapi kerana rancangan dibuat saat akhir, kami memutuskan untuk cari pakej halal ke Halong Bay. Oleh kerana perjalanan dari Hanoi ke Halong Bay lebih kurang 3 setengah jam, bagi yang inginkan travel bajet ke Halong Bay, mereka pergi balik hari atau day trip. Saya dan rakan pilih pakej 2 hari 1 malam di Halong Bay.

 

Seorang rakan berikan nombor telefon Mr Sinh dari VietLotus. Saya hanya berhubung dengan Mr Sinh melalui aplikasi Whatsapp. Nombor telefon yang saya hubungi : +84973952113. Dokumen dihantar melalui emel : vietlotustravels@gmail.com. Setiap pertanyaan dijawab dengan cepat oleh Mr Sinh.

 

Bayaran yang dikenakan oleh Mr Sinh adalah USD$109 setiap orang untuk pakej Halong Bay Cruise + USD15 untuk van yang boleh muatkan 16 orang dan tidak perlu berkongsi dengan orang lain. Jika perjalanan dari Hanoi, tidak perlu bayar tambahan USD$15 setiap seorang. Dikenakan USD$15 kerana airport transfer dari lapangan terbang ke bandar biasanya dikenakan USD$15 seorang.

USD$109 termasuk :

 

  1. 1x sarapan, 2x makan tengah hari dan 1x makan malam
  2. bayaran masuk ke tempat lawatan
  3. kopi dan teh percuma
  4. kayak (1 jam)
  5. peralatan memancing
  6. insurans perjalanan

 

Terdapat tiga pakej yang ditawarkan :

 

  1. Budget Cruise – USD$109 seorang
  2. Superior Cruise – USD$139 seorang
  3. Deluxe Cruise – USD$179 seorang

 

Beza ketiga-tiga cruise ini adalah jenis bot yang digunakan, kemudahan yang terdapat dalam bot dan bilangan penumpang dalam bot.

 

Pocket Wifi

 

29 September 2017, seawal 3 pagi saya dan 8 orang rakan lagi telah berada di KLIA2. Kami ke kaunter Wiyo untuk ambil pocket wifi. Permohonan dan bayaran telah dibuat beberapa hari sebelum itu. Sehari dikenakan RM28 untuk 3G. Deposit RM200. Lebih baik jika sewa pocket wifi dilakukan 2 hingga 4 minggu sebelum terbang. Jika ini dilakukan, bukan sahaja mereka boleh hantar kepada kita tapi juga lebih banyak pilihan. Jika tempahan online sudah habis, boleh telefon kaunter syarikat di KLIA/KLIA2 suruh mereka reserve.

 

Saya sebenarnya ingin sewa dari Travel Recommends (TR) kerana puas hati dengan perkhidmatan TR semasa melawat Tokyo, Kyoto, Osaka. Oleh kerana lewat hantar permohonan, pocket wifi untuk tarikh yang saya hendak telah habis disewa.

 

Agak kecewa bila device saya tidak berfungsi dengan baik setiba di Hanoi dan Halong Bay. Asyik tunjukkan signal ini. Cuba untuk keluar dan masukkan semula sim card, gagal.

Rakan saya yang turut sewa pocket wifi dari Wiyo tidak menghadapi sebarang masalah dengan device mereka. Saya terpaksa bergantung kepada wifi yang disediakan di homestay dan pocket wifi kawan saya. Waktu itu roaming Maxis hanya 10mb untuk RM38; tidak berbaloi. Saya mohon bayaran yang telah dibuat dikembalikan. Bayaran penuh dan deposit telah dikreditkan ke akaun saya sebulan kemudian.

Perjalanan ke Halong Bay

 

6.25 pagi kami berada dalam dakapan burung besi milik Air Asia dan diterbangkan ke Hanoi.

kawan sejak tingkatan satu di STF, Johor Bahru

 

kawan sejak tingkatan satu di STF, Johor Bahru

 

Perjalanan ambil masa lebih kurang 3 jam 15 minit. Sebaik mendarat, kami leka ambil gambar.

Mr Sinh hantar mesej minta kami cepat. Mr Sinh dan dua orang pemandu van telah siap menunggu di luar.

 

Cara bayaran untuk VietLotus :

 

1) 10% dibayar sebelum tiba di Hanoi. Bayaran dibuat melalui maybank2u.com (Western Union);

2) 90% dibayar kepada Mr Sinh sebaik tiba di Hanoi.

 

Van yang memuatkan 16 orang sangat selesa.

Pemandu baik cuma masalah bahasa menyukarkan kami untuk berkomunikasi dengan mereka. Semua bas/van pelancong ke Halong Bay akan berhenti di satu tempat Rehat dan Rawat; Hai Duong Province selama 25 minit. Pelbagai produk tempatan seperti cenderahati, makanan dan pakaian dijual. Ada di antara kami beli kopi dan makanan ringan yang ada tanda halal. Tandas juga disediakan. Bersih tandas di sini.

 

Bila pergi dengan tour guide, seperti biasa akan singgah di kedai wajib. Kami dibawa berhenti di pusat pemprosesan mutiara.

Terdapat juga kedai menjual barang kemas yang diperbuat dari mutiara. Memang cantik barang kemas yang menghiasi rak-rak kaca. Ada kawan yang beli rantai halus bertatahkan sebiji mutiara untuk anak beliau.

 

Pemandu tidak memaksa kami beli. Sekejap sahaja kami berhenti di sini sebelum dibawa ke Bai Chay port.  Ada ruang menunggu disediakan. Di ruang menunggu ini ada dijual makanan, minuman ringan, pakaian mandi dan mainan.

 

Kami dibawa menaiki bot kecil dan dipindahkan ke bot besar sedikit; HaLong Bay Golden Star. Ada 10 kabin dalam bot ini yang boleh muatkan 20 orang penumpang. 4 kabin dipenuhi oleh ahli rombongan kami. Kabin lain dipenuhi oleh pelancong mat saleh.

STF menemukan kami berempat. hingga kini persahabatan terjalin

Tuala, sabun mandi dan berus gigi disediakan

Seperti yang dijangka bilik agak sempit tapi bersih. Tiada ruang untuk sangkut pakaian. Penghawa dingin tidak dipasang 24 jam. Mujur malam agak sejuk kerana bot berlabuh di tengah lautan. Juga pada waktu  malam, bilik saya tiada air hingga keesokan pagi. Selain dari masalah ini, tiada masalah lain.

 

Makanan Halal

 

Kami pilih VietLotus kerana kami inginkan makanan halal. Banyak tour operator yang menawarkan pakej yang lebih murah cuma tak pasti boleh sediakan makanan halal atau tidak. Ada tour operator yang tawar pakej lebih murah minta saya senaraikan makanan yang boleh mereka sediakan. Mungkin Oktober bukan waktu peak. Cuma saya rasa agak leceh untuk saya senaraikan.

 

Makanan yang disediakan oleh VietLotus memang memuaskan hati. Kesian juga tengok pelancong lain makan makanan lain yang tak semewah makanan kami. Masa sarapan, kami bagi sepinggan nuggets kepada satu pasangan yang bawa anak kecil kerana yang terhidang untuk mereka tiada yang bersesuaian dengan anak kecil.

 

Kami diberi makan 4 kali sepanjang perjalanan 2 hari 1 malam. Sebaik sahaja daftar masuk kabin, kami dihidangkan makan tengah hari.

 

Antara makanan yang dihidangkan :

 

Makan Tengah Hari – Hari Pertama

(setiap hidangan adalah untuk 4/5 orang)

 

Makan Tengah Hari – Hari Kedua

 

 

Sarapan Hari Kedua

Dewan Makan

 

Itinerari Halong Bay

1) Sung Sot (Surprise) Cave

 

Selepas berehat sebentar, kami dibawa menaiki bot kecil ke Sung Sot Cave.

Sung Sot Cave merupakan gua terbesar dan tercantik di Halong Bay. Semasa sampai, kami anggap gua ini kecil sahaja. Setelah mendaki tangga batu yang curam, tinggi dan sampai di dalam gua, baru nampak besarnya gua ini. Mujur masa kami pergi, tidak ramai pelawat berada dalam gua. Kalau ramai pelawat pun tiada masalah kerana gua ini boleh memuatkan beribu pelawat dalam satu masa. Keadaan dalam gua bersih dan tidak berbau.

Bila berada dalam gua, terasa seperti berada dalam satu teater. Stalagtit dan stalagmit yang terbentuk sejak berjuta tahun menghiasi bahagian atas gua. Gabungan kedua ini seperti hamparan baldu yang indah. Ditambah pula pancaran cahaya berwarna-warni dari chandelier menjadikan suasana dalam gua seperti berada dalam dunia khayalan.

imej Google
imej Google

Memasuki satu lagi bahagian dalam Sung Sot Cave, kelihatan seekor kuda dan pedang yang diperbuat dari batu menyambut pelawat. Dikatakan kuda dan pedang adalah milik seorang pahlawan zaman dulu yang menentang seorang yang zalim. Selepas mengalahkan orang itu, dia meninggalkan kuda dan pedang untuk ingatan penduduk.

imej Google

 

Selepas habis melawat 2 kawasan ini, perlu turun tangga batu yang curam. Sebelum turun, jangan lupa ambil gambar pemandangan yang menarik dari atas.

 

 

Mendaki Sung Sot Cave adalah pilihan. Jika taknak, boleh rehat di kabin. Warga emas, mereka yang mempunyai masalah kaki dan kesihatan tidak digalakkan mendaki. Kanak-kanak perlu dipimpin setiap masa. Ini kerana pelawat perlu naik tangga yang tinggi curam untuk sampai dalam gua dan turun semula.

Bayaran masuk termasuk dalam pakej. Pastikan pakai kasut yang sesuai untuk mendaki. Ada kawasan dalam gua licin.

 

2) Titov @ Ti Top Island

 

Dinamakan sempena nama Gherman Stepnovich Titov; orang pertama menghabiskan masa sehari di angkasa pada 6 Ogos 1961 dalam kapal Vostok 2. Beliau telah melawat pulau ini yang pada waktu itu dikenali sebagai Cat Nang pada 22 Januari 1962 ditemani oleh Presiden Ho Chi Minh. Untuk memeteraikan pertemuan itu, Presiden telah tukar nama pulau Cat Nang kepada pulau Titov.

 

Untuk sampai ke puncak, perlu mendaki tangga batu yang curam. Dikatakan perlu 400 langkah untuk menikmati pemandangan 360 darjah Halong Bay. Gambar-gambar menarik Halong Bay banyak dirakamkan dari observation deck di puncak Titov Island.

 

Oleh kerana kami tiba agak lewat, tiada siapa mahu mendaki. Lagipun penat mendaki Sung Sot Cave masih terasa. Aktiviti yang boleh dilakukan di pulau kecil ini termasuk berenang, berkayak, barbecue dan snorkelling. Kami hanya bersiar-siar di kawasan ini, ambil gambar dan minum air kelapa. Sedap. RM6 sebiji. Tidak banyak tempat duduk disediakan. Elok juga bawa plastik untuk alas punggong sementara tunggu untuk menyaksikan matahari terbenam.

 

 

3) Welcome Drink

 

Bila senja mula melabuhkan tirai, seperti camar yang pulang ke sarang, kami beransur pulang ke bot. Makan malam berupa makanan citarasa Vietnam dan minuman untuk kami diasingkan. Kami diberi minum jus anggur sementara yang bukan Islam diberi wain.

 

kena buat sendiri Vietnamese spring roll

bahan yang disediakan

Kapal berlabuh di kawasan Sung Sot yang dikatakan agak selamat. Sesiapa yang ingin memancing boleh berbuat demikian. Kami pilih untuk berehat di kabin. Tidur malam di Halong Bay memang mengasyikkan. Tiada yang merungut tidak lena tidur.

 

4) Floating Village

 

Sarapan menyusul kemudian. Selepas itu kami dibawa melawat Floating Village. Di sini ada pusat penternakan dan penjualan mutiara. Mutiara dari Halong Bay dikatakan paling terkenal di Vietnam. Kami diberi penerangan tentang proses menternak dan mendapatkan mutiara di Halong Bay yang mengambil masa bertahun.

kolam penternakan

 

Jika ingin berkayak di sini masih boleh. Tidak perlu dengar penerangan tentang mutiara dan terus ke tempat kayak. Sekurang-kurangnya 30 minit boleh digunakan untuk berkayak.

 

Paling penting, kena pose syok sendiri!   😆

Kami kembali semula ke bot untuk daftar keluar. Makan tengah hari disediakan sebelum kami kembali ke Bai Chay port dan tunggu van yang sama untuk kembali ke Hanoi. Kami menghabiskan masa 3 hari 2 malam di Hanoi sebelum kembali ke Malaysia.

Hotel Sfera, Manjung Perak

Baru-baru ini suami saya ada urusan kerja di Manjung. Saya tak lepaskan peluang untuk ikut. Bekerja sendiri sejak 12 tahun lepas, mudah bagi saya mengikut suami jika bertugas di luar Kuala Lumpur/Selangor. Apatah lagi saya tiada anak untuk dirisaukan tentang persekolahan.

 

Saya langsung tak ingat saya pernah jejakkan kaki di Manjung. Kata suami, kami pernah pergi tapi lebih 10 tahun yang lepas. Pada mulanya kami ingin menetap di Ritz Garden. Tiada rezeki menginap di situ. Penuh. Saya buat tempahan bilik di Hotel Sfera.

 

Sepanjang jalan ke Manjung, tiada pemandangan yang luar biasa. Saya tidur hampir separuh perjalanan. Selepas keluar dari tol Slim River, sebaik sahaja kereta pusing ke kanan, barisan kenderaan memenuhi sepanjang jalan buat hati tertanya-tanya. Ingatkan ada majlis kahwin. Rupa-rupanya di situlah terletaknya Restoran Bamboo Sungai Klah. Saya tak pernah tahu restoran ini pernah menjadi viral.

 

Jalan menuju ke Manjung seterusnya melalui ladang kelapa sawit dan ladang kelapa. Kebetulan tarikh pilhanraya yang ke 14 telah diumumkan, sepanjang jalan dipenuhi bendera parti-parti yang bertanding. Semakin menghampiri bandar Manjung, gerai-gerai jual buah-buahan tempatan seakan menggamit pengunjung untuk singgah. Menyesal juga saya tak berhenti beli buah sebab dalam perjalanan pulang tak sempat singgah.

 

Setiba di Hotel Sfera, proses daftar masuk agak mudah. Kami diberi diskaun; mungkin kerana off peak season. Cuma tiada bilik yang memuatkan katil saiz queen pada malam pertama kami menginap. Yang tinggal cuma bilik twin sharing. Untuk malam kedua ada tapi saya malas nak pindah bilik.

 

Lobi

 

Lobi – Ruang Menunggu

 

Hotel Sfera ada dua bangunan; satu bangunan tambahan terletak di seberang jalan bangunan utama dan dihubungkan dengan bangunan utama melalui skybridge. Tiada masalah pun mahu menginap di bangunan utama atau bangunan di seberang jalan. Cuma kemudahan memang berada di bangunan utama. Harga bilik di bangunan utama mahal sedikit dari harga bilik di bangunan tambahan.

Tempat letak kereta percuma tapi agak terhad. Juga terletak di seberang jalan. Jika tiada tempat kosong, boleh sahaja letak kereta di sepanjang jalan tepi hotel cuma perlu bayar.

Jambatan yang menghubungkan bangunan utama dan bangunan tambahan

 

Kami diberi bilik di tingkat tiga; tingkat paling atas.

 

Bilik twin sharing

 

Bilik agak besar. Bersih dan kemas. Ada meja menulis, kemudahan menggosok, alatan mandian yang lengkap, kemudahan buat kopi/teh dan wifi percuma. Bilik air moden; tempat mandi dan tandas dipisahkan oleh dinding kaca.

 

Saya suka tempat gantung tuala di kedua-dua bahagian pintu bilik air.

 

Kemudahan yang terdapat di Hotel Sfera :

➡ Kolam Renang

 

Kolam renang sesuai untuk semua peringkat umur. Ada permainan kanak-kanak, sauna dan bilik membaca berhampiran kolam renang. Rumput tiruan di kolam renang membolehkan kanak-kanak berlari tanpa perlu risau kanak-kanak terjatuh kerana lantai licin.

Mainan untuk anak kecil sebelah kolam renang

 

➡ Bilik Membaca

 

Bilik berwarna hijau yang mendamaikan terletak di tingkat tiga.  Bilik agak luas. Malangnya tiada bahan bacaan yang baru diletakkan di rak. Mungkin tidak ramai yang gunakan kemudahan ini.

 

 

➡ Sarapan secara buffet

 

Walaupun ada yang kata tidak banyak pilihan, bagi saya memang memadai. Makanan pelbagai dan rasa masakan tidak menghampakan. Makanan seperti mee goreng/nasi goreng, kuih muih, mee berkuah, roti, pelbagai jenis telur, hash brown dan sosej mengenyangkan.

 

Tidak perlu risau tentang makanan jika menginap di hotel ini. Di belakang Hotel Sfera ada deretan kedai makan. Pasaraya juga terletak di belakang Hotel Sfera.

 

Harga RM8. Puas hati ikan bawal besar dan segar.

 

Hotel Sfera terletak lebih kurang 4km dari jeti ke Pulau Pangkor dan Teluk Batik. Sempat kami menikmati matahari terbenam di Teluk Batik.

 

 

Jika anda berada di Manjung, saya syorkan menginap di Hotel Sfera. Saya puas hati menginap di sini sepanjang 3 hari 2 malam.