Adena Beach Resort, Kuantan

Sudah beberapa kali ajak suami ke Kuantan. Rindu pantai. Saya bukan suka mandi laut. Suka berjalan di pantai. Damai

Suami enggan. Penat nak pandu kereta kata dia. Tak berbaloi naik kapal terbang.

Beberapa hari selepas hari jadi saya, suami balik kerja dan tanya

“apa kata kita pergi Kuantan?”

Yes, finally. Selepas lebih 10 tahun Kuantan tidak dikunjungi. Rahmat PKP. Melancong luar negeri hanya mampu capai dalam mimpi.

Saya cuba lihat harga Hyatt Regency Kuantan Resort. Hampir RM2 ribu untuk 3 malam. Tak berbaloi. Rakan yang sudah lama menginap di Kuantan syorkan Adena. Lebih tenang kata dia. Pesan dia kena cepat tempah bilik. Adena cepat penuh. Masa agak suntuk. Hanya bilik deluxe garden view twin sahaja ada kosong. Satu malam RM180 termasuk sarapan. Ok, kena dengan bajet.

Rupanya jalan ke Kuantan sudah banyak berubah. Suami ingat masih jalan lama. Itu sebab dia malas nak pandu ke Kuantan. Perjalanan dipermudahkan. Cuaca baik sepanjang jalan. Alhamdulillah.

Review Adena di Tripadvisor dan Agoda tidak lebih dari 4. Markah penuh 5. Banyak review negatif ditulis selepas PKP. Adena baru beroperasi semula. Mungkin penyusunan semula kerja dan proses pembersihan semula ambil sedikit masa.

Saya janji pada diri sendiri – pandang dengan mata lebah, jangan pandang dengan mata lalat. Jika kekurangan kecil, saya tutup mata. Fokus kepada kelebihan yang Adena bakal berikan. Tidak mahu isu kecil jejaskan percutian yang sudah lama dinantikan.

Kami tiba jam 1.30 petang. Bilik belum siap. Tidak mengapa. Masa daftar setiap hotel memang 3.00 petang. Sambil tunggu, kami ke pantai. Chalet-chalet comel memenuhi laluan ke pantai.

Matahari seakan berlindung di celah awan. Cahaya yang dipancarkan tidak begitu terang. Berteduh di bawah pohon merimbun, terasa nyaman bila pipi disapu sang bayu. Ombak beralun tenang di permukaan laut. Beberapa orang dewasa dan kanak-kanak sedang bermain di gigi air. Puteh Beach Bar dipenuhi manusia pelbagai bangsa. Teringin jamu selera. Perut minta diisi. Bila staf beritahu tukang masak bukan Islam, niat terhenti. Pasti ada tempat lain yang boleh makan tanpa keraguan dirasai.

Setengah jam kemudian kami cuba nasib. Bilik sudah siap. Tingkat bawah di bangunan tiga tingkat. Buka sahaja pintu bilik, terus nampak sinki. Banyak review negatif pasal sinki ini. Selalu sinki dalam bilik air. Mungkin untuk jimatkan ruang. Bagusnya reka bentuk ini, bilik jadi luas.

Bangunan tiga tempat, chalet dan di belakang kolam renang ada coffee house. Sarapan di sini.

Bilik bersih. Cuma ada habuk di sudut-sudut bilik. Tidak nampak jika tidak betul-betul amati. Isu kecil. Tiada mini bar. Ada kemudahan buat kopi dan teh. Tiada meja menulis. Saya memang perlukan meja menulis untuk siapkan manuskrip. Mujur meja tepi katil besar. Boleh letak komputer riba dan masih ada ruang untuk letak buku-buku rujukan.

Deluxe Garden View Twin
Bilik air. Air panas berfungsi dengan baik.

Rancangan televisyen sangat terhad. Tiada masalah jika ada Netflix dan sebagainya. WiFi dari bilik kami boleh tahan laju. Boleh sahaja tengok youtube dan sebagainya. Saya sempat baca buku-buku yang dibawa dan menulis. Tiada isu tiada hiburan.

Penyangkut baju hanya ada 4. Kami memang selalu bawa lebih dari rumah. Kemudahan gosok baju tidak disediakan dalam bilik. Boleh pinjam dari housekeeping. Hanya tuala mandi dan tuala lap tangan disediakan. Tiada tuala muka. Penghawa dingin berfungsi dengan baik. Alhamdulillah. Perlu bawa selipar pakai buang dalam bilik sebab lantai agak sejuk.

Kolam renang agak kecil. Memadai untuk kanak-kanak. Ada komen, kolam renang kotor. Waktu pagi ada pekerja bersihkan kawasan sekeliling. Saya perhatikan ada pasir dalam kolam renang. Jika semua pelanggan pastikan mereka bilas badan selepas berada di laut dan sebelum masuk kolam renang, masalah ini pasti dapat dikurangkan. Hanya ambil masa kurang dari 5 minit untuk pastikan anda tidak bawa pasir bersama dalam kolam renang. #kitajagakita

Staf sedang bersihkan kolam

Waktu sarapan, makanan yang disediakan nasi lemak, ayam rempah (hari kedua kami di Adena, nasi lemak digantikan dengan nasi hujan panas dan ayam kurma, hari ketiga nasi tomato dan ayam masak merah), meehoon, roti, telur hancur, sosej, buah-buahan dan kek. Pilihan terhad tapi kenyang. Berapa banyak sangat pun seseorang boleh makan.

Hari terakhir di Adena, makan banyak sikit.

Kami cuba juga makan tengah hari di coffee house pada hari pertama. Sedap. Kenyang.

His
Hers

Ada yang komen staf tidak mesra. Cuba anda mulakan perbualan dahulu. Cuba anda senyum kepada mereka dahulu. Selagi hidup kita harapkan orang lain untuk gembirakan kita, untuk ceriakan hidup kita, ada waktu kita pasti kecewa.

Saya dan suami berbual dengan salah seorang adik housekeeping.

Saya : bilik penuh ya setiap hari?

Staf : ya puan. Alhamdulillah. Cuma kami kerja tanpa henti dari 9.00 pagi hingga 7.00 malam.

Simpati. Bukan tugas mudah. Rasa bangga juga anak muda tidak pilih kerja. Selalu housekeeping warganegara asing. Jika tempahan bilik semakin baik, mungkin Adena boleh tambah pekerja. Harap komen negatif yang diterima bukan sebab pekerja dibebankan dengan kerja yang banyak.

Sebagai pelanggan, kita boleh tunjukkan empati. Jika bilik tidak kotor, tidak perlu room service setiap hari. Sekadar kemas katil, kita boleh buat sendiri. Minta mereka tukar tuala, alas kaki dan buang sampah jika perlu. Minta air mineral dan sabun/pencuci rambut dalam bekas kecil jika sudah habis. Itu sahaja.

Sebagai ganti Please Do Not Disturb

Jika bilik ada anak-anak kecil pasti perlukan bilik dibersih setiap hari.

Bagi yang tiada anak seperti kami atau hanya orang dewasa dalam bilik, tidak perlu room service. Pertolongan kecil tapi jika ramai yang buat seperti ini, ringankan sedikit kerja mereka. Hati kecil pasti berkata “eh tapi kami bayar.” Betul tapi jika kita mudahkan hidup orang lain, insya-Allah ganjaran Allah lebih hebat.

“Be kind to others not because of who they are or what they do in return but because of who you are.”

Semasa tunggu Grabcar untuk ke tempat makan, sempat sembang dengan pakcik jaga di pintu utama. Masa balik, kami beli 2 bungkus nasi goreng untuk pakcik jaga dan seorang lagi rakan beliau. Kita biasanya beranggapan orang yang kita beri sedekah perlukan pertolongan kita. Hakikatnya kita yang lebih perlukan pertolongan mereka kerana mereka beri peluang kepada kita untuk cari reda Pencipta.

“Peliharalah dirimu daripada api neraka, walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma. Jika kamu tidak sanggup, maka dengan tutur kata yang baik.” (Al-Bukhari and Muslim).

Ada beberapa pilihan penginapan selain Adena Beach Resort iaitu Swiss Garden Beach Resort dan Timur Bay yang tawarkan banyak homestay.

Timur Bay Seaview Residency

Adena Beach Resort – Pasir pantainya putih dan halus, kurang sesak dibandingkan dengan Teluk Cempedak. Insya-Allah andai takdir mengatasi tadbir saya pasti kembali. Kucari damai di hati dan aku temui di bumi Ilahi ini.

Untuk tempahan, layari https://adenaresort.com

One thought on “Adena Beach Resort, Kuantan

  1. Arif April 6, 2021 at 5:15 pm

    keren banget tempatnya.. jadi pingin berkunjung kesana

Leave a Reply