Pakej Halal ke Halong Bay

Ada Apa Dengan Halong Bay

 

Sudah lama hati meronta untuk ke Halong Bay. Bentuk mukabumi dipenuhi puncak batu kapur dan di bawahnya mengalir air seakan berwarna hijau menggamit diri untuk pergi. Ratusan bot kecil dan besar bergerak perlahan menyusuri 1,600 pulau besar dan kecil di Halong Bay memeriahkan lagi lanskap Halong Bay.

 

imej : Vietnam Travel Guide

 

Melawat Hanoi kali pertama pada tahun 2014, saya bisik pada suami hasrat untuk ke Halong Bay. Dari Hanoi, hanya makan masa 3 jam setengah perjalanan darat ke Halong Bay. Suami enggan, lebih suka habiskan 5 hari 4 malam di Hanoi. Masa suntuk alasan beliau. Day trip memenatkan kata dia lagi.

 

Filem Kong yang memilih Halong Bay sebagai lokasi penggambaran buat hati meronta lagi untuk pergi ke tapak yang dinobatkan sebagai UNESCO World Heritage Site pada tahun 1994. Teringin melihat sang mentari membenamkan diri ke bawah kaki langit. Tentu hati girang melihat camar beransur pulang tika senja melabuhkan layarnya. Teruja tidur atas kapal bertemankan unggas menyanyi riang tika pekat malam selubungi langit. Pagi dikejutkan oleh sang mentari memancarkan  sinarnya ke seluruh pelusuk bumi di waktu pagi dengan izin Penciptanya.

 

Pakej Halal ke Halong Bay

 

Kepada teman rapat dinyatakan hasrat. Alhamdulillah bermula dari empat orang ahli rombongan, lima lagi sertai kemudian. Boleh sahaja pergi sendiri tanpa pemandu pelancong tapi kerana rancangan dibuat saat akhir, kami memutuskan untuk cari pakej halal ke Halong Bay. Oleh kerana perjalanan dari Hanoi ke Halong Bay lebih kurang 3 setengah jam, bagi yang inginkan travel bajet ke Halong Bay, mereka pergi balik hari atau day trip. Saya dan rakan pilih pakej 2 hari 1 malam di Halong Bay.

 

Seorang rakan berikan nombor telefon Mr Sinh dari VietLotus. Saya hanya berhubung dengan Mr Sinh melalui aplikasi Whatsapp. Nombor telefon yang saya hubungi : +84973952113. Dokumen dihantar melalui emel : vietlotustravels@gmail.com. Setiap pertanyaan dijawab dengan cepat oleh Mr Sinh.

 

Bayaran yang dikenakan oleh Mr Sinh adalah USD$109 setiap orang untuk pakej Halong Bay Cruise + USD15 untuk van yang boleh muatkan 16 orang dan tidak perlu berkongsi dengan orang lain. Jika perjalanan dari Hanoi, tidak perlu bayar tambahan USD$15 setiap seorang. Dikenakan USD$15 kerana airport transfer dari lapangan terbang ke bandar biasanya dikenakan USD$15 seorang.

USD$109 termasuk :

 

  1. 1x sarapan, 2x makan tengah hari dan 1x makan malam
  2. bayaran masuk ke tempat lawatan
  3. kopi dan teh percuma
  4. kayak (1 jam)
  5. peralatan memancing
  6. insurans perjalanan

 

Terdapat tiga pakej yang ditawarkan :

 

  1. Budget Cruise – USD$109 seorang
  2. Superior Cruise – USD$139 seorang
  3. Deluxe Cruise – USD$179 seorang

 

Beza ketiga-tiga cruise ini adalah jenis bot yang digunakan, kemudahan yang terdapat dalam bot dan bilangan penumpang dalam bot.

 

Pocket Wifi

 

29 September 2017, seawal 3 pagi saya dan 8 orang rakan lagi telah berada di KLIA2. Kami ke kaunter Wiyo untuk ambil pocket wifi. Permohonan dan bayaran telah dibuat beberapa hari sebelum itu. Sehari dikenakan RM28 untuk 3G. Deposit RM200. Lebih baik jika sewa pocket wifi dilakukan 2 hingga 4 minggu sebelum terbang. Jika ini dilakukan, bukan sahaja mereka boleh hantar kepada kita tapi juga lebih banyak pilihan. Jika tempahan online sudah habis, boleh telefon kaunter syarikat di KLIA/KLIA2 suruh mereka reserve.

 

Saya sebenarnya ingin sewa dari Travel Recommends (TR) kerana puas hati dengan perkhidmatan TR semasa melawat Tokyo, Kyoto, Osaka. Oleh kerana lewat hantar permohonan, pocket wifi untuk tarikh yang saya hendak telah habis disewa.

 

Agak kecewa bila device saya tidak berfungsi dengan baik setiba di Hanoi dan Halong Bay. Asyik tunjukkan signal ini. Cuba untuk keluar dan masukkan semula sim card, gagal.

Rakan saya yang turut sewa pocket wifi dari Wiyo tidak menghadapi sebarang masalah dengan device mereka. Saya terpaksa bergantung kepada wifi yang disediakan di homestay dan pocket wifi kawan saya. Waktu itu roaming Maxis hanya 10mb untuk RM38; tidak berbaloi. Saya mohon bayaran yang telah dibuat dikembalikan. Bayaran penuh dan deposit telah dikreditkan ke akaun saya sebulan kemudian.

Perjalanan ke Halong Bay

 

6.25 pagi kami berada dalam dakapan burung besi milik Air Asia dan diterbangkan ke Hanoi.

kawan sejak tingkatan satu di STF, Johor Bahru

 

kawan sejak tingkatan satu di STF, Johor Bahru

 

Perjalanan ambil masa lebih kurang 3 jam 15 minit. Sebaik mendarat, kami leka ambil gambar.

Mr Sinh hantar mesej minta kami cepat. Mr Sinh dan dua orang pemandu van telah siap menunggu di luar.

 

Cara bayaran untuk VietLotus :

 

1) 10% dibayar sebelum tiba di Hanoi. Bayaran dibuat melalui maybank2u.com (Western Union);

2) 90% dibayar kepada Mr Sinh sebaik tiba di Hanoi.

 

Van yang memuatkan 16 orang sangat selesa.

Pemandu baik cuma masalah bahasa menyukarkan kami untuk berkomunikasi dengan mereka. Semua bas/van pelancong ke Halong Bay akan berhenti di satu tempat Rehat dan Rawat; Hai Duong Province selama 25 minit. Pelbagai produk tempatan seperti cenderahati, makanan dan pakaian dijual. Ada di antara kami beli kopi dan makanan ringan yang ada tanda halal. Tandas juga disediakan. Bersih tandas di sini.

 

Bila pergi dengan tour guide, seperti biasa akan singgah di kedai wajib. Kami dibawa berhenti di pusat pemprosesan mutiara.

Terdapat juga kedai menjual barang kemas yang diperbuat dari mutiara. Memang cantik barang kemas yang menghiasi rak-rak kaca. Ada kawan yang beli rantai halus bertatahkan sebiji mutiara untuk anak beliau.

 

Pemandu tidak memaksa kami beli. Sekejap sahaja kami berhenti di sini sebelum dibawa ke Bai Chay port.  Ada ruang menunggu disediakan. Di ruang menunggu ini ada dijual makanan, minuman ringan, pakaian mandi dan mainan.

 

Kami dibawa menaiki bot kecil dan dipindahkan ke bot besar sedikit; HaLong Bay Golden Star. Ada 10 kabin dalam bot ini yang boleh muatkan 20 orang penumpang. 4 kabin dipenuhi oleh ahli rombongan kami. Kabin lain dipenuhi oleh pelancong mat saleh.

STF menemukan kami berempat. hingga kini persahabatan terjalin

Tuala, sabun mandi dan berus gigi disediakan

Seperti yang dijangka bilik agak sempit tapi bersih. Tiada ruang untuk sangkut pakaian. Penghawa dingin tidak dipasang 24 jam. Mujur malam agak sejuk kerana bot berlabuh di tengah lautan. Juga pada waktu  malam, bilik saya tiada air hingga keesokan pagi. Selain dari masalah ini, tiada masalah lain.

 

Makanan Halal

 

Kami pilih VietLotus kerana kami inginkan makanan halal. Banyak tour operator yang menawarkan pakej yang lebih murah cuma tak pasti boleh sediakan makanan halal atau tidak. Ada tour operator yang tawar pakej lebih murah minta saya senaraikan makanan yang boleh mereka sediakan. Mungkin Oktober bukan waktu peak. Cuma saya rasa agak leceh untuk saya senaraikan.

 

Makanan yang disediakan oleh VietLotus memang memuaskan hati. Kesian juga tengok pelancong lain makan makanan lain yang tak semewah makanan kami. Masa sarapan, kami bagi sepinggan nuggets kepada satu pasangan yang bawa anak kecil kerana yang terhidang untuk mereka tiada yang bersesuaian dengan anak kecil.

 

Kami diberi makan 4 kali sepanjang perjalanan 2 hari 1 malam. Sebaik sahaja daftar masuk kabin, kami dihidangkan makan tengah hari.

 

Antara makanan yang dihidangkan :

 

Makan Tengah Hari – Hari Pertama

(setiap hidangan adalah untuk 4/5 orang)

 

Makan Tengah Hari – Hari Kedua

 

 

Sarapan Hari Kedua

Dewan Makan

 

Itinerari Halong Bay

1) Sung Sot (Surprise) Cave

 

Selepas berehat sebentar, kami dibawa menaiki bot kecil ke Sung Sot Cave.

Sung Sot Cave merupakan gua terbesar dan tercantik di Halong Bay. Semasa sampai, kami anggap gua ini kecil sahaja. Setelah mendaki tangga batu yang curam, tinggi dan sampai di dalam gua, baru nampak besarnya gua ini. Mujur masa kami pergi, tidak ramai pelawat berada dalam gua. Kalau ramai pelawat pun tiada masalah kerana gua ini boleh memuatkan beribu pelawat dalam satu masa. Keadaan dalam gua bersih dan tidak berbau.

Bila berada dalam gua, terasa seperti berada dalam satu teater. Stalagtit dan stalagmit yang terbentuk sejak berjuta tahun menghiasi bahagian atas gua. Gabungan kedua ini seperti hamparan baldu yang indah. Ditambah pula pancaran cahaya berwarna-warni dari chandelier menjadikan suasana dalam gua seperti berada dalam dunia khayalan.

imej Google
imej Google

Memasuki satu lagi bahagian dalam Sung Sot Cave, kelihatan seekor kuda dan pedang yang diperbuat dari batu menyambut pelawat. Dikatakan kuda dan pedang adalah milik seorang pahlawan zaman dulu yang menentang seorang yang zalim. Selepas mengalahkan orang itu, dia meninggalkan kuda dan pedang untuk ingatan penduduk.

imej Google

 

Selepas habis melawat 2 kawasan ini, perlu turun tangga batu yang curam. Sebelum turun, jangan lupa ambil gambar pemandangan yang menarik dari atas.

 

 

Mendaki Sung Sot Cave adalah pilihan. Jika taknak, boleh rehat di kabin. Warga emas, mereka yang mempunyai masalah kaki dan kesihatan tidak digalakkan mendaki. Kanak-kanak perlu dipimpin setiap masa. Ini kerana pelawat perlu naik tangga yang tinggi curam untuk sampai dalam gua dan turun semula.

Bayaran masuk termasuk dalam pakej. Pastikan pakai kasut yang sesuai untuk mendaki. Ada kawasan dalam gua licin.

 

2) Titov @ Ti Top Island

 

Dinamakan sempena nama Gherman Stepnovich Titov; orang pertama menghabiskan masa sehari di angkasa pada 6 Ogos 1961 dalam kapal Vostok 2. Beliau telah melawat pulau ini yang pada waktu itu dikenali sebagai Cat Nang pada 22 Januari 1962 ditemani oleh Presiden Ho Chi Minh. Untuk memeteraikan pertemuan itu, Presiden telah tukar nama pulau Cat Nang kepada pulau Titov.

 

Untuk sampai ke puncak, perlu mendaki tangga batu yang curam. Dikatakan perlu 400 langkah untuk menikmati pemandangan 360 darjah Halong Bay. Gambar-gambar menarik Halong Bay banyak dirakamkan dari observation deck di puncak Titov Island.

 

Oleh kerana kami tiba agak lewat, tiada siapa mahu mendaki. Lagipun penat mendaki Sung Sot Cave masih terasa. Aktiviti yang boleh dilakukan di pulau kecil ini termasuk berenang, berkayak, barbecue dan snorkelling. Kami hanya bersiar-siar di kawasan ini, ambil gambar dan minum air kelapa. Sedap. RM6 sebiji. Tidak banyak tempat duduk disediakan. Elok juga bawa plastik untuk alas punggong sementara tunggu untuk menyaksikan matahari terbenam.

 

 

3) Welcome Drink

 

Bila senja mula melabuhkan tirai, seperti camar yang pulang ke sarang, kami beransur pulang ke bot. Makan malam berupa makanan citarasa Vietnam dan minuman untuk kami diasingkan. Kami diberi minum jus anggur sementara yang bukan Islam diberi wain.

 

kena buat sendiri Vietnamese spring roll

bahan yang disediakan

Kapal berlabuh di kawasan Sung Sot yang dikatakan agak selamat. Sesiapa yang ingin memancing boleh berbuat demikian. Kami pilih untuk berehat di kabin. Tidur malam di Halong Bay memang mengasyikkan. Tiada yang merungut tidak lena tidur.

 

4) Floating Village

 

Sarapan menyusul kemudian. Selepas itu kami dibawa melawat Floating Village. Di sini ada pusat penternakan dan penjualan mutiara. Mutiara dari Halong Bay dikatakan paling terkenal di Vietnam. Kami diberi penerangan tentang proses menternak dan mendapatkan mutiara di Halong Bay yang mengambil masa bertahun.

kolam penternakan

 

Jika ingin berkayak di sini masih boleh. Tidak perlu dengar penerangan tentang mutiara dan terus ke tempat kayak. Sekurang-kurangnya 30 minit boleh digunakan untuk berkayak.

 

Paling penting, kena pose syok sendiri!   😆

Kami kembali semula ke bot untuk daftar keluar. Makan tengah hari disediakan sebelum kami kembali ke Bai Chay port dan tunggu van yang sama untuk kembali ke Hanoi. Kami menghabiskan masa 3 hari 2 malam di Hanoi sebelum kembali ke Malaysia.

Leave a Reply